Saturday, April 09, 2005

KEADILAN DALAM UMNO DIPERTIKAIKAN AHLINYA SENDIRI

Apabila Sultan Mahmud menjatuhkan hukum agar Hang Tuah dibunuh kerana durhaka, ramai yang terperanjat. Namun kerana berpegang kepada adat maka orang Melayu ketika itu sekadar tunduk walaupun hati berat menerima. Bendahara Tun Perak juga gundah dengan hukuman ke bawah duli itu, tetapi beliau tidak tunduk buta. Beliau taat kepada Tuanku tapi berpura-pura seolah-olah hukuman telah dijatuhkan.

Tetapi Hang Jebat memilih pendekatan berbeza. Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah, demikianlah pendirian beliau. Kerana tidak dapat menerima keadilan Tuanku yang Jebat anggap zalim itu, Jebat telah bangun menderhaka. Kesudahnnya adalah bahan lagenda dan sejarah.

Dalam UTUSAN MALAYSIA hari ini Zaid Ibrahim Ketua Umno Bahagian Kota Bharu dan ahli parlimen kawasan yang sama turut mempertikaikan hukuman ke atas beliau yang didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang. Kata beliau:

Saya hairan, bagaimana saya yang menang tanpa bertanding boleh dituduh beri duit, apa bukti yang Lembaga Disiplin ada melainkan hanya tuduhan melalui surat sumpah yang boleh dibuat dengan bayaran RM5 sahaja.

Sepatutnya, Lembaga Disiplin siasat betul-betul, ikut prosedur kerana ini melibatkan maruah. Saya kasihan kepada UMNO.

Jelas Zaid tidak dapat menerima keputusan Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan kebetulan oleh bekas ahli parlimen Kota Bharu yang juga pernah mengamalkan undang-undang seperti beliau. Beliau dikatakan tidak akan merayu terhadap keputusan Lembaga Disiplin itu.

Lalu dikategori manakah jatuhnya Zaid kalau nak dipadankan dengan kisah Hang Tuah tadi?

Taraf rakyat Melaka yang terperanjat tapi tunduk, atau taraf Bendahara yang taat tetapi ingkar dalam senyap atau taraf Hang Jebat yang bangun memberontak atas nama membela keadilan?

Memang keadilan dalam Umno telah lama dipertikaikan. Semasa pemilihan September dahulu apabila Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh demikianlah juga halnya. Banyak pihak telah mengunakan kedudukan dan media untuk menyerang Ku Li. Khabarnya di Kelantan sahaja ada perwakilan bahagian lain yang mahu mencalonkan nama Ku Li tetapi dikenakan dikenakan pelbagai tindakan. Malah Ketua Wanita Gua Musang sendiri dihasut agar menentang Ku Li. Akhirnya tidak ada satu pun bahagian lain yang berani mencalonkan Ku Li walaupun menurut peramal politik sepatutnya ada beberapa bahagian pada aslalnya telah memberikan kesediaan.

Demikian juga kes Ibrahim Ali di Pasir Mas yang asalnya Ketua Bahagian tetapi selepas persempadanan semula bahagian pilihanraya digugurkan dari jawatan. Tidak ada pihak yang berani membela walaupun sebahagian besar ahli Umno Pasir Mas taat pada Ibrahim. Dan banyaklah lagi kisah kontroversi dan sensasi apabila membicarakan lupus dan pupusnya keadilan dalam Umno ini.

Hari ini giliran Zaid pula untuk menerima padah apa yang dikatakan keadilan Umno.

Walaubagaimanapun Zaid bukan macam rakyat Melaka, bukan juga bagai Bendahara ataupun Hang Jebat. Zaid sekadar mencetuskan ketidakpuasan hatinya melalui media. Beliau menyatakan hasrta untuk berundur dari politik kerana fitnah dalam UMNO yang kini dikatakan semakin berleluasa. Kata beliau:

Saya fikir mahu pertimbangkan kedudukan dalam politik, mungkin akan berundur dan tumpukan perhatian kepada bisnes saya.

Eloklah begitu, kalau tak jadi Jebat sekalipun sekurang-kurangya keluarlah dari kumpulan yang bathil itu. Cuma secara sinis ada orang mengatakan demikianlah biasanya kesudahan mereka yang mencabar kuasa Allah, menerima padah atas dunia lagi, wallahualam.

No comments: