Sunday, March 13, 2005

NATIJAH DEBAT PERDANA:
TANGANI SEGERA MASALAH DADAH


Dalam satu perkataan boleh saya katakan bahwa kesimpulan majlis debat perdana anjuran RTM sebentar tadi, menunjukkan yang masalah penyalahgunaan dadah dalam negara kita telah sampai ke tahap KRITIKAL.

Kita mempunyai pelbagai akta dan peraturan iaitu antara yang terketat dalam dunia namun angka penyalahgunaan dadah terus meningkat dari tahun ke tahun sehingga disebut bahawa terdapat 2 penagih baru setiap jam (iaitu 48 setiap hari ataupun 1440 setiap bulan) di Malaysia dan lebih 70 peratus darinya terdiri dari kalangan anak-anak Melayu!

Berdasarkan hujah dan statistik yang dibentangkan oleh ahli-ahli panel jelas bahawa walaupun di sana terdapat undang-undang dan penguatkuasaan namun keberkesanannya kearah membenteras masalah sosial seolah tidak berkesan dan sebaliknya angka dan statistik negatif terus meningkat.

Ustaz Ahmad Awang, Zainal Abidin & Loh

Bagi saya ketiga-tiga ahli panel iaitu Zainal Abidin Zain (Presiden PEMADAM), Ustaz Ahmad Awang (Pesuruhjaya PAS Perak) dan Loh Seng Kok (ahli parlimen Kelana Jaya) telah memberikan komen dan hujah yang jujur dan semasa. Seorang lagi ahli panel iaitu DCP Najib (Pengarah Narkotik Bukit Aman) dilihat terlalu kaku bagai robot dan tidak berdaya memberikan hujah yang bernas kerana barangkali bimbang melangkaui disiplin pasukan.

Mengenepikan sentimen politik saya melihat isu ini bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan tetapi ianya perlu ditangani secara kolektif dan serius memandangkan segala usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan nampaknya tidak berjaya menzahirkan penyelesaian yang efektif. Ahli-ahli panel yang tiga tadi (termasuklah moderator) telah menyingkap betapa kritikalnya masalah sosial ini dan betapa formula baru dan lebih berkesan sangat-sangat diperlukan.

Ustaz Ahmad Awang dan Loh Seng Kok kelihatan bersetuju bahawa pendidikan kerohanian (kata Loh menekankan unsure-unsur dan nilai-nilai baik) dari peringkat persekolahan lagi perlu ditekankan bagi melahirkan jiwa yang teguh dan mampu menolak sebarang ajakan kekancah kehancuran penyalahgunaan dadah ini.

Oleh itu saya sekali lagi memohon agar pihak PAS dan terutama kerajaan PAS di Kelantan memberikan perhatian terhadap isu yang semakin KRITIKAL ini. Dewan Pemuda PAS contohnya boleh segera menubuhkan Lajnah khas untuk menangani isu ini dengan membawa penyelesaian secara Islam (Ustaz Ahmad Awang boleh dimanfaatkan sebagai Penasihat memandangkan pendedahan yang pernah beliau terima sewaktu berkhidmat untuk kerajaan dan PUM dahulu). Dan dalam waktu yang sama kerajaan PAS Kelantan perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang kalau boleh diterajui oleh MB atau Timbalannya untuk menangani isu yang sama.

Dalam hal seberat ini tidak cukup kita sekadar menjadi pembangkang dan pengkritik. Sudah tiba masanya kita turut menyumbang dan secara berani mengemukakan formula penyelesaian Islam yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Inilah masanya untuk kita buktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa sesungguhnya Islam itu sebenarnya adalah penyelesai permasalahan ummah. Saya yakin dan percaya kalau PAS secara serius memulakan inisiatif kea rah menangani masalah dadah ini pasti banyak pihak dan tenaga professional dan bukan professional samada di dalam maupun di luar PAS akan berbondong-bondong memberikan khidmat dan bantuan.

Kesimpulannya saya mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga ahli panel debat ini kerana berjaya mengenepikan sentimen politik dan sebaliknya bersama-sama mengemukakan pandangan dan hujah demi kebaikan bersama.

No comments: