Saturday, May 07, 2005

PARA MUFTI TERIMA ISLAM HADHARI
RUPANYA PARA MUFTI PUN MUDAH LUPA

Akhirnya Pak Lah selaku pencetus Islam Hadhari menerima endorsement yang beliau tunggu-tunggu. Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebagaimana dilaporkan dalam akhbar tempatan hari ini memutuskan bahawa pelaksanaan konsep Islam Hadhari di negara ini sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan al-Quran.

Menteri di JPM Dr Abdullah Mohd Zain mengatakan:

Para mufti berpendapat perkara ini sangat jelas, justeru Islam Hadhari tidak boleh dianggap agama baru atau pendekatan yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam seperti didakwa oleh parti pembangkang.

Dakwaan pembangkang bahawa Islam Hadhari tidak mencerminkan ajaran Islam sebenarnya tidak berasas dan para mufti hari ini menolak sama sekali pandangan seperti itu.

Memang para mufti malah siapa sahaja berhak menyatakan pendirian masing-masing dalam isu ini. Malah dalam hal para mufti ini memang tidaklah diharapkan yang mereka akan membuat tentangan terbuka apabila yang memberi taklimat adalah PM sendiri!



Mufti Perak turut membuat kenyataan sebagaimana dimuatkan dalam UTUSAN:

Tafsiran sempit terhadap konsep Islam Hadhari merupakan punca utama parti pembangkang menolak pelaksanaannya.

Kita tengok Pas hanya mentafsir konsepnya sahaja tanpa cuba memahami isi, pelaksanaan dan sama sekali tidak cuba menghayati apa itu Islam Hadhari. Hasilnya, mereka memberi kesimpulan yang tidak benar.

Tak mengapalah kalau nak sokong pun. Namun para mufti yang terlibat juga perlu melihat keadaan masyarakat dari luar dewan taklimat yang mereka duduk. Hari ini di bawah negara yang mengamalkan konsep Islam Hadhari lihatlah keadaan dan nasib umat Islam. Lupakah para mufti yang alim itu darihal beberapa peristiwa dan kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini:

Maksiat dan keruntuhan moral semakin menjadi-jadi. Lupakah mereka tentang Konsert Sure Heboh yang Mufti Perak sendiri haramkan itu? Lupakah mereka darihal peristiwa di The Zouk, dimana para pelaku maksiat terselamat dan para penguatkuasa agama duduk dikandang orang salah. Semuanya berlaku di zaman Islam Hadhari.

Inul Goyang Gerudi, Konsert Tsunami dan pelbagai program maksiat lain diberikan keizinan oleh kerajaan yang turut disertai dan diraikan oleh anak-anak Islam yang lalai dan leka di zaman Islam Hadhari.

Apakah sumbangan kerajaan Islam Hadhari terhadap industri maksiat, judi dan arak umpamanya yang kini semakin meraih keutungan dalam negara kita. Dahlah untung, keuntungan itu disalurkan pula sebahagiannya kepada badan-badan kebajikan termasuk rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Para mufti jangan lupa badan-badan NGO dan individu pernah menyerahkan kepada kerajaan Islam Hadhari ini satu memorandum agar sebarang bentuk MORAL POLICING digugurkan dan tidak lagi diguna-pakai. Siapakah jika tidak Nori Abdullah, anak PM Islam Hadhari sendiri yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan ini.

Sekiranya para mufti berpendapat yang segala yang di atas tidak mengapa, dan tidak mencacatkan Islam Hadhari maka saya kira tidaklah bersalah dalam hal ini umat Islam berlepas diri dari mereka. Tak tahulah jika para mufti pernah membaca buku HADHARAH ISLAMIYAH BUKAN ISLAM HADHARI karangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang atau mungkin mereka merasakan Tuan Guru bukan otoriti seperti mereka.

Saya memetik seperenggan dari buku berkenaan:

Iman atau akidah Islamiyah menjadi asas penting kepada Hadharah Islamiyah. Maka Hadharah hendaklah dibina di atas iman dengan mengikut acuannya, dalam merealisasikan pembangunan manusia, yang berperanan penting dalam membentuk masyarakat dan negara. Disamping itu pembangunan dalam segala aspek yang dilakukan hendaklah mengikut panduan dan matlamat yang betul, seperti yang diperintah oleh Allah Pencipta alam.

Kalau sekadar berceramah berapi-api mahukan Islam, akhlak Islam, budaya Islam, pembangunan Islam tetapi perlaksanaannya bau Islam pun tak ada, maka dalam hal ini bukan hanya rakyat nampaknya mufti pun tertipu juga rupanya.

No comments: