Thursday, September 22, 2005

Bebaskan segera Nik Adli Nik Abd Aziz

Hari ini genaplah 4 tahun Ustaz Nik Adli Nik Abd Aziz ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Beliau kononnya dituduh terlibat dalam kumpulan ektrimis KMM.



Sehingga kini tiada sebarang pertuduhan dibawa terhadap beliau di mahkamah terbuka. Menurut rekod beliau adalah anak Menteri Besar yang pertama ditahan di bawah ISA.

Dengan ini bermakna esok Ustaz Nik Adli samada akan dibebaskan ataupun terus ditahan lagi untuk tempoh 2 tahun sebagaimana diperuntukkan oleh akta bangsat dan tidak bertamaddun itu.

Tibalah sudah masanya bagi PM Malaysia mengkaji semula kesesuaian akta pusaka penjajah British ini. Kiranya kerajaan memiliki bukti, maka yang tertuduh perlu diberikan hak membela diri di mahkamah yang terbuka. Menahan seseorang tanpa bicara, tanpa hak untuk didengar adalah merupakan satu kezaliman yang sama-sekali bertentangan dengan Islam.

4 tahun anak-anak dan isteri masing-masing dipisahkan dengan paksa dari yang mereka kasihi. 4 tahun mereka yang tidak berdosa menanggung dan memikul penderitaan. 4 tahun mereka menyambut Ramadhan dan Eidul Fitri dalam keadaan hiba dan bersedih.

Apa bezanya kita dengan negara kuku besi yang lain, dengan negara diktator yang lain umpama Korea Utara, Kominis Cina, Cuba, Myanmar dan lain-lain. Kita merungut melihat tahanan Islam di Kem Guantanamo di Cuba, akan tetapi tahanan sendiri di Kamunting tidak kita indahkan.

Demi kemanusiaan dan demi hak kebebasan individu, Pak Lah, kembalikanlah si bapa kepada isteri, anak dan keluarga mereka masing-masing. Jangan kita berterusan mencabar dan mengundang laknat dari Allah swt dengan menahan mereka demikian cara.

Ya Allah bebaskanlah saudara-saudara kami:

Nik Adli Dato Nik Abd Aziz
Solehan Abdul Ghafar
Mohd Lothfi Ariffin
Mohd Rafi Udin
Mohd Zulkifli Mohd Zakaria
Zainon Ismail
Zid Sharani Mohd Isa

Amin.

No comments: