Tuesday, April 26, 2005

PENCALONAN DR SITI MARIAH:
ADAKAH TOK GURU TURUT BERKEMPEN
?

Berita pencalonan Dr. Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS oleh Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan masih hangat diperkatakan. Terbaru PAS Kawasan Tebrau merupakan kawasan PAS yang pertama yang menyahut seruan Tok Guru itu dan mencalonkan Dr Siti Mariah sebagai salah seorang calon Naib Presiden.



Perkembangan terbaru dalam PAS ini sungguh menarik tambahan ianya dipelopori oleh Tok Guru sendiri yang pada pandangan ramai kumpulan liberal sebagai seorang yang ultra konservatif dan meminjam kata-kata Azalina Othman, Nik Aziz ini jenis orang yang tidak membaca.

Dalam hal wanita Nik Aziz sering dicap sebagai sexist dan kolot, dengan perkembangan terbaru ini apa pula agaknya jolokan yang nak diberikan terhadap beliau?

Walaubagaimanapun bagi PAS sendiri, perkembangan terbaru ini sungguh tidak diduga oleh banyak pihak namun rasanya akan dapat diterima dengan baik, kerana bukankah PAS menerima konsep kepimpinan ulamak.

Bagi pihak yang sangat sensitif terhadap isu berkempen dalam pemilihan parti, apakah tindakan Tok Guru ini boleh disamakan dengan berkempen?

Bagi saya Tok Guru sekadar mengamalkan haknya di dalam parti yang turut dimilki oleh mana-mana ahli PAS yang lain iaitu untuk mencalon dan mencadangkan mana-mana pemimpin yang difikirkan layak. Dalam hal ini Tok Guru merasakan Dr. Siti Mariah layak untuk dipertimbangkan, lalu dicadangkan untuk turut dicalonkan. Adakah itu berkempen?

Kalau ada pihak yang mengitilahkannya sebagai kempen sekalipun, saya rasa ianya masih dalam batas-batas Islam dan tidak sebagaimana kempen yang diamalkan oleh gerakan ataupun kumpulan sekular.

Dalam hal ini saya kagum dengan pandangan jauh Tok Guru ke arah memartabatkan PAS dan saya turut setuju dengan justfikasi politiknya. Saya yakin ahli-ahli PAS lain turut begitu.

No comments: