Wednesday, April 06, 2005

MUNCUL LAGI KUMPULAN BIADAP TERHADAP ISLAM
SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB?!

Sejak akhir-akhir ini muncul dengan begitu subur sekali berbagai pihak yang mula berani mencabar dan mempertikaikan peraturan dan penguatkuasaan Islam dalam negara secara terang-terangan. Ada pihak dengan berani menyuarakan pandangan dan tuntutan bahawa Islam menyekat kebebasan dan menafikan hak individu.

Hari ini akhbar THE MALAY MAIL pula melaporkan terdapat satu kumpulan yang mewakili 221 individu Muslim yang menuntut agar undang-undang syariah yang diguna pakai dalam negara disemak semula kerana dikatakan terdapat peruntukkan yang menafikan individu dari menyampaikan pandangan dan pendapat.

Kumpulan ini turut menuntut agar apa yang dikatakan IMUNITI Mufti dan Majlis Fatwa disemak semula agar sebarang keputusan mereka boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Menurut mereka cara penguatkuasaan undang-undang syariah di dalam negara begitu operasif ataupun menekan dan ianya bertentangan sama-sekali dengan budaya yang diamalkan dalam negara.


JURUCAKAP KUMPULAN BIADAP (dari Malaysiakini)

Kumpulan ini dilaporkan telah pun menyerahkan tuntutan mereka kepada Yang Dipertuan Agung. Mereka dikatakan diwakili kononnya oleh individu Muslim dari pelbagai profesion. Jurucakap kumpulan ini adalah TUANKU AAMASH TUANKU ADNAN dan antara individu Muslim yang aktif menyokong adalah ABDUL MANAN HARUN, ISMAIL IBRAHIM, MASTURA JOHAR, REDZA SHAWIS dan JEFRI AHMAD JAILANI.

Apa sudah jadi dengan umat Islam dalam negara ini? Penjajah British dan Jepun yang tidak Islam itu pun tidak berani menyentuh ataupun mencuit mana-mana peraturan ataupun amalan Islam yang telah diguna pakai dalam negara di zaman mereka. Tiba-tiba dalam negara Malaysia yang merdeka hari ini anak-anak bangsa yang mengakui menganut Islam secara biadap dan kurang ajar berani bangun menuntut untuk disemak dan dibelah-belah peraturan Islam yang sudah pun cukup longgar itu.

Institusi Mufti dan Majlis Fatwa turut dipertikaikan. Bagaimanakah fenomena ini boleh muncul secara tiba-tiba di alaf baru ini, di bawah pemerintahan yang dikatakan mahu berpegang pada prinsip Islam Hadhari? Tidakkah dengan cara ini kita sekaligus memaparkan wajah Islam yang sangat serba kekurangan, hodoh dan cacat di mata rakyat yang bukan Islam? Mengapa tidak, Islam kini dipertikaikan oleh umatnya sendiri, orang Islam sendiri hilang keyakinan ke atas institusi agamanya, Islam mahu digambar operasif dan jumud laksana kominis di dunia Soviet satu ketika dahulu! Tidak mustahil jika golongan biadap ini terus diberi ruang mereka akhirnya akan menelanjang dan meranapkan Islam kerana barangkali bagi mereka Islam yang ada dilihat setaraf dengan kominis yang perlu dirobohkan demi memperolehi kebebasan mutlak.

Siapakah yang bertanggungjawab memberi nafas dan tenaga kepada golongan dan kumpulan seperti ini? Menurut akhbar ini gesaan kumpulan ini dibangkitkan ekoran peristiwa serbuan JAWI ke atas pusat maksiat Zouk beberapa bulan lalu! Tak kanlah kerana itu maka Islam mahu disemak semula!

Golongan ini sesungguhnya lebih merbahaya dari ancaman militan dan pelampau agama, kerana militan dan pelampau agama sekadar mahu mencetuskan huru-hara dengan keganasan yang pastinya tidak popular dan tidak dapat diterima rakyat samada yang Islam maupun bukan Islam. Sedangkan kumpulan seumpama ini cuba bersuara secara menipu dan mengaburi mata rakyat, bermain dengan sentimen jelmaan barat yang sudah pun popular dikalangan mereka yang leka terhadap agama termasuklah yang bukan Islam. Jika dibiarkan terus bernyawa mereka akhirnya akan membunuh Islam dari hati sanubari penganutnya, mana yang lebih merbahaya? Mana yang lebih sepatutnya ditahan dan disumbat ke dalam penjara!

Jika kerajaan Umno dan BN terus mengizinkan individu seperti Astora Jabat, kumpulan seperti Sisters in Islam, golongan anti Hadis dan kini kumpulan sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail ini terus diberi publisiti dan ruang percuma maka tidak ada pihak lain yang perlu dipersalahkan selain Kerajaan Umno dan BN sendiri kiranya Islam nanti menimpa nasib yang lebih malang dan punah.

Demi mempertahankan maruah dan martabat agama, segeralah bertindak ke atas kumpulan ini sebelum kita ditimpa musibah dan laknat yang tidak mampu kita bendung dan tahan lagi. Kembalilah kepada Islam yang sebenar. Perangilah segera musuh dalam selimut ini sebelum Islam berterusan menjadi mangsa!

Sementara itu sekadar untuk pengetahuan laman web MALAYSIAKINI melaporkan kenyataan kumpulan biadap ini yang berbunyi:

Just as the church state divide is characteristic of Christianity, Islam in Malaysia should not enjoy state support in terms of policing public morality.

Sebagaimana pemisahan gereja dan negara merupakan ciri utama bagi penganut Kristian maka Islam di Malaysia juga sepatutnya tidak disokong oleh negeri dari sudut mengawal akhlak orang awam

Berderau darah saya bila membaca kenyataan ini, anda bagaimana? Mereka meminta pandangan orang ramai dengan memberikan nombor faks 03 2698 3948 meraka, lakukanlah sesuatu!

No comments: