Saturday, August 27, 2005

Isu Mawi ke Kelantan:
Tok Guru MB Kelantan beri penjelasan

Walaupun telah banyak penjelasan diberikan namun ramai yang masih tidak berpuas hati. Ada yang pertikaikan, ada yang berhujah tidak syarie, ada yang kata jahiliyah dan berbagai lagi reaksi yang negatif dan tidak membina sama-sekali. Walaupun Harakah keluaran terbaru telah memuatkan penjelasan ahli EXCO PAS yang juga Naib Presiden parti Hj Husam Musa, kalau yang tak puas hati masih akan tetap tidak berpuas hati juga.



Sebentar tadi Tok Guru Mursyidul Am yang juga MB Kelantan yang bertanggungjawab memberikan lampu hijau kepada konsert yang dimaksdukan telah menyentuh isu ini dalam ceramah beliau.

PAS Kawasan Hulu Langat telah mengundang beliau ke Taman Melewar sebentar tadi dan dalam majlis tersebut Tok Guru telah mengambil peluang untuk melurutkan kekusutan didada mereka yang masih kusut dan berserabut, mudah-mudahan berpuas hatilah hendaknya.

Kata Tok Guru sebagaimana yang pernah saya coretkan dalam BLOG ini sepatutnya tidak timbul sebarang masalah (dalam mengundang Mawi) kerana ini bukanlah kali pertama kerajaan negeri mengundang seorang penyanyi. Akil Hayy seorang bekas penyanyi rock pernah diundang, Ito seorang rocker pernah diundang, oleh itu apa bezanya apabila kerajaan negeri mengundang seorang lagi penyanyi iaitu Mawi.

Beliau menambah yang kerajaan negeri undang adalah Mawi bukan Akademi Fantasianya. Kesalahan Mawi hanyalah kerana beliau menyertai AF, dan kerajaan negeri pun tidaklah berminat pada AF, hanya Mawi sahaja.

Tambah beliau lagi sebagai sebuah kerajaan negeri yang berlandaskan Islam, tugas beliau dan pimpinan negeri adalah untuk menapis dan meneliti apa sahaja yang penting untuk Islam.

Malah kata Tok Guru istilah menyanyi itu sendiri sepatutnya tidak dihadkan dengan menyanyi yang kita dengar dan ikuti hari ini. Sesungguhnya nasyid dan marhaban itu juga menyanyilah asalnya. Di zaman Rasulullah saw dahulu, terlalu ramai mereka dizaman itu yang telah mempersembahkan syair di hadapan baginda, antara yang terkenal adalah Hassan bin Tsabit. Bersyair itu kata Tok Guru menyanyilah juga hakikatnya.

Tok Guru menjelaskan lagi bahawa dipasaran hari ini terdapat terlalu ramai penyanyi yang boleh dipilih, namun tidak diundang ke Kelantan kerana perangai dan gaya serta persembahan mereka tidak menonjolkan imej Islam.

Beliau turut menyentuh persembahan dikir barat dan wayang kulit yang asalnya telah diharamkan oleh kelrajaan PAS. Walaubagaimanapun setelah terdapat versi yang baru yang mengandungi mesej dan unsur Islam, maka larangan terhadapnya telah ditarik balik.

dalam ucapannya Tok Guru turut menasihatkan orang-ramai khususnya mereka yang mencintai Islam agar jangan cepat melenting dan bersikap negatif dalam hal ini.

Tok Guru tidak ketinggalan mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno yang mengatakan kerajaan PAS Kelantan berada dalam siatuasi tertekan, kata Tok Guru PAS tidak pernah merasa dirinya tertekan di Kelantan. Insyallah katanya Islam bila dipantau oleh alim-ulamak dengan sendirinya ia akan menjadi selamat.

Tok Guru turut menafikan kononnya kerajaan negeri turut berhasrat mengundang Siti Nurhaliza ke Kelantan sebagaimana yang didakwa Hishamuddin. Jangankan penyanyi perempuan, qariah di Kelantan pun sekadar dibenarkan membaca al quran secara tartil sahaja dan tidak secara taranum (berlagu).

Mudah-mudahan penjelasan Tok Guru ini akan segera menamatkan polemik Mawi ke Kelantan ini. Kita doakan sahajalah ianya berjaya dan kelak akan dapat menambat hati anak-anak muda untuk dekat dan akhirnya bersama-sama mendokong dan menyokong perjuangan Islam insyallah.

No comments: