Monday, March 07, 2005

AWANG ADEK: JANGAN JADI PENGEMIS POLITIK MURAHAN

Apabila PAS memang tipis mempertahankan kerajaan negeri Kelantan pada pilihanraya umum ke 11 yang lalu ramai yang meramalkan kerajaan negeri tersebut tidak akan dapat bertahan lama. Spekulasi ini berdasarkan kedudukan PAS yang hanya bertahan dengan majoriti tipis 2 kerusi. Pada pilihanraya tersebut PAS menang 24 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan dengan bakinya berada di tangan Umno.



Kini hampir setahun telah berlalu sejak tarikh pilihnaraya tersebut. Pelbagai pembaharuan telah dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz demi memperbaiki kedudukan dan membangkitkan semula kekuatan. Barisan ahlli EXCO yang dibentuk oleh Tok Guru dikira barisan yang paling mantap malah ada penganalisa politik yang menganggapnya sebagai barisan EXCO yang terbaik sejak negara merdeka.

Dengan kesungguhan kerajaan negeri ini ramai yang berpandangan bahawa ura-ura kerajaan ini akan runtuh sudah tidak berbangkit lagi.

Rupa-rupanya Umno masih tidak boleh melupakan peristiwa kegagalan mereka untuk membentuk kerajaan negeri itu sehinggalah hari ini igauan dan mimpi membentuk kerajaan negeri masih lagi menghantui mereka. Hari ini BERNAMA melaporkan yang ahli parlimen Bachok Awang Adek Hussien dalam satu majlis di Kuala Besut menawarkan mana-mana ADUN PAS Kelantan yang berminat untuk menyertai Umno bagi membolehkan Umno membentuk kerajaan.

Kononnya kata Awang Adek terdapat spekulasi di Kelantan bahawa ada ADUN PAS yang berhasrat menyertai Umno. Hasrat ini kononnya ekoran kegagalan kerajaan negeri membawa pembagunan sejak 14 tahun lalu.

Sejauh mana kebenaran kenyataan Awang Adek ini hanya rakyat Kelantan sahaja yang layak mengukurnya. Tetapi jelas dari kenyataan ini menggambarkan betapa desparate nya Umno mahukan kuasa walaupun terpaksa mendapatkannya melalui pintu belakang.

Saya yakin bukan sekadar ahli-ahli DUN PAS malah seluruh ahli PAS dipelbagai peringkat pada hari ini telah dewasa dan matang dalam sepak-terajang politik di tanah air ini. Ahli-ahli PAS bukanlah ayam daging yang boleh dibeli dan disembelih sesuka hati. Perjuangan Islam yang mereka tatang dan dokong terlalu mahal dari segala yang berharga atas dunia ini. Kerana itulah kita lihat sejak dari era kepimpinan ulamak, tidak terdapat seorang pun ahli parlimen ataupun ADUN PAS yang tergamak untuk menggadaikan prinsip untuk semata-mata lompat dan menyertai Umno.

Benarlah sungguh kenyataan Almarhum Prof Zulkifli Muhammad pada 4 Mei 1964 dahulu iaitu sejurus setelah PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan selepas pilihanraya umum ke 2 pada tahun tersebut, ketika berucapa di hadapan wakil-wakil rakyat PAS ketika itu beliau berkata:

Saya minta satu sahaja kita tanamkan di dalam hati kita, bahawa PAS ini dihancurkan bahawa kerajaan negeri Kelantan ini boleh dihancurkan bila-bila pun. Tetapi saudara-saudara sanggupkah kita menghancurkan Islam di dalam hati kita sendiri? Kalau kita rasa kita tidak sanggup, marilah kita jadikan hati-hati kita ini benteng yang boleh menahan sebarang dugaan yang datang kepada Islam.

Bagi Awang Adek tunggulah pilihanraya sekali lagi, tak perlulah menjaja membuat tawaran ke sini sana macam pengemis politik yang tidak bermoral. Rakyat Kelantan telah pun memberi mandat kepada parti pilihan mereka, janganlah menghina atau membelakangkan suara rakyat itu.

No comments: