Saturday, November 26, 2005

Annuar zahirkan perlakuan rasuah

Akhirnya Annuar Musa, Ketua Umno Kelantan memuntahkan kepada umum perancangan pintu belakangnya untuk menawan kerajaan negeri Kelantan kiranya calon Umno menang di Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Tanpa segan-silu Annuar menyatakan sebagaimana dilaporkan oleh BERITA HARIAN:

Umno Kelantan bersedia menawarkan jawatan Timbalan Menteri Besar kepada mana-mana wakil rakyat Pas yang pertama MENYEBERANG dan menyertai Barisan Nasional (BN), jika BN menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir.

Wakil rakyat kedua yang MENYEBERANG dan menyertai BN pula ditawarkan jawatan Timbalan Speaker, manakala wakil rakyat ketiga hingga ketujuh yang mengambil tindakan sama ditawarkan jawatan Exco.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata BN berbuat demikian untuk faedah rakyat Kelantan, demi mengubah kehidupan mereka yang kini serba ketinggalan.

Kenyataan Annuar ini jelas membuktikan betapa begitu DESPERATE dan mabuk kuasa sungguh beliau sehingga dengan selamba dan bermuka tebal sanggup sahaja mempelawa ADUN-ADUN PAS melompat ke Umno dan ganjarannya diberikan pula kedudukan dan kuasa sedangkan dengan majoriti 1 kerusi sekalipun kerajaan negeri masih boleh berfungi dan mentadbir.

Saya pasti rakayat Kelantan umumnya akan merasa mual dan jijik dengan taktik kotor yang beliau zahirkan ini. Jangankan orang PAS saya kira orang Umno pun pasti terperanjat dan malu dengan idea membentuk kerajaan mengikut pintu belakang ini. Annuar memang masyhor dengan main ikut pintu belakang ini, bukankah satu ketika dahulu dalam keadaan Al Sultan Kelantan masih hidup memerintah negeri, beliau sanggup melantik Sultan baru mengikut pintu belakang juga.

Apa pun kali ini saya merasakan Annuar telah melampaui had dan batasan moral dan etika yang dibenarkan. Malah saya mengira kenyataan beliau ini sudah sampai keperingkat boleh disabitkan dengan kesalahan RASUAH.

Kalau kita melihat Akta Pencegahan Rasuah 1997, SUAPAN turut didefinasikan sebagai:

Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

Saya kira Annuar telah menjerumuskan dirinya dalam aktiviti menyogok dan bercadang menyuap oleh itu pihak PAS perlu meneliti perkara ini dengan serius dan segeralah membuat laporan ke pihak BPR agar kerja kotor beliau ini akan diambil tindakan.

Kerajaan naik dan kerajaan jatuh sepatutunya mengikut suara dan kehendak rakyat. Bukannya melalui kerja jijik membeli dan menyuap.

Saya teringat dalam satu majlis memperingati Al marhum YTM Tunku satu ketika dahulu anjuran Parti Melayu Semangat 46 (yang telah pun dibubarkan kini) di KL , seorang bekas Setiausaha Sulit (atau mungkin Setiausaha Politik, saya tak berapa ingat) ada menyatakan darihal insiden membeli ADUN Sarawak ketika Sarawak menyertai Malaysia.

Kata beliau ketika itu parti pembangkang telah menang dan membentuk kerajaan di Sarawak. YTM Tunku menurut beliau sungguh keciwa dengan kekalahan itu, lalu tanpa pengetahuan Tunku beliau dan beberapa orang rakan telah pergi ke Sarawak dan berjaya membeli beberapa ADUN yang bersedia melompat menyokong PERIKATAN.

Berita ini dikhabarkan kepada Tunku ketika mereka pulang ke KL. Namun tidak seperti Annuar, rupanya Tunku bukannya gembira dengan perkembangan itu, sebaliknya telah memarahi Setiausaha beliau itu, katanya rakyat Sarawak telah membuat keputusan dan dalam sebuah Negara yang menjunjung demokrasi, kita perlu menghormati keputusan itu.

Maka terbengkalailah usaha membeli anak-anak ayam itu tadi.

Kesimpulannya saya yakin ADUN-ADUN PAS Kelantan tidak macam ayam daging seperti Annuar sangkakan. Sejarah telah membuktikan sejak PAS membentuk kerajaan negeri di Kelantan pada tahun 1990 sehinggalah ke hari ini, tidak ada seorang pun ADUN PAS yang melompat menyertai BN walaupun saya yakin jika mereka berbuat demikian, pasti ganjaran lumayan menunggu mereka (ADUN 46 yang melompat menyertai PAS adalah). Mereka teguh bertahan atas dasar prinsip dan perjuangan.

Jadi segerelah jentera PAS mengkaji kenyataan Annuar ini dan bebaskan Kelantan dari pelaku rasuah yang jijik dan tidak berakhlak ini.

No comments: