Dari Muktamar 63 ke Tsunami HIJAU

Wednesday, May 10, 2017

Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar baru-baru ini dijangkakan adalah muktamar PAS yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14.

Saya melihat PAS telah melalui beberapa fasa penting dan kritikal dari muktamarnya ke 61 di Kuala Selangor, kemudiannya ke 62 di Kota Bharu dan kini terbaru di Alor Setar.

Fasa-fasa ini sesungguhnya mencerminkan kemampuan dan keupayaan PAS sebagai sebuah parti politik dan Gerakan Islam. Ia melibatkan proses penyaringan dalam kepimpinan dan keahlian parti sehinggalah ke proses penyatuan dan kesatuan dalaman dan berakhir baru-baru ini di Alor Setar dengan kemantapan dan kebersediaan untuk menempuh serta merempuh PRU mendatang dengan penuh gagah dan semangat yang berkobar-kobar.

Ketiga-tiga fasa ini membuktikan kematangan dan kedewasaan PAS dipersada politik tanahair sepanjang lebih 60 tahun usianya, melalui satu proses sebahagiannya dirancang dan sebahagian lain tidak dirancang tetapi berlaku dengan izin Allah swt.

Tidak dapat dinafikan yang PAS menghadapi konflik yang besar menjelang Muktamar ke 61 nya di Kuala Selangor. Ketika itu beberapa kalangan pimpinan pelbagai peringkat dalam parti merancang untuk mengambil-alih kepimpinan parti dan merobah haluan serta halu tuju parti berdasarkan agenda dan kepentingan peribadi mereka.

PAS perlu lebih lunak, PAS perlu merobah cara dan kaedah pendekatannya, mengendurkan dasar demi merintis jalan kerjasama walaupun terpaksa menggadaikan prinsip buat sementara. Demikinalah propaganda mereka kerana bagi mereka jika ianya berjaya maka PAS boleh mudah menang dan melangkah ke Putrajaya.

Mereka rupanya “underestimate” dan tersalah baca jatadiri ahli-ahli dan perwakilan PAS.
Benar kesemua yang dalam Jemaah PAS mahu melihat dan menjulang kemenangan. Namun warga PAS berpegang teguh kepada keyakinan bahawa kemenangan ini perlu dirintis atas jalan berpegang teguh dan mempertahankan dasar dan prinsip. Jika Islam ini ditakdirkan menang ia perlu menang tanpa sedikit pun dasar dan prinsipnya dikendur apatah lagi digadaikan, jika tidak biarlah kalah asal maruah dan harga diri Islam tidak tercalar dan sentiasa terpelihara.

Dalam muktamar di Kuala Selangor PAS memilih membersihkan kepimpinannya dari mereka yang tidak berkongsi matlamat yang sama. Keputusan ini dianggap oleh mereka yang dirihatkan itu sebagai usaha untuk menyingkirkan mereka, sedangkan sebelum ini ramai yang pernah bertanding dan tewas tanpa banyak masalah.

Akibatnya berlakulah pengkhianatan dalam parti apabila mereka yang berkenaan bertindak keluar parti, “mencuri” kerusi-kerusi Parlimen dan DUN millik PAS dan akhirnya atas dorongan DAP, menubuhkan parti sendiri.

Apa yang mahu saya bawa di sini adalah hasrat jahat mereka ini. Mereka menjangkakan PAS boleh sendeng dan akhrinya roboh angkara pengkhianatan mereka.

Rupanya tidak. Pengkhianatan mereka hanya dituruti beberapa kerat kecil yang taksub pada mereka dan termakan mimpi kosong mereka. Majoriti ahli-ahli PAS memilih untuk istiqamah dan kekal duduk atas bahtera perjuangan PAS.

Kerana itu Muktamar Kuala Selangor bagi saya adalah fasa penyaringan dan proses pembersihan dalaman PAS. Ia sedikit mencederakan parti tetapi tubuh yang sasa dan padu ini tetap berdiri teguh dan malah memberi kekuatan dalam bentuk keyakinan  kepada kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan “Team Istiqamah”nya.

Bergerak dari fasa itu Tuan Guru Presiden telah melancarkan proses kesatuan dan penyatuan dalaman parti. Langkah-langkah segera memulihkan kawasan-kawasan PAS yang terjejas akibat kerja-kerja pengkhianatan telah dilakukan dan dalam tempoh masa yang singkat kecederaan ringan pada PAS telah segera dirawat dan berjaya diubati.

Himpunan Fastaqim 2015 sejurus selepas Muktamar Kuala Selangor telah diatur bagi membuktikan ratusan ribu ahli PAS setia, taat dan istiqamah bersama parti dan kepimpinan Tuan Guru Presiden.

Fasa seterusnya adalah Muktamar di Kota Bharu 2016. PAS telah pulih sepenuhnya dan mula menyusun gerakannya dengan lebih mantap terutama setelah ditendang keluar oleh Dap dari Pakatan Rakyat.

BPMS atau “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” telah diperkenalkan dan disyarah serta diperterunkan keseluruh ahli akar umbi. PAS yang dewasa dan matang tidak lagi mahu mengambil pendekatan “confrontational” atau bertegang dengan semua pihak khasnya sasarannya. PAS mahu ambil pendekatan diplomasi, rasional dan mengambi peranan penasihat berlandaskan nas.

PAS sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjaga dan memelihatra kepentingan Islam. PAS dilihat lunak dengan Umno dan kerajaan tetapi sebenarnya melalui BPMS PAS bsersungguh mahu menambat hati semua pihak agar bersama beri simpati dan sokongan pada perjuangan Islam.

Keseriusan PAS dalam bab mendaulatkan Islam ditegaskan dengan membawa RUU355 diikuti dengan Himpunan 355.

Rakyat Malaysia khasnya umat Islam terpesona, malah sejuk hati dan mula membuka diri pada PAS dan perjuangan Islamnya. Rakyat dari pelbagai sektor dan kelas secara terbuka mempamirkan kesediaan mereka bersama menobat dan mendaulatkan Islam. PAS meniti di bibir rakyat khasnya umat Islam yang sangat sensitif  dengan agama mereka.

Lalu Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar menghimpunkan segala kekuatan PAS yang dibina sepanjang lebih 60 tahun dengan komitmen bahawa PAS sudah sedia menjadi “player” utama dalam PRU mendatang ini.

Kemenangan tanpa bertanding Presiden dan Timbalannya mengisyaratkan bahawa PAS penuh yakin dengan gandingan kedua ulamak ini yang diberi mandat tidak berbelah bahagi oleh ahli-ahli untuk memimpin mereka dalam PRU nanti.

Muktamar Alor Setar melakarkan kesediaan PAS untuk bangkit sebagai “kingmaker” setelah berubahnya lanskap politik Malaysia hari ini. PAS akan menghadapi PRU nanti bukan sebagaimana PRU 2008 dan 2013 ketika ada kerjasama dengan DAP dan PKR serta atas platform Pakatan Rakyat.

Lanskap politik baru Malaysia sudah berubah, musuh semakin lemah dan berpecah, rakyat semakin gelisah dan terbeban dengan pelbagai permasalahan, dan PAS akan mencetuskan Tsunami Hijau yang bakal melonjakkan negara dengan penyelesaian komprehensif dan efektif atas nama Islam.

PAS mahu menyelamatkan rakyat dan negara. Politik Malaysia perlu berubah dan penyelesaiannya adalah melalui “Sejahtera bersama Islam”. roslansms@gmail.com

RUU 355 apakah sebenarnya pendirian PKR?

Friday, April 07, 2017

Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen dalam posting FBnya semalam Khamis 6 April jam 11.55 pagi menyebut:

“PKR completed our precounsel meeting at 11am. It has been decided that YB Rafizi Ramli will speak first for our party and that we will reject Hadi's bill.

The Hadi 355 bill will be tabled at 12.”                        

(PKR baru selesai mesyuarat “precouncil” nya jam 11 pagi tadi. Keputusan telah diambil bahawa YB Rafizi Ramli akan pertama sekali bangkit bercakap bagi pihak parti dan kami (PKR) akan MENOLAK rang undang-undang Hadi.

Rang Undang-undang Hadi akan dibentang jam 12.)

Ini bermakna walaupun Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang hanya bangkit membentangkan RUU355 pada jam 12.37 tengahari semalam, tetapi PKR telah pun membuat keputusan menolaknya kira-kira 1 jam sebelum pembentangan.

Ini jelas bertentangan dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebelumnya sebagaimana dilaporkan NST Febuari 10, 2017:

“Despite having concerns and reservations concerning Act 355 as proposed by the Marang MP, we accept and recognise his right to submit the bill through a motion seeking approval to be debated.

In the event of a debate on the motion, and before we move on to make the next decision (on PKR’s stand), we will wait for Hadi explanations,” said Dr Wan Azizah in a statement.”

(Walau kami curiga dan bimbang dengan RUU 355 yang bakal dicadangkan MP Marang, namun kami iktiraf dan terima hak beliau untuk mengemukakan RUU ini untuk dibahaskan.

Sekiranya usul ini dibahaskan, dan sebelum kami membuat keputusan (darihal pendirian PKR), kami mahu mendengar penjelasan Hadi terlebih dahulu,” kata Dr Wan Aziziah di dalam kenyataan beliau.)

Adakah keputusan “precouncil” PKR sebagaimana dilaporkan Wong Chen itu sah atau bertentangan dengan kenyataan Presiden mereka, atau bagaimana sebenarnya sikap dan pendirian PKR terhadap RUU 355 tidaklah diketahu diperingkat ini.

Apa pun pimpinan tertinggi parti berkenaan perlu bangkit dan berikan penjelasan memandangan wakil Marang telah pun membuat pembentangan dan penjelasan beliau berkenaan RUU ini di Dewan Rakyat semalam yang kini diketahui oleh hampir seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia khasnya umat Islam pastinya mahu tahu adakah PKR menerima, berkecuali atau menolak RUU 355 ini.

Kekalkan keikhlasan dalam perjuangan

Saturday, April 01, 2017

Keadaan politik dalam negara berterus-terusan kelihatan gawat dan berkecamuk. Dalam pada itu tempuh penggal Parlimen ke 13 ini menghampiri ke penghujungnya dengan Pilihanraya Umum ke 14 mesti diadakan selewat-lewatnya pertenggahan tahun 2018. 

Berbagai spekluasi dicipta berhubung tarikh pilihanraya umum ini, ada seawal Jun atau Ogos yang pastinya ia wajib diadakan sebelum pertengahan 2018 nanti.

Barisan Nasional semakin cemas apabila pelbagai isu ketempangan dan kepincangan pentadbiran negara kelihatan seakan tidak berupaya dirawati dan rakyat pula semakin tertekan dengan kos hidup yang semakin membebankan dibawah pemerintahan mereka.

Keadaan ekonomi negara dengan menyusutnya harga minyak mentah dunia dan tidak pulih-pulih harga komoditi khususnya sawit dan getah terus tidak membantu kerajaan Persekutuan melegakan kehidupan rakyat.

Dalam pada itu rasuah dan salah-guna kuasa samada dari kalangan orang-orang politik mahupun kakitangan kerajaan tersingkap dan terdedah saban hari yang sudah tentu tambah mengecewakan rakyat dan menghilangkan keyakinan mereka pada kerajaan.

Dalam situasi cemas seumpama ini rakyat mula menimbang-nimbang, meninjau untuk mengenal-pasti samada wujud kah satu gagasan yang mampu memberikan alternatif buat mereka bagi menggantikan Barisan Nasional yang serba mendukacitakan di peringkat Persekutuan.

Jika BN yang serba gagah selama ini mahu digantikan maka penggantinya perlu lebih gagah demi mahu memenangi keyakinan rakyat.

Malangnya blok pembangkang pun hari ini nampak kacau dan tidak menentu. Meski Pakatan Harapan, yang menggabungkan PKR, DAP, PPBM dan Pan berusaha memaparkan diri mereka sebagai alternatif yang berwibawa menggantikan BN, namun rakyat kelihatan masih belum yakin.

Jika dahulunya blok pembangkang dicucuh semangat juangnya oleh kezaliman melampau yang dilakukan oleh pentadbiran ketika itu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga beliau umpamanya, hari ini punca kezaliman itu yang telah membangkitkan kemarahan rakyat sebelum ini tiba-tiba duduk bersekongkol untuk mahu menjatuhkan pula kerajaan yang ia sendiri terlibat menaikkan.

Sementara itu blok yang ada ini terutamanya melalui DAP, kelihatan lebih cenderung bermain politik rasisma dan menolak sebarang usaha atau langkah menobat dan memperkasakan Islam. Bagi mereka, Malaysia ini sesungguhnya sebuah negara sekular, negara yang memisahkan agama dengan pentadbiran dan ia sewajarnya dibentuk dan ditadbir atas kepercayaan itu.

Sudah tentu sikap seumpama ini tidak dapat diterima oleh majoriti pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar BN sebelum ini.

Blok pembangkang ini juga belum selesai proses pembahagian kerusi sesama mereka, dan proses itu sahaja nanti dijangka mencetuskan perbalahan dan sengketa, terutama bagi memberi laluan pada parti baru seperti PPBM apalagi parti nyamuk umpama Pan.

Mahukah DAP dan PKR mentah-mentah berkompromi menyedekahkan kerusi mereka kepada PPBM dan Pan? Di Selangor contohnya DAP menguasai kesemua 15 kerusi yang ia tandingi, bersediakah DAP melepaskan beberapa kerusi buat PPBM ataupun Pan?

Begitu juga kerusi-kerusinya di Pulau Pinang, mahu dan sanggupkah DAP mengorbankannya buat kawan-kawan barunya itu? Apa yang nyata mereka masing-masing mahu memperalatkan antara satu sama lain.

Kesemua keadaan yang tidak menentu ini mendinginkan keinginan rakyat untuk bangkit membawa perubahan menukar BN walaupun mereka terbukti telah bosan dan semakin muak dengannya.

Atas kesedaran itulah PAS, yang disisihkan lantaran pembentukkan Pakatan Harapan, mengambil inisiatif membentuk kedudukannya sendiri dalam pentas politik negara.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden bingkas membaca suasana dan berusaha tidak mengecawakan impian rakyat khususnya majoriti pengundi Melayu untuk melihat perubahan berlaku dalam PRU akan datang.

PAS melalui “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” nya atau BPMS, berterusan membawa agenda Islam dan mengajak rakyat bersama menyelematkan negara dan masa depannya dengan Islam. Hanya Islam mampu menjadi kunci yang boleh membuka pintu penyelesaian ke atas kemelut yang melanda rakyat dan negara hari ini.

Jentera PAS mensasarkan memenagi sekurang-kurangya 40 kerusi Parlimen dan penguasaan ke atas lima buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Jika PAS mampu memperolehi sasarannya itu, PAS bakal muncul sebagai “kingmaker” pasca PRU ke 14 nanti kerana diketika itu adalah dijangkakan parti-parti kelompok BN dan PH bakal gagal memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan khasnya di peringkat pusat secara bersendirian.

Kerana itu jentera PAS disemua peringkat perlu istiqamah dan berkerja keras bagi memastikan PAS menyumbang dalam menyelamatkan rakyat dan negara melalui PRU ke 14 itu nanti sebagaimana disarankan Tuan Guru Presiden.

Wajarlah disaat-saat kritikal ini kita merenung dan menghayati wasiat bekas Timbalan Presiden PAS (dulu dikenali Timbalan Yang Dipertua Agung) Almarhum Prof Zulkifli Muhammad yang disampaikannya selang dua hari sebelum beliau diambil Allah swt hampir 53 tahun dahulu. Menurut Almarhum salah satu syarat kemenangan adalah “keikhlasan”.

“Keikhlasan” ini jika dapat dipupuk, ialah nanti yang akan membawa kejayaan buat PAS.
Ikhlas bererti menyucikan niat kepada sesuatu tujuan dengan mengenepikan apa yang lain dari itu. Kata Almarhum: “Kita ikhlas kepada Tuhan, kita sucikan niat pada Nya dan kita ketipkan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada perjuangan PAS, kita sucikan niat terhdap tujuannya dan kita ketepikan yang lain dari itu.”

Kata Almarhum lagi: “Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapn cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Apa gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Jentera PAS perlu ikhlas, teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan dasar, inilah haluan kita kebelakangan ini dan jika kita berterusan memacu jentera dalam keadaan demikian tidak mustahil sokongan rakyat akan memihak pada kita.

Biarlah yang tidak ikhlas, yang punya agenda peribadi apatah lagi yang khianat pegi jauh dari kita.

Keikhlasan kata Almarhum lagi bukan hanya ditetapkan pada hati dan niat tetapi termasuk amal Amalanlah yang menunjukkan keikhlasan. Kekalkanlah keikhlasan dalam perjuangan, sehingga kita bersama memperolehi sasaran yang kita impikan.