Monday, August 22, 2005

Undang Mawi: PAS tertekan atau Umno yang gelabah

Setelah tidak berkuasa menepis serangan Pemuda MCA terhadap beliau dalam isu membakar api perkauman, Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien kini mengalihkan pandangannya kea rah PAS pula.

Semasa berada di Kuala Krai semalam menghadiri majlis bersama warga pendidik dan pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat Parlimen Kuala Krai di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru beliau dipetik sebagai berkata:

Pas tidak konsisten. Saya harap, orang ramai boleh menilai bahawa perjuangan mereka boleh berubah-ubah. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan

Ini ekoran langkah kerajaan negeri PAS Kelantan mengundang pemenang Akademi Fantasia 3 Mawi untuk menhadiri konsert anjuran kerajaan negeri September nanti.



Menurut laporan UTUSAN hari ini:

Parti Pas disifatkan semakin tertekan apabila sanggup menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi untuk mengadakan persembahan di Kelantan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan Pas itu adalah bukti jelas bahawa parti pembangkang tersebut hipokrit dan tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Benarkah PAS tertekan lalu perlu mengundang Mawi? Benarkah PAS hipokrit kerana mengundang Mawi? Benarkah PAS tidak konsisten dalam perjuangan kerana mengundang Mawi?

Dan kerana ghairah mahu meyakinkan orang-ramai Hishamuddin tidak segan-silu berbohong apabila mengatakan:

Selain Mawi, Pas juga dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan artis terkenal tanah air, Siti Nurhaliza.

Umno selama ini menyerang PAS kerana bersikap kolot dan tidak mengikuti perkembangan semasa. Dalam membawa politik Islam PAS sebenarnya pada mata masyarakat tertentu mungkin kelihatan kolot namun ini berlaku kerana PAS sebenarnya sungguh berhati-hati apabila mahu melaksanakan Islam dalam suasana semasa.

Kelantan menjadi contoh kesungguhan ini dan sikap berhati-hati PAS lantaran cinta dan kasih mereka pada Islam.

Kesediaan mengundang Mawi ini dilakukan apabila kerajaan negeri yakin kehadiran beliau dapat memanjangkan lagi mesej dakwah yang menjadi agenda utama kerajaan negeri. Suka tak suka Umno terpaksa memberi reaksi. Dan Umno pun tidak pernah memberi sebarang reaksi positif terhadap tindakan PAS walaupun hakikatnya ada perkara-perkara positif yang dilakukan.

Kerana itu Hishamuddin terpaksa mendakwa yang PAS tertekan, PAS hipokrit, tidak konsisten dan berbagai lagi. Dan malah terpaksa pula membohong dengan menokok-tambah mengatakan Siti Nurhaliza pun sedang diura-ura akan diundang oleh kerajaan negeri.

Pendekatan dakwah Islamiah berbeza dengan politik cari makan, politik periuk nasi dan politik mengekalkan kuasa yang merupakan amalan Umno sejak zaman-berzaman. Dari perjuangan mengekalkan Malaya dan kemudiannya Malaya sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi diawal-awal perjuangannya, Umno telah bertukar angin.

Dizaman Mahathir Umno melihat masyarakat Islam diperingkat dunia termasuk Malaysia mula cenderung untuk kembali kepada Islam. Politik Islam yang dibawa PAS bukan ditolak malah makin diterima masyarakat. Lalu dari anutan sekular, Umno menjadi parti yang telah meng Islamkan Malaysia apabila Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam! Apakah ulasan yang boleh diberi terhadap perubahan haluan ini?

Dari penerapan nilai-nilai Islam ke Negara Islam dan ke Islam Hadhari, namun amalan dan perkara yang diharamkan Islam terus hidup dan tumbuh subur, siapakah yang hipokrit dan tidak konsisten sebenarnya?

Kalau program di Kelantan kelak berjaya maka ia menjadi contoh kejayaan konsert alternatif yang memelihara peradaban Islam, kemudian bolehlah pihak lain termasuk Umno contohi. Benda yang baik kita perlu akui baik. Rasanya dalam hal ini bukan PAS yang tertekan, kalau ia berjaya insyallah dan diterima pula oleh masyarakat Umnolah yang kelak akan tertekan dan gelabah.Asal jangan hunus keris sudahlah!

No comments: