Monday, August 01, 2005

UMNO tidak peduli PAS lagi:
Menyanggah pandangan Subky Latif

Ramai yang menyedari bahawa Pak Lah langsung tidak menyentuh darihal PAS semasa menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung umno di PWTC baru-baru ini, sedangkan PAS adalah musuh politik tradisi Umno.

Malahan semasa menggulung perbahasan juga Pak Lah tidak sedikit pun menyebut samada berkenaan PAS maupun pemimpin-pemimpinnya. Ini sudah pasti berbeza sama-sekali dengan ucapan-ucapan Dr Mahathir sebelum ini yang tidak pernah melepaskan peluang menyerang PAS setiap kali berucap dalam perhimpunan itu ketika beliau Presidennya dahulu.


Subky: Umno dah tak peduli PAS

Mengapa berlaku demikian?

Ramai yang berangapan Pak Lah berhadapan dengan terlalu banyak isu dalaman sehingga tidak memikirkan perlu memperuntukkan ruang untuk berbicara darihal isu politik luaran. Ada pula yang beranggapan Pak Lah mahu meredekan buat seketika konfrontasi Umno-PAS untuk memberikan tumpuan terhadap isu perpaduan dan pembersihan Umno.

Demikianlah rata-rata pandangan yang diterima, namun pandangan ini tidak pula dikongsi ataupun diterima oleh seorang penulis veteran, bekas AJK Pas Pusat iaitu Pak Subky Latif.

Bagi beliau sebagaimana yang dimuatkan dalam BLOGnya http://subkylatif.blogspot.com/ :

Yang dirasakan perubahan yang dibuat dua bulan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu langsung tidak dirasaskan apa-apa oleh UMNO. UMNO menghadapi pertukaran itu dengan tidak mempedulikan langsung kewujudan PAS.

Pak Subky beranggapan PAS tidak disebut dalam ucapan dasar Umno kerana PAS pada hari ini walaupun telah melalui proses perubahan pucuk pimpinan berdasarkan kehendak para perwakilan muktamar, namun pada hakikatnya tidak menyengat. Perubahan pucuk pimpinan PAS yang dikatakan berlaku dalam PAS sebenarnya bagi Pak Subky sekadar pertukaran beberapa jawatan penting sesama lingkungan itu juga.

Kata beliau:

Tetapi yang dinamakan pasukan pimpinan baru itu satu pertukaran tokoh-tokoh dalam beberapa jawatan penting di bawah Presiden yang sama. Pertukaran itu adalah antara orang-orang yang di dalamnya juga. Yang dikatakan perubahan itu adalah pertukaran.

Dalam pecubaan PAS melakukan lonjakan paradigma, ia mencari tokoh baru barang seorang dua, tetapi tokoh iu tidak diperolehi. Justeru itu yang tidak tokoh pun dijadikan tokoh.

Semua pihak baik dalam PAS mahu pun di luar PAS mahukan PAS yang dinamik. Mana yang keruh diganti dengan jernih. Bukan mengeruhkan yang jernih.

Benarkah demikian?

Saya selama ini sungguh menghormati Pak Subky sebagai seorang tokoh yang telah memberikan banyak sumbangan kepada perjuangan Islam khususnya dalam bentuk tulisan yang tidak putus-putus menyuntik ilmu dan kesedaran Islam kepada para pembacanya. Walaubagaimanapun dalam hal ini saya kira saya terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan beliau.

Janganlah lantaran kealpaan dan kegelabahan Pak Lah tidak memuatkan sindiran, serangan terhadap PAS dalam ucapannya maka kita menganggap PAS sudah tidak relevan sudah tumpul, tidak bertaring lagi bagi Umno. Takkanlah semudah itu jadinya!

Memang PAS perlu membuka dirinya bersedia menerima teguran dan kritikan, akan tetapi dalam hal yang dibangkitkan Pak Subky ini saya kira ianya penuh bersulam emosi dan tidak bertongkat pada kebenaran.

Teguran Pak Subky menolak sama-sekali inisiatif ikhlas yang diambil oleh para perwakilan muktamar yang mewakili aspirasi para ahli dari peringkat akar umbi. Ianya turut menafikan sama-sekali bacaan politik semasa Presiden dalam menyusun safnya berdasarkan bayangan yang diberikan oleh muktamar.

Tidak cukup dengan itu Pak Subky turut mendendangkan lau-lagu yang kurang enak didengar apabila menyatakan:

Tetapi apabila kepimpinan dan intitusi ulama itu diserang oleh penyokong dan pendokong PAS, barakahnya hilang.

Apabila PAS mengenepikan pentingnya ulama dalam jawatan-jawatan tertentu dalam parti, seperti tiadanya ulama dalam jawatan Naib Presiden, maka rasa gerun dihati UMNO pun hilang.

Dan UMNO pun tidak lagi mempedulikan PAS.

Benarkah apabila muktamar memberikan mandat kepada Hj Husam Musa, Dr Hasan Ali dan Hj Muhammad Sabu sebagai Naib-naib Presiden maka membuktikan yang PAS telah menolak ulamak? Benarkah Umno hanya takut kalau ketia-tiga Naib Presiden PAS adalah ulamak belaka?

Saya kira tanggapan ini tidak berasas dan malah kalau tidak berhati-hati akan memberi mudarat yang lebih dari sudut tanggapan orang ramai terhadap kedudukan Pak Subky sendiri sebagai seorang veteran yang disegani.

Ketiga-tiga Naib Presiden ini jika bekerja bersungguh-sungguh untuk Islam, meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan yang lain, insyallah jangankan Umno dunia pun akan gerund dan kagum. Dan muktamar PAS yakin bahawa mereka ini mampu berbuat demikian, Pak Subky harus berlapang dada dan memberikan mereka peluang sebagaimana ahli-ahli PAS lain memberikan mereka peluang.

Mengapa Pak Subky tidak pula mengulas kedudukan Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ustaz Nasharuddin, kedua-duanya ulamak, sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS? Kalau mengikut irama Pak Subky tidakkah kemenangan mereka berdua ini membuktikan yang PAS tetap memartabatkan ulamak. Mengapa terus melompat ke jawatan Naib-naib Presiden?

Kesimpulannya kekalahan besar PAS dalam PRU ke 11 lalu adalah merupakan suatu pengajaran pahit yang Alhamdulillah telah diterima hakikatnya oleh ahli-ahlinya. Ahli-ahli menginsafi bahawa suatu anjakan paradigma perlu dilakukan bukan hanya terhadap barisan pimpinan malahan strategi dan pendekatan PAS itu sendiri. Bagi PAS matlamat perjuangan lebih penting dari individu dan yang lain-lain.

Kini mereka sendiri telah melakar dan sedang menghidupkan perubahan ini. Telitilah mana-mana ulasan samada dalam akhbar mahupun majalah dan laman-laman web politik berkenaan langkah pertama, iaitu perubahan dalam saf pimpinan PAS. Rata-rata ulasan yang diterima begitu positif dan memberangsangkan, adalah satu dua yang tidak menaruh keyakinan, namun tidaklah negatif dan tertutup langsung sebagaimana ulasan Pak Subky.

PAS membuktikan mereka berani membuat perubahan, dan Presiden PAS sendiri turut menyambut keberanian ini dengan melakukan rombakan yang dikira besar juga dalam saf kepimpinan parti serta membuka ruang terhadap pendekatan dan strategi baru. Dalam hal ini biarlah Umno tidak memperduilikan lagi PAS, biarlah mereka tidak lagi takut sebaaimana anggapan Pak Subky, yang penting adalah penerimaan rakyat, biarlah Umno tidur lena, PAS bekerja.

(Nota: Kalau Umno dah tak pedulikan PAS, tak robohlah Masjid di Kg Bujal, dan tidak diganggulah lagi ceramah PAS serta ditembak gas dan ditangkap para pemimpin parti.)

No comments: