Friday, July 15, 2005

2K: KERIS DAN KHAIRY

Akhbar THE STAR dalam salah sebuah ruangannya menyiarkan darihal 2K yang akan menerima perhatian pada Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda Umno kali ini. Satu K adalah sebilah keris yang akan Pemuda Umno nobatkan sebagai salah satu alat rasmi persidangannya bermula persidangan kali ini.

Keris ini dikatakan diperbuat oleh tukang keris di Raja dan diperbuat dari campuran 7 jenis logam terpilih. Pada persidangan itu nanti keris tersebut akan dibawa masuk dengan penuh adat istiadat Umno dan dipersembahkan kepada Ketua Pemudanya, yang akan mengucupnya serta memasukkannya kembali ke dalam sarungnya, dan diletakkan di tempat khas di atas pentas sebelum Ketua Pemuda mula menyampaikan ucapannya.


2K: KERIS KERAMAT & KHAIRY JAMALUDDIN

Keris itu dikatakan akan terus berada atas pentas sehinggalah berakhirnya persidangan dengan dikawal oleh petuas-petugas khas. Dan yang menariknya kata Pembantu Setiausaha Pemuda Abdul Rahman Dahlan:

We want whatever is said in the assembly to be KERAMAT

Kami mahu apa sahaja yang dibincangkan dalam persidangan itu nanti menjadi KERAMAT.

Sejak bila pula sebilah keris boleh berkuasa menjadikan satu-satu majlis itu keramat? Ini satu trend kepercayaan tahyul yang baru dalam sebuah parti yang kononnya berhasrat men transformasikan negara menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Kalau upacara melibatkan keris tersebut digunakan bagi tujuan menyemarakkan budaya Melayu semata-mata tak mengapalah juga, tapi kalau dah terselit unsur-unsur mistik, bimbang-bimbang tergelincir akidah pula nanti.

Takut-takut kalau keris ini dipercayai memiliki unsur keramat, nanti terpanggil pula Ayah Pin dan pengikutnya untuk membina replika keris gergasi, bersebelahan replika-replika kendi, payung, bahtera, pasu dan lain-lain yang ada di perkampungan beliau itu.

Adapun K yang kedua yang dimaksudkan oleh pemberita THE STAR itu adalah Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Presidennya.

Pada persidangan yang melibatkan pemilihan tahun lepas, sejurus selepas Khairy diumumkan menang tanpa bertanding, terdengar jeritan BOO terbit dari para perwakilan dalam dewan. Kini setahun telah berlalu, dan Khairy yang di BOO itu kini menjadi semakin kuat dan perkasa.

Ada yang mengatakan bekas Naib Presiden Umno, Isa Samad terpelanting dan terlentang jatuh hasil dari kekuatan dan pengaruh Khairy!

Dengan kehebatan sedemikian yang pastinya kehadiran dan ucapan Khairy tahun ini, tidak lagi akan diiringi dengan BOO malah akan menerima tepukan gemuruh, barangkali lebih dari Hishamuddin sendiri, jika tidak senasiblah ekau nanti ngan Iso!

Itulah budaya yang biasa dalam Umno, meminjam kata-kata Allahyarham bekas Senator Azman Attar: budaya politik periuk nasi!

No comments: