Wednesday, August 17, 2005

Tok Guru mengundang Mawi:
Satu pendekatan dakwah baru yang berani

Kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat sekali lagi mencipta kejutan. Kali ini dengan mengundang secara rasmi juara Akademi Fantasia musim ke 3 Mawi ataupun nama sebenarnya Asmawi Ani untuk hadir dan menjayakan Konsert Amal Tautan Kasih di Padang Perdana Kota Bharu pada 30 September ini.

Pasti langkah Kelantan ini bakal mengundang pelbagai reaksi dan komen samada yang positif maupun negatif.



Menurut laporan yang dipetik dari laman web PERAKAN di http://www.perakan.net/ kerajaan negeri mengundang Mawi untuk menjayakan konsert tersebut tanpa mengenakan sebarang syarat kepada artis muda dan sedang meningkat naik tersebut.

Keberanian Kelantan mengundang Mawi ini ekoran komen positif yang diberikan oleh Tok Guru MB terhadap keperibadian artis tersebut. Tok Guru pernah dipetik sebagai berkata:

Dalam masa saya mencari-cari ini terjumpa Mawi. Berdasarkan kepada berita yang disiarkan media massa, Mawi bukan dari kelompok yang suka hanyut, dia tahu harga diri dan tahu agamanya.Dan dia tahu harga nilai murni. Mungkin diajar oleh keluarga dan agama dia. Maka saya jatuh hati hendak jemput beliau datang ke Kelantan.

Bermakna Tok Guru juga meminati artis seumpama Mawi ini. Dalam erti kata lain kriteria artis yang boleh diterima dari perspektif Islam adalah yang berperwatakan seperti Mawi. Kita tidak menafikan bahawa Mawi telah terpaksa mengikuti beberapa program dan acara yang tidak disenangi dari pandangan agama sepanjang menjayakan AF namun kita yakin ianya dilakukan oleh beliau dalam keadaan hati kecilnya tidak redha sebagaimana yang dianggap oleh Tok Guru.
Saya yakin tindakan Tok Guru ini dilakukan penuh dengan bacaan politik yang mendalam sebagaimana pernah diucapkan oleh Almarhum Dato Fadzil Nor semasa Muktamar PAS ke 47 pada tahun 2001 lalu:

Adapun dari sudut perkara-perkara yang boleh berubah mengikut peredaran zaman dan tamaddun maka ulamak harus menunjukkan bimbingan yang bijak atas perkara yang berubah ini (al mutaghayyirat). Kita tidak perlu syadid (keras) dan sempit dalam perkara yang tidak menuntut sikap yang sedemikian khasnya dalam suasana negara yang bermasyarakat majmuk dan dalam perhubungan praktik antara amalan budaya dan agama.

Sebagai MB, Tok Guru menyedari bahawa setiap gerak langkahnya sebagai ketua negeri merupakan gerak dakwah belaka. Saya yakin tindakan mengundang Mawi ini dilakukan Tok Guru demi kerana dakwah jua.

Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam kitabnya Islam: Fikrah, Harakah dan Dakwah ada menulis:

Perlu diketahui, manusia yang didakwah itu berbagai-bagai peringkat, ada yang kuat dan ada yang lemah, ada yang jinak dan ada yang liar. Maka diantara kebijaksanaan seseorang pendakwah itu ialah tidak mebebankan mereka dengan perkara yang dirasakan menjadi kesulitan yang meliarkan. Hendaklah bersikap mudah dengan cara yang diizinkan agama.

Seluruh ahli, penyokong dan simpatis gerakan Islam seharusnya meraikan tindakan dan langkah keterbukaan kerajaan Kelantan ini, demi melebar-luaskan jaringan gerak kerja dakwah untuk menambat hati masyarakat dan rakyat kea rah Islam.

Jangan kita tercicir atau tertinggal dari arus kebangkitan ini. Allahuakbar.

No comments: