Friday, June 10, 2005

MESEJ DARI KARTUNIS SENYUM KAMBING

Suka tidak suka sesiapa sahaja yang membaca akhbar UTUSAN pasti tidak dapat mengelakkan mata dari mengerling kartun politik muka depannya iaitu Senyum Kambing. Hari ini ia memaparkan:



Berbagai mesej dapat dibaca dari dialog yang diberikan. Yang jelas ianya mempromosi Setiausaha Agung PAS yang baru yang telah diumumkan perlantikannya semalam iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar. Datuk KJ adalah juga ahli parlimen PAS kawasan Tumpat, Kelantan.

Memang Datuk KJ seorang bekas pensyarah UKM satu ketika dahulu pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung ABIM iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presidennya. Beliau memiliki khazanah pengalaman ketika bergiat dalam ABIM dahulu dan terdedah dengan banyak program dan aktiviti diperingkat tempatan dan antarabangsa. Ketika DS Anwar menyertai UMNO Datuk KJ ikut serta, bertanding tetapi kalah ditangan PAS untuk kerusi parlimen Tumpat.

Datuk KJ pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Ghaffar ketika Tun menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bermakna beliau juga telah menimba banyak pengalaman dan tahu sangat akan kisah dalam kelambu Umno.

Walaubagaimanapun ketika krisis Anwar, beliau bangun menentang dan akhirnya keluar UMNO dan menyertai PAS diambang pilihnaraya umum 1999. PAS Kelantan memberikan laluan kepada Datuk KJ bertanding di Tumpat dan menang sehinggalah kini.

Sejurus selepas pilihnaraya umum tersebut Datuk KJ telah bertanding dan menang pula jawatan AJK PAS Pusat. Ini sekaligus membuktikan keterbukaan PAS menerima dan menempatkan dikedudukan yang sewajarnya mana-mana tokoh yang bersedia untuk berkhidmat dengan ikhlas di jalan Allah.

Kini Datuk KJ selain menjadi Ketua Whip PAS di Parlimen adalah juga Setiausaha Agung parti. Dan perlantikannya ini bagi SENYUM KAMBING adalah sesuatu yang perlu ditonjolkan. Apa pun niat UTUSAN kita mengucapkan ribuan terima kasih atas publisiti percuma itu dan saya yakin Datuk KJ dengan pengalamannya yang luas itu akan mampu memberikan khidmat yang terbaik kepada parti dalam suasana PAS sedang membuka dirinya kepada masyarakat sebagai alternatif kepada kelesuan dan kekalutuan yang berada dalam Umno.

Percayalah ramai lagi yang dalam Umno akan nanti menceraikan parti itu dan duduk bersama bernaung di bawah perjuangan Islam yang sebenar ini sebagai mantan-mantan belaka, ianya hanya menunggu saat dan ketika yang munasabah insyallah.

No comments: