Sunday, July 24, 2005

KE MANA PERGINYA PATRIOTISMA JENERASI MUDA

Sebentar tadi sekali lagi TV1 menyiarkan secara langsung siri debat perdananya. Dan sekali lagi juga saya mengucapkan syabas kepada RTM kerana bersedia membuka laluan kepada tokoh-tokoh dari berbagai fahaman politik dan latarbelakang untuk mengambil-bahagian dan memberikan pendapat.

Ahli-ahli panel kali ini terdiri dari Datuk Masidi Manjun, Menteri Belia dan Sukan Sabah dari Umno, YB Loke Siew Fook Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP (ADUN Lobak, NS), Tuan Mohd Hashim Tuan Yaacob Timbalan Presdien Kebangsaan MAYC dan Sdr Mazlan Aliman Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Moderatornya seperti biasa adalah Johan Jaafar.

Masing-masing membawa pendekatan masing-masing, namun yang pentingnya semua pihak boleh duduk semeja membincangkan dan membahaskan isu yang melibatkan kepentingan nasional dalam suasana yang cukup mesra dan toleran.

Yang menarik bagi saya apabila Loke menyebut bahawa patriotisme itu sesungguhnya adalah semangat sayangkan Negara, bukannya taat pada parti pemerintah. Mereka yang dari parti pembangkang contohnya walaupun berbeza pendapat dalam satu-satu isu namun tidaklah bermakna mereka tidak patriotik.

Saya kira menghormati pemimpin yang memerintah contohnya ketua Negara, adalah sesuatu yang lumrah dalam Negara kita. Orang DAP, orang PAS semua menerima dan menghormati contohnya Pak Lah sebagai PM kerana beliaulah satu-satu PM kita. Demikian juga rakyat Kelantan tak kira parti perlu menghormati Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana dialah satu-satu MB Kelantan.

Namun apabila seseorang memilih untuk menganggotai parti lain ataupun memberikan pandangan yang kontra dari pandangan arus perdana tidaklah bermakna seseorang itu tidak patriotik. Inilah perkara yang sering disalah erti dan diselewengkan khusus apabila kita membicarakan isu ini.

Perbincangan malam tadi dimulakan dengan penumpuan terhadap masalah-masalah yang dihadapi yang mengakibatkan golongan muda tidak lagi bersikap patriotik. Apakah punca longgarnya jatidiri mereka, umpamanya.

Mazlan membangkitkan masalah hiburan yang melampau yang telah lebih menarik minat golongan muda berbanding isu patriotisma. Beliau membangkitkan (malah dipersetujui oleh moderator) bahawa isu ini turut diluahkan oleh para perwakilan Umno dalam perhimpunan mereka tahun lalu dan terbaru tahun ini, membuktikan betapa seriusnya perkara ini. Namun realitinya, rancangan-rancangan seumpama ini contohnya di televisyen semakin rancak.

Mazlan memperkuatkan hujahnya dengan menunjukkan keratan akhbar berkenaan Konsert Inul yang terkenal dengan tarian goyang gerudinya. Sudah pasti menurut beliau konsert seumpama ini yang melibatkan pula artis luar tidak membawa kepada pembinaan jatidiri golongan muda.

Wakil Umno bagaimanapun tidak setuju dengan hujah tersebut dengan mengatakan bahawa sebenarnya tidak terdapat masalah dengan hiburan melampau dengan syarat ianya tidak melalaikan. Dan dalam hal Inul beliau berkata imannya tidak goyah dengan menonton Inul.

Dalam hal ini, hujah Mazlan adalah berkenaan hiburan keterlaluan yang tidak terkawal. Jelas beliau tidak menetang hiburan itu sendiri. Lantaran itu kata beliau usaha kerajaan untuk memimpin jenerasi muda kea rah nilai-nilai positif dikira gagal.

Wakil MAYC yang pada mulanya bersetuju bahawa terdapat masalah dalam sistem pendidikan kerana gagal melahirkan anak-anak yang patriotik, akhirnya telah mengubah pendirian beliau dan terus sahaja tidak bersetuju dengan hujah-hujah dari Loke dan Mazlan. Kontra beliau itu ketara sekali apabila beliau pula berhujah bahawa tidak mudah pendirian anak-anak muda goyah apabila terdedah dengan hiburan kerana latihan di sekolah-sekolah telah membetuk ketahanan dalam diri mereka masing-masing.

Hujah Mazlan dimantapkan apabila memetik ayat al Quran surah al Ahzab ayat 21 yang menyebut bahwa sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik. Bermakna pada hari ini kata beliau dengan lambakkan hiburan ini apabila ditanya golongan muda siapakah ikutan mereka sudah pastilah para penghibur yang dipilihnya, bukan dari kalangan pemimpin itu sendiri.

Cumanya dari sudut kepelbagaian hujah, Mazlan dikira sedikit terlambat apabila hanya membawa hujah keruntuhan akhlak, dadah dan lain-lain hanya dipenghujung rancangan. Mungkin kerana tidak berpeluang dan kesuntukan masa, namun sudah pasti kiranya hujah hiburan yang ekstrim dan keruntuhan akhlak itu dapat dipadukan dalam satu hujah, pasti lebih meyakinkan.

Kesimpulannya kita dapat melihat betapa semua pihak, bukan sekadar kerajaan sahaja sesungguhnya memandang serius isu patriotisma ini. Hanya rakyat yang berjaya diasuh dengan baik melalui pemimpin-pemimpin yang baik-baik sahaja yang kelak dapat mencetuskan kecintaan dan kasih sayang pada Negara. Sebaliknya rakyat yang dimewahkan dengan hiburan yang keterlaluan dan unsur-unsur negatif hanya akan menjadi statistic yang bakal mebebankan negara.

No comments: