Wednesday, July 27, 2005

SYABAS DAN TERIMA KASIH CHE DET

Dr Mahathir berkata Rafidah telah menipu:

Dr M unloads: She lied

Dr M mendakwa: Beliau (Rafidah) telah menipu

Demikianlah tajuk akhbar NST hari ini. Manakala akhbar THE MALAY MAIL membawa tajuk:

Dr M fires back: I am not senile



Dr M menjawab: Saya tidak nyanyuk

Demikianlah antara kata-kata keras yang NST anggap sebagai:

Sarcastic, biting and blunt

yang datangnya dari Penasihat Proton Holdings Berhad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia yang pernah memimpin negara ini selama 22 tahun sehinggalah tahun 2003 lalu.

Apakah implikasi luahan hati dan perasaan secara terbuka Dr Mahathir ini yang telah menyentuh isu pemberhentian CEO Proton Tengku Mahaleel, isu AP, isu berkaitan Rafidah Aziz dan banyak lagi?

Apakah isyarat yang cuba ditunjukkan? Apakah maksud yang mahu dicapai?

Bagi saya kenyataan lantang Dr M ini penuh beralas dengan fakta, kebenaran dan asas. Ramai termasuklah penulis tidak menyenangi beliau semasa beliau PM dan Presiden Umno dahulu (dendamnya tidak terubat). Beliau pernah bertindak zalim terhadap ramai individu dan kumpulan, beliau dikatakan terlibat dengan kronisma dan nepotisma serta salahguna kuasa sehingga menyuburkan budaya rasuah yang berleluasa yang terus kekal dalam saluran darah Umno sehingga hari ini.

Itu hakikat dan tiada siapa yang mahu menafikan perkara tersebut. Tetapi dalam hal khusus ini Dr M bercakap dalam kapasitinya sebagai Penasihat Proton, satu-satunya perusahaan otomobil nasional yang tersohor dalam negara. Beliau bukan lagi PM, bukan juga lagi Presiden Umno.

Lalu setakat mana isu yang dibawanya berhubung perkara yang panas ini saya kira beliau patut dikira nekad dan berani. Hari ini sudah tidak ramai lagi pemimpin Melayu yang berani dan bersedia berdiri atas dasar kebenaran. Pemimpin yang mengejar dan berebut kuasa sudah hilang sifat kejujuran, pertimbangan hidupnya semata-mata untuk mengaut lebih kuasa dan keuntungan. Lalu pemimpin Melayu hari ini sudah bacul bercakap yang benar.

Yang ada pun inilah makhluk bernama Dr M. Beliau sedar betapa beliau bakal berhadapan dengan pelbagai kemungkinan namun bekas PM yang berusia 80 tahun ini memilih untuk mempertahankan kebenaran. Eloklah tu.

Walaupun ada pihak mengatakan yang ternampak bayang kelibat Najib dibelakang Mahathir, itu tidak penting. Yang pentingnya selaku Penasihat Proton dan bekas PM beliau telah bersuara, dan setakat yang terdapat dalam rekod apa yang diperkatakannya benar belaka.

Apakah akan terjadi seterusnya?

PM dan Rafidah sedang berada di luar negara. Sedang dalam negara rakyat didedahkan dengan berbagai fakta dan maklumat (sebagaimana yang terkandung dalam semua akhbar hari ini) yang melibatkan kewibawaan Rafidah dan malah kerajaan dan PM sendiri!

Mahathir mungkin dipecat dari jawatan beliau, mungkin tidak lagi diberi kedudukan sehingga mudah berkata-kata sebegini. Pak Lah mungkin keluar dengan kenyataan menafikan semua yang diperkatakan Mahathir dan begitu juga kemungkinannya Rafidah. Walaubagaimanapun pekung telah didedahkan dan menurut Mahathir akan terus beliau dedahkan lagi. Biar busuk biar sakit mata memandang tetapi menurut perkiraan Mahathir rakyat perlu tahu.

Mungkin agendanya untuk menjatuhkan Pak Lah, menaikkan Najib. Itu hal rumah tangga Umno, yang pentingnya di sini kebenaran berdiri telanjang di depan mata rakyat.

Bagi saya yang tidak pernah menyenangi Mahathir selama mana beliau PM dan Presdien Umno, dalam hal ini saya mengucap terima kasih kepada beliau. Mungkin beliau pula akan ditelanjangi oleh Pak Lah dan Rafidah, itu pun menarik juga. Tetapi setakat ini, setakat apa yang telah terdedah, kita ucapkan terima kasih Che Det dan syabas atas keberanian anda!

No comments: