Monday, June 13, 2005

JARUM DAN KONDOM PERCUMA HAMPIR MENJADI REALITI

Cadangan pemberian kondom dan jarum suntikan percuma kepada para penagih jenis IDU (injecting drug user : penagih mengunakan jarum) bagi mengelakkan jangkitan HIV AIDS dikatakan akan mengakibatkan kerajaan berbelanja RM145 juta setahun. Kata Menteri Kesihatan Dr Chua Soi Lek jumlah ini berpatutan memandangkan ianya dapat mengelakkan 90,000 pengidap HIV baru dimana kerajaan kini berbelanja lebih RM500 juta setahun untuk merawat mereka.



Sekali lagi kita terpegun mendengar dan membaca kisah sorong papan tarik papan yang melibatkan polimik kondom dan jarum suntikan percuma ini.

Dengan mendedahkan angka-angka ini bermakna Dr Chua cuba sedaya upaya meyakinkan orang-ramai bahawa eloklah diberi kondom dan jarum percuma jika tidak kerajaan akan menanggung kos perbelanjaan yang lebih besar!

Bagi saya penagihan dadah itu lebih-lebih lagi yang melibatkan IDU adalah merupakan penyakit sosial yang serius yang tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia meruntuhkan peradaban manusia dan bagaimana kita boleh terima mereka sebagai sebahagian dari anggota masyarakat yang normal.

Kita seolah mahu membenarkan mereka terus hidup sebagai penagih kerana jarum-jarum bersih kita bekalkan pada mereka secara percuma. Dan kita menobatkan pula mereka terus sebagai ketua keluarga kerana kita memberikan mereka kondom percuma apabila sahaja mahu mengadakan hubungan seks dengan isteri.

Mereka ini bukan manusia yang normal. Mereka berpenyakit, bermasalah dan perlukan rawatan. Mereka hanya boleh dibiarkan bebas berkeluarga dan bermasyarakat apabila mereka telah sembuh dan bersih dari dadah.

Bayangkan suatu keluarga, yang ketua keluarganya seorang penagih jenis IDU, apa Menteri Kesihatan tidak mengambil kirakah perkara ini? Mereka ini lemah pertimbangan, mudah berputus asa, dan akan lakukan apa sahaja untuk melepaskan ketagihan mereka. Kita pula galakkan mereka terus hidup berkeluarga, hari ini kita beri jarum dan kondom percuma barangkali esok kita berikan elaun dan bekalan dadah pula!

Saya melihat mereka ini jika berkeluarga pasti akan memiliki keluarga yang porak peranda. Isteri mana yang sanggup berterusan berkongsi hidup dengan suami jenis penagih IDU. Mahukah anak-anak hidup dengan bapa yang berpenyakit seperti ini? Mereka ini pasti tidak berkerja, dan pasti mengundang lebih banyak masalah kepada masyarakat dan negara.

Oleh itu janganlah kerana kita mahu mengekang satu bahaya maka kita mengendurkan pula kawalan dan perang terhadap bahaya yang lain. Percayalah rancangan memberikan jarum dan kondom percuma ini akan hanya mengundang berbagai bala dan kesusahan lagi, yang untungnya pasti para pembekalnya.

Benar angka pengidap HIV AIDS meningkat dari tahun ke tahun menurut statistik dari 1986 sehingga 2004 terdapat 64, 439 pengidap. Bagi tahun 2004 sahaja terdapat 6,427 kes baru. Dan 75 peratus dari pengidapnya merupakan penagih jenis IDU.

Maka kita perlu sebenarnya mempertingkatkan lagi perang kita terhadap najis dadah. Perketatkan lagi penguatkuasaan, bagaimana jadinya semakin kita maju semakin berlambak jenis dadah ini dipasaran. Perkenakan langkah lebih serius lagi. Tapi bersetuju dengan jarum dan kondom percuma ini bagi saya tak secara langsung mengahalalkan terus aktiviti penagihan dadah ini. Kita mengaku kalah dan mengaku bahawa usaha kita selama ini telah gagal!

Semoga Allah swt melindungi kita dari murka Nya.

No comments: