Sunday, July 10, 2005

SURAT RAFIDAH KEPADA MAHATHIR
RAKYAT TIDAK PERLU TAHU

MINGGUAN MALAYSIA
hari ini meletakkan di dada hadapannya tajuk:

Penjelasan Rafidah kepada Dr M berhubung isu Proton, AP
Pertikaian selesai PM

Setelah rakyat didedahkan melalui saluran media perdana darihal isu-isu yang dibangkit dan dipertikaikan oleh bekas PM Dr Mahathir Mohamad yang juga Penasihat Proton berkenaan industri kereta tempatan, antara lain:

Masalah persaingan yang dihadapi Proton, masalah kereta-kereta impot yang diisytiharkan di bawah harga sebenar (under declare), masalah AP ataupun permit impot kereta yang dikeluarkan secara berleluasa, masalah pesaing tempatan kepada Proton yang dipertikaikan kelayakannya,

tiba-tiba penyelesaiannya, jika pun selesai, berlalu begitu sahaja, disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Sebelum ini Pak Lah diberitakan berkata Rafidah akan diminta menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh Mahathir kerana ia berkaitan dengan kementerian beliau. Rafidah pun berkata beliau akan jawab. Dan dalam akhbar hari ini PM dengan senang hati berkata: Pertikaian selesai!

Apa yang selesai?

Benarkah tuduhan Mahathir itu, kerana segala pertuduhannya diketahui umum? Jika benar apakah jawapan Rafidah? Benarkah Rafidah bersubahat mensabotaj industri kereta nasional khususnya dalam kes Proton? Jika benar, apakah tindakan yang dikenakan terhadap Rafidah?

Jika tidak benar tuduhan yang dibuat oleh Mahathir, bermakna beliau telah mereka-reka alasan untuk membela kelemahan Proton dan industri kereta nasional. Beliau juga harus diambil tindakan, sekurang-kurangnya pecat beliau dari jawatan sebagai Penasihat Proton!

Apa pun kesudahannya rakyat perlu dimaklumkan berkenaan hal yang sebenar. Pak Lah bertanggungjawab memaklumkan kepada rakyat jelata oleh kerana industri kereta nasional, ini adalah industri nasional dan rakyat berhak untuk tahu.

Ini bukan rahsia kerajaan, ini tidak ada kena-mengena dengan akta rahsia rasmi, ini industri nasional yang berkait langsung dengan rakyat Malaysia, oleh itu jangan sedap kata selesai tanpa rakyat tahu hal yang sebenar.

No comments: