Wednesday, September 21, 2005

Apabila kita mendahului proses keadilan

Pengarah Syarikat broker saham Koh Kim Teck yang dituduh bersama pengawal-pengawal peribadinya membunuh remaja warga Cina tahun lepas, didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi KL.

Koh dan dua lagi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri apabila Hakim Abdul Kadir Musa mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka yang tertuduh.



Kalau ditanya, ramai yang mungkin tidak berpuas hati dengan penghakiman ini, namun hakim yang mengadilinya perlu memuaskan hatinya berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan. Bukan senang mahu mensabitkan seseorang sebagai pembunuh lalu dijatuhkan hukuman mati. Oleh itu dalam hal ini kita terpkasa berpuas hati dengan keputusan hakim kerana atas kepala bahu beliaulah dibebankan tugas yang sukar ini dan beliau telah pun membuat keputusan.

Selesailah setakat ini satu bab, kecuali pihak pendakwa mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan.

Isunya di sini adalah berkenaan Koh Kim Teck. Beliau pernah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato Seri oleh Sultan sebuah negeri. Semasa pertuduhan dikenakan terhadap beliau dahulu pihak istana telah melucutkan gelaran tersebut dari Koh.

Kini Koh didapati tidak bersalah, apakah pihak istana akan mengembalikan anugerah tersebut kepada beliau?

Bagi saya tindakan melucutkan gelaran itu dahulu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Bukankah seseorang itu tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Mengapakah kita perlu mendahului proses keadilan?

Memanglah anugerah dan gelaran adalah prerogatif istana, akan tetapi dalam hal ini ianya dilucutkan kerana tertuduh dituduh membunuh. Kini beliau dibebaskan dari pertuduhan itu, lalu bagaimana?

Dalam keghairahan kita mengejar status negara maju, kita juga perlu mengejar sama kemajuan dibidang keadilan dan membutikan bahawa kita menghormati hak kebebsan individu dan kumpulan. Sejak zaman Dr Mahathir lagi (apabila pelbagai pertuduhan dilemparkan terhadap Dato Seri Anwar contohnya) telah ada kecenderungan pihak atasan mendahalui proses keadilan. Siapa boleh lupa kenyataan akhbar Dr M ketika mengumumkan pertuduhan terhadap DSAI dahulu, seolah-olah beliau telah pun disabitkan kesalahannya sebelum pun dibenarkan membela diri.

Walaupun kes ini kes bunuh dan melibatkan pula seorang bukan Melayu, saya tetap merasakan bahawa proses keadilan itu perlu dijunjung dan dihormati oleh semua pihak dari istana sehinggalah ke kaki lima. Keadilan dan kesaksamaan perlulah hidup dalam masyarakat dan negara sebelum kita boleh digelar sebagai sebuah negara yang bertamaddun.

No comments: