Thursday, November 11, 2004

AIR MATA FALLUJAH

Diambang Syawal ini pasti kita umat Islam di Malaysia rata-rata sedang membuat persiapan menyambut Eidul Fitr yang dijangka hari Ahad ini. Sekurang-kurangnya masing-masing sudah bersedia untuk pulang ke kampung malah ada pun yang telah selamat sampai. Kuih-muih, baju raya, kasut raya, paket angpow sudah dan ada yang sedang disedia. Demikianlah lumrahnya orang Melayu berhari raya.

Dalam keseronokan ini pernahkah kita berhenti sejenak dan memikirkan masalah yang sedang menimpa umat Islam saudara seakidah kita di Iraq khususnya di Fallujah.

Mereka juga sedang menghadapi penghujung Ramadhan seperti kita, mereka juga tahu Syawal menjelang tiba namun tidak seperti kita mereka kini sedang cemas dilanda gundah-gulana lantaran dikepung dan diserang bertubi-tubi oleh tentera Amerika Syarikat dari pelbagai penjuru. Senjata dan peluru yang terbaik di dunia sedang di tala ke arah mereka, ke arah masjid-masjid, ke arah bangunan dan rumah kediaman, demikianlah getirnya hidup di penghujung Ramadhan ini bagi mereka. Tiada kegembiraan dan keseronokkan seperti yang sedang kita alami di sini.



Hari ini akan masuklah hari ke 4 asakkan tentera Amerika ke atas Fallujah atas alasan mahu mengganyang pusat pengganas yang berpengkalan di sana. Menurut laporan CNN Operation New Dawn telah berjaya menguasai hampir 70% Fallujah, namun bilangan yang maut dan jumlah harta benda yang binasa tidak dilaporkan. Nyawa akan terus hilang melayang, tangkapan akan terus dilakukan, bagaimanakah agaknya anak-isteri mereka menghadapi semua ini? Pernahkah kita memikirkan perkara ini?

Atau barangkali kita berpuas hati, memang mereka ini semua pengganas dan pelindung pengganas maka padanlah mereka dibunuh dan diperlakukan. Samada mereka itu berpuasa atau mahu bergembira seperti kita tidak penting, yang penting pengganas yang Amerika kenal-pasti mesti dinyahkan, demikiankah sikap kita?

Siapa pun tidak gemarkan keganasan. Islam sendiri tidak pernah menuntut umatnya mengganas tidak menentu. Tapi solanya disini perlukah atas nama menghapuskan keganasan maka kita menghancurkan muka bumi Allah dengan bongkak tanpa perhitungan peri kemanusiaan. Berapa keratkah agaknya yang benar-benar pengganas di Fallujah itu sehingga perlu kita bertindak memusnahkan satu bandar? Apakah telah hilang pendekatan tolak-ansur, diplomasi dan perundingan yang satu masa dahulu merupakan nilai dan adab kebangaan dunia barat.

Umat Islam yang prihatin pasti merasa sedih dan hiba melihat betapa kasar dan biadapnya tindakan yang dikenakan ke atas saudara-saudara se akidah kita di Fallujah. Sebagaimana kita hiba melihat saudara-saudara kita yang diperlakukan di Tak Bai baru-baru ini sehingga melibatkan ramai terkorban.

Fikirkanlah saudara-saudara, dalam kesibukan kita mengatur kewangan untuk berbelanja pada Hari Raya ini.

Benarlah pesan Rasulullah saw lebih 1400 tahun dahulu. Dari Tsauban r.a, katanya Rasulullah saw pernah bersabda:

Hampir tiba satu masa dimana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang mengerumuni hidangan. Lalu sahabat bertanya, apakah ketika itu bilangan kami kecil Ya Rasulullah. Jawab Rasullah saw, bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama buih-buih di lautan. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati-hati kamu. Lalu sahabat bertanya, apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah. Kata Rasulullah saw, iaitu cintakan dunia dan takut mati.



Apakah penyakit wahn ini telah mula merebak dikalangan hati-hati kita laksana penyakit berjangkit yang tidak boleh dikawal dan diubatai lagi?

Ya Allah kau cabutlah penyakit wahn ini dari hati-hati kami agar dapat kami bangun segak dan berani laksana Rasul kami dan para sahabatnya. Agar musuh-musuh Islam akan kembali gentar dan menghurmati kami, perkenankanlah Ya Allah, perkenankanlah.

No comments: