Monday, December 13, 2004

BICARA ATAU BEBASKAN MEREKA

Akhbar tempatan hari ini melaporkan betapa Pesuruhjaya SUHAKAM Hamdan Adnan memohon pihak berwajib samada membicarakan tahanan-tahanan ISA yang berada di Kem Kemunting ataupun bebaskan sahaja mereka. Hamdan membuat kenyataan ini setelah melihat sendiri keadaan mereka yang ditahan di Kamunting ekoran kejadian rusuhan di sana baru-baru ini.

Pastinya rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman akan berbangga dengan kenyataan berani Hamdan ini. Tidak ramai yang memiliki kedudukan sanggup bersuara sedemikian walaupun menyedari bahawa tindakan melalui ISA itu sesungguhnya tidak berperi kemanusiaan.

Menahan seseorang tanpa bicara merupakan suatu pencabulan hak asasi manusia, zalim dan sudah pasti bertentangan dengan agama. Menurut laporan terdapat hampir 80 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan di Kamunting atas tuduhan kononnya terlibat dengan kumpulan pengganas Jemaah Islam. Namun sehingga kini tidak seorang pun dari mereka yang telah diheret ke mahkamah untuk dibicarakan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan.

Bagaimanakah kita mungkin menghukum seseorang semata-mata kerana fahaman ataupun kepercayaannnya, lebih jijik lagi dihukum pula tanpa dibicarakan dan diberi peluang untuk membela diri. Kita pisahkan anak dengan ibu-bapanya, kita pisahkan suami dan isteri, ayah dan anak-anaknya semata-mata kerana kita berpuas-hati bahawa kehadiran mereka di luar akan mengancam keselamatan negara, apakah benar demikian?

Semua rakyat Malaysia tidak dapat menerima malah bencikan keganasan, sekiranya 80 hamba Allah ini benar-benar terlibat dengan keganasan, samada memiliki bahan letupan ataupun senjatapi ataupun telah melakukan apa sahaja jenayah yang termaktub dalam perundangan negara, mengapa mereka ini tidak dibicarakan?

Diperingkat antarabangsa kita mahu dilihat sebagai jaguh hak asasi manusia, kita kutuk penahanan Su Kyi di Myanmar, kita kritik penahanan tanpa bicara warga Afghanistan dan pendukungnya di Guantanamo Bay di Cuba tetapi dalam waktu yang sama kita tidak segan dan malu menahan dan menzalimi rakyat kita sendiri melalui undang-undang rimba ISA!

Wajarlah sangat mereka ini dibebaskan agar dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Memetik kata-kata Mursyidul Am PAS pada bulan September 2003 lalu:

Saya tak boleh terima ISA. Bawalah ke mahkamah. Tuduh orang sebagai jahat, tuduh orang tanpa bawa ke mahkamah, menjatuhkan maruah orang. Air muka manusia satu daripada benda yang wajib dipertahankan oleh syariat Islam. Jadi selagi tidak guna mahkamah maka kerajaan BN zalim. Insya Allah saya berdoa, semakin ramai rakyat Malaysia benci kepada kerajaan BN. Dia akan tanggung laknat atas dunia dan dosa di akhirat kelak

Syabas Hamdan mudaha-mudahan terbukalah pintu hati si zalim berkenaan.





No comments: