Sunday, June 19, 2005

ANNUAR MUSA: PAS TERLALU KECIL DAN TIDAK SIGNIFIKAN

Menjelang Muktamar PAS ke 51 lalu, PAS telah menjadi bahan berita hangat samada dalam Negara termasuklah di luar. Ramai menantikan saf pimpinan baru PAS yang diputuskan oleh para perwakilan di dalam muktamar tersebut. Sehinggakan apabila keputusan rasmi diumumkan dengan munculnya pimpinan baru dan muda dalam saf pimpinan tertinggi parti yang diterajui Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang itu, akhbar THE STAR bertarikh 6 Jun 2005 memuatkan tajuk:

Most dramatic change in decades
Pertukaran paling dramatik sejak berdekad-dekad

Namun pepatah Inggeris ada berkata daging untuk seserang mungkin racun pula untuk seseorang yang lain. Demikianlah halnya dalam MINGGUAN MALAYSIA hari ini. Annuar Musa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan juga Ketua Pembangkang DUN Kelantan telah menggunakan sepenuhnya wawacara beliau dalam akhbar tersebut untuk menyerang dan memperlekehkan pimpinan baru PAS serta masa depan PAS samada diperingkat nasional maupun diperingkat Kelantan.

Annuar memang berhak mengatakan apa sahaja yang beliau mahu, soal samada rakyat boleh terima ataupun tidak, itu terpulanglah kepada rakyat sendiri. Di dalam wawancara tersebut, walaupun para perwakilan PAS telah memberikan kepercayaan kepada satu kombinasi pimpinan yang baru dan bertenaga, Annuar dengan angkuh berkata:

Orang akan tanya orang nak gunakan PAS untuk apa? Nak guna PAS masuk syurga? Mungkin tahun 1960 orang percaya, tahun 2005 orang tak percaya. Jadi orang nak pertahankan PAS untuk apa? Nak pertahankan PAS kerana nak membentuk sebuah negara Islam? Bila orang tengok Umno lebih mempamerkan negara Islam yang lebih berjaya orang akan tolak PAS. Apalagi bila diberi kepercayaan jaga Kelantan pun tak boleh jaga, macam mana orang nak percaya dia boleh jaga Malaysia.

Benarkah Umno mempamirkan Negara Islam yang lebih berjaya? Naib Presiden PAS Husam Musa ketika berucapa dalam majlis munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS di Kapar, Selangor baru-baru ini berkata antara lain:

10 prinsip Islam Hadhari yang dianuti Umno itu langsung tidak menyentuh aspek perlaksanaan syariat Islam.

Kalau namanya Negara Islam tetapi tiada roh dan jiwa Islam maka selagi itulah untuk pengetahuan Annuar PAS akan terus diperlukan.

Dalam keghairahannya menyerang PAS Annuar seolah-olah hilang pertimbangan kewarasan apabila menuntut agar dasar dan pronsip perjuangan PAS diubah terlebih dahulu sebelum rakyat dapat menerima PAS. Beliau berkata:

Selagi fundamental Pas tidak berubah - dia boleh tukar pemimpin tetapi tidak mungkin akan berlaku perubahan yang benar-benar meletakkan mereka pada landasan yang betul. Bermakna, Pas ini umpama orang yang membina kapal tanpa menyukat kekuatan ombak dan gelombang. Dia tidak akan berjaya. Ombak dan gelombang berubah tapi mereka masih menggunakan kapal korek yang sama

Fundamental PAS adalah terkandung dalam Fasal 5 perlembagaannya iaitu:

Memperjuangkan wujudnya dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Kalau ini dinamakan kapal korek, maka saya yakin kapal korek ini masih bertenaga sejak ditubuhkan 53 tahun lalu dan akan terus bertenaga dan digunakan oleh PAS sampai bila-bila. Sokongan besar ataupun kecil dari rakyat terhadap PAS adalah hakikatnya kerana PAS berpegang pada fundamental ini. Siapa Annuar untuk mengarahkan PAS berbuat sebaliknya?!

Jelas Annuar sebenarnya bimbang dengan perkembangan yang terbaru berlaku dalam PAS namun cuba menunjukkan muka tebal kerana takkanlkah Ketua Umno di bumi PAS mahu tunjuk kelemahan. Beliau berkata:

Saya fikir orang baru bila dapat jawatan, dia terlupa dia menang timbalan sebenarnya, bukan menang Presiden. Bila saya baca interviu Husam, dia fikir dia dah jadi Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan. Tak mungkin seseorang yang pegang jawatan kecil dalam parti macam itu dapat mengubah. Sebab itu pada saya, ini satu euphoria (rasa sangat gembira) selepas mana-mana pemilihan, perkara biasa.

Annuar terpaksa menyerang Husam kerana Husam kini adalah Naib Presiden PAS dan PAS Kelantan disamping diwakili Husam turut mempunyai Kamaruddin Jaafar yang kini menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS. Bermakna dengan kekuatan ini Umno Kelantan semakin tertekan dan sukar memungkinkan Annuar bertakhta sebagai MB setelah menunggu sekian lama.

Menurut Husam semasa di Kapar, ketika peresmian Muktamar PAS ke 51 di Kota Bharu awal Jun lalu, melalui usaha Ibrahim Ali, antara yang turut hadir mendengar ucapan dasar Presiden PAS adalah 2 orang Ketua Umno cawangan dalam DUN Kijang iaitu kawasan Husam sendiri. Kalau Ketua Umno cawangan pun dah berjinak dengan PAS, Annuar tak perlulah sibuk darihal jawatan kecil atau jawatan besar, jaga parti sendiri silap lengkah jangan kerusi ketua pembangkang, kerusi DUN sendiri pun lesap dihanyutkan oleh parti yang kecil dan tidak signifikan ini!

No comments: