Wednesday, November 24, 2004

SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI

Ia bermula dari laporan Malaysiakini pada hari Selasa. Terus sahaja akhbar-akhbar media perdana yang sememangnya barangkali rindu akan berita Tok Guru memungut khabar angin tersebut dan dimuatkan dalam akhbar masing-masing pada hari ini. Tidak ada verification process ataupun proses penapisan ataupun pengesahan yang dilakukan terus sahaja sondol macam lembu jantan dalam keghairahan. Demikianlah mutu akhbar-akhbar tempatan kita dalam negara yang mendakwa dirinya negara maju serba-serbi.

Utusan Malaysia memaparkan tajuk (versi internet):

Nik Aziz letak jawatan? -- Dikatakan telah menyerahkan surat meletakkan semua jawatan parti

Manakala akhbar THE STAR yang turut menyondol juga menelanjangkan tajuk:

Nik Aziz quit rumour stuns PAS

Saya sendiri pada awalnya enggan memuatkan langsung ulasan berkenaan isu ini akan tetapi apabila Presiden PAS mengulas dengan mengatakan berita yang digembar-gemburkan itu adalah berita bohong maka saya terpanggil bukan untuk membuat penafian yang sudah pun dibuat oleh para pimpinan tetapi untuk menonjolkan mutu kewartawanan dalam negara kita.

Bukan sahaja ianya tidak bermoral dan tidak beretika tetapi lebih parah lagi ia bersedia pula menjadi alat untuk ditunggangi oleh ahli-ahli politik bengkrap dan kecewa yang terlepas cita-cita mahu menjadi Menteri Besar.

Mengapa THE STAR menganggap yang ahli-ahli PAS semacam terencat apabila menerima berita ini jika tidak kerana memiliki niat jahat untuk mengadu-domba dan mencetuskan suasana tegang. Sesungguhnya ramai yang tidak dapat membaca sikap dan pegangan ahli-ahli PAS lalu menganggap sama sahaja ahli-ahli PAS ini dengan ahli-ahli atau penyokong parti lain, kalau dijolok pasti melompat pasti huru-hara.

Bezanya ahli-ahli PAS dengan ahli dan penyokong parti lain, pertama kerana mereka dididik bahawa pergerakan mereka dalam parti adalah laksana satu jamaah. Ketaatan jamaah adalah pada imam ataupun pimpinannya. Kalau terbit serangan ataupun tohmahan mereka tidak akan serta-merta menelannya bulat-bulat sebaliknya mereka akan tunggu reaksi pimpinan. Dan lazimnya apabila pimpinan membuat kenyataan apa sekali pun maka para ahli dan penyokong akan akur dan taat selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syarak.

Lantas kalau tersiar khabar angin bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz akan ataupun telah meletakkan jawatan parti ataupun jawatan MB nya, tiba-tiba Setiausaha Agung parti menafikan dan Presiden pula menyatakan bahawa berita itu adalah bohong maka ahli PAS akan akur dan terima kenyataan pimpinan mereka kerana disiplin mereka berbeza dengan orang lain dalam organisasi lain.

Kesimpulannya bagi saya, tangan ghaib dari pejabat perhubungan Umno Kelantan barangkali telah menekan butang geli yang telah berjaya menggeletek Malaysiakini dan seterusnya akhbar-akhbar kerabat Umno yang lain lalu bersilat dan berkuntaulah mereka untuk mencetuskan suasana. Siapa yang lemah pasti longlai manakala siapa yang bijak pasti terbaca langkahnya.

Kalau nak jadi MB pun tunggulah pilihanraya sekali lagi, kalau 4 kali pilihanraya boleh tunggu apa salah tunggu 1 kali lagi Abe Nuar! Sesama parti bolehlah demo cah keting tapi dengan orang lain jangan.


No comments: