Sunday, January 30, 2005

WAKIL BN KURANG SOPAN BILA BERBAHAS
: SIARKAN SAHAJA PERBAHASAN SECARA LANGSUNG

Dalam MINGGUAN MALAYSIA hari ini Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Rais Yatim menggesa agar ahli parlimen dan ADUN BN menggunakan bahasa yang sopan ketika berbahas di Parlimen dan Dewan-dewan Negeri. Rais dilaporkan berkata:

Bagi saya sebagai pemimpin masyarakat mereka seharusnya ingat bahawa tutur kata dan juga kelakuan yang baik bermula dari mereka sendiri.

Dari pengalaman yang ada memang anggota BN samada di Parlimen ataupun DUN terkenal mengeluarkan kata-kata tidak ilmiah, kurang ajar, biadap dan kesat. Menurut Rais ia jarang berlaku tetapi hakikatnya ia memang sering berlaku dan kalau berlaku di Parlimen ataupun DUN ianya pasti berpunca dari wakil BN.

Di Dewan Rakyat contohnya kalau Karpal Singh berhujah wakil BN lah yang akan mengejek dan menyampok dengan kata-kata kurang sopan yang menyentuh kepercayaan dan adat yang diamalkan oleh Karpal. Kalau kita rajin menelaah hansard dewan kita akan terserempak dengan kata-kata biadap ini termasuklah dari Timbalan Menteri dan Menteri-menteri sendiri.

Wakil wanita dari pembangkang khususnya dari DAP (hari ini terdapat 3 wakil wanita dari kerusi pembangkang) sering dicelah dengan gangguan gender yakni berhubung dengan status kewanitaan mereka. Umpamanya YB Fong dari Batu Gajah yang masih bujang kalau berucap maka wakil BN lah yang sering menggangu dengan kata-kata berbau seksual dan seumpamanya.

Seorang wakil Umno dalam dewan penggal yang lepas pernah mengeluarkan kata-kata biadap berikut terhadap Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang yang ketika itu Ketua Pembangkang:

Pakai sahaja serban tapi bodoh.

Di Selangor bukan hanya ADUN BN yang kurang sopan malah Speakernya sekali pun begitu. Onn Ismail memang dikenali sebagai speaker yang berat sebelah dan sering berkelakuan tidak sopan terhadap wakil pembangkang. Pernah ketika ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan pada penggal yang lalu beliau berkata:

Tak ada pembangkang lagi baguslah

Seorang lagi ADUN Umno Selangor yang barangkali adalah juara KURANG AJAR adalah Zakaria Md Deros ADUN Pelabuhan Kelang yang pernah menampar ADUN DAP di luar dewan.

Demikian juga di DUN Kelantan. Kalau ada yang pernah menonton persidangan DUN di sana akan melihat gelagat Ketua Pembangkangnya Annuar Musa yang tidak pernah menghurmati kehadiran Speaker Dewan. Beliau akan bercakap sesuka hati tanpa memperduli peraturan dewan dan sering mengeluarkan kata-kata biadap termasuk pernah menggelar seorang ADUN PAS sebagai ayam kampung.

Kita tidak menafikan yang ada dikalangan wakil BN yang memang bagus perangai dan hujahnya ketika di dewan namun rata-rata ramai dikalangan mereka lantaran kedudukan selesa di dewan akan mempergunakan majoriti mereka untuk bertindak biadap dan kurang ajar.

Bagi saya tidak ada cara lain untuk menangani perkara ini selain membenarkan rakyat menyaksikan sendiri siaran langsung terus dari dewan. Dengan cara ini kalau masih mereka berkelakuan demikian sudah pasti para pengundi boleh mengukur dan membuat penilaian. Jika ini tidak dilakukan sia-sialah nak buat gesaan, yang biadap akan terus biadap.

No comments: