Saturday, September 18, 2004

Giliran UITM

GILIRAN UITM PULA UNTUK DIGADAI



Tun Dr Ling Liong Sik bekas Presiden MCA yang kini selaku Pengerusi Universiti Tunku Abdul Rahman UTAR telah meminta agar pintu UITM dibuka kepada masyarakat bukan Melayu demi perpaduan negara. Selaku bekas graduan ITM yang kini dikenali UITM saya turut berasa terpanggil untuk mempertahankan institusi terakhir bangsa Melayu ini agar dikekalkan kemasukannya hanya untuk Bumiputera memandangkan betapa masih jauh orang Melayu khususnya dalam arus pembangunan negara berbanding kaum -kaum lain.

Utusan Malaysia seperti biasa mensensasikan isu ini almaklumlah sebahagian besar umat Melayu kini sedang diserang demam Perhimpunan Umno. Maka berkokoklah pemimpin-pemimpin Melayu dalam Umno mengkritik Liong Sik dalam hal ini sedangkan Liong Sik satu ketika dahulu adalah rakan akrab mereka pemimpin bukan Melayu terkanan dalam BN.

Bagi saya sesungguhnya banyak yang Umno gadaikan atas nama perpaduan negara tiba-tiba bila Liong Sik minta secubit lagi terus naik berang. Apa yang Umno tak gadaikan, MRSM dahulu selaku maktab menengah, batu loncatan kaum Bumiputera melangkah ke alam pendidikan lebih tinggi dibuka pintunya untuk kaum bukan Melayu. Permintaan supaya MCA juga diberi lesen universiti, sedangkan permohonan sama ditolak oleh PM-PM sebelumnya telah dibenarkan oleh Umno melalui Dr Mahathir. Kini MIC dan tak lama lagi GERAKAN pun nak diberi universiti masing-masing.

Sekolah Agama Rakyat ditekan dan dirampas kembali bantuan per kapitanya semata-mata kerana kononnya menjadi pusat latihan pembangkang, namun sekolah jenis kebangsaan cina cuba kita tengok bangunannya lebih besar dan kukuh berhawa dingin diberi keistimewaan dan sebagainya. Malah kalau kita tengok disudut lain, kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang majoriti Melayu pun Umno sanggup serahkan kepada MCA dan MIC atas nama perpaduan. Orang Melayu di Bukit Gantang, di DUN Bandar Kuala Terengganu dan banyak lagi kerusi-kerusi lain berketuakan bukan Melayu atas nama perpaduan.

Jangan kita lupa Singapura yang dibuka oleh Sang Nila Utama pulau bersejarah yang merupakan sebahagian dari bumi Tanah Melayu siapakah yang gadaikan kepada Lee Kuan Yew dan rakan-rakan kalau bukan Umno juga dahulu.

Tiba-tiba timbul isu UITM, kecil sangatlah untuk digadaikan sekali lagi!

No comments: