Monday, November 21, 2005

Berjuang dalam Umno memang kerana ada tanda harga

Tanyalah orang kebanyakkan yang kita temui yang menyokong atau menjadi ahli Umno, kenapa sokong Umno? Tidak keterlaluan kalau saya katakan pasti kebanyakkan jawapannya adalah: Cari makan.

Mungkin adalah sekerat dua yang akan menjawab kerana mahu berjuang untuk agama, bangsa dan negara.



Inilah realitinya hari ini.

Cari peluang perniagaan, masuk Umno. Cari duit dan kekayaan, masuk Umno. Cari kontrak dan mahu tender, masuk Umno. Hatta nak pastikan anak dapat biasiswa, nak mudah pinjam pinggan-mangkuk KEMAS untuk kenduri-kendara, hendak bantuan PPRT, hendak baja subsidi, hendak peluang dapat rumah kos murah, hendak peluang melancong percuma, semuanya maka kena masuk Umno!

Kerana itulah jumlah yang masuk Umno untuk memperjuangkan dengan ikhlas dan jujur nasib agama, bangsa dan negara semakin hari semakin kecil. Ataupun barangkali sudah sampai keperingkat hampir pupus, macam badak sumbu Sumatera dan harimau Malaya.

Oleh itu saya tidak hairan apabila MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terpaksa merayu supaya ahli Umno tidak meletakkan tanda harga (price tag)dalam perjuangan mereka. UTUSAN melaporkan:

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta ahli UMNO supaya tidak meletakkan tanda harga bagi setiap perjuangan dalam parti.

Kata Mohammad lagi:

Kalau kita letak tanda harga pada perjuangan maknanya kita berada dalam landasan yang salah. Tugas UMNO ialah memastikan orang Melayu bersedia menghadapi situasi untuk menjadi negara maju kelak

Masalahnya ahli Umno telah diajar oleh pimpinannya sedemikian rupa sejak zaman berzaman. Buat kerja minta upah, hadir mesyuarat minta upah (jika tidak mesyuarat tak cukup korum), jadi perwakilan minta upah dan akhirnya mengundi pemimpin si anu dan si anu juga minta upah.

Kerana itu kita tidak hairan dalam kes pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan contohnya, ahli-ahli Umno akan berderu-deru turun ke sana dari segenap pelusuk negara untuk membantu jentera BN Kelantan kerana masing-masing telah digula-gulakan dengan upah dan habuan.

Kerana itu ada seorang sahabat membuat jenaka, katanya kiranya ditakdirkan Allah swt lebatlah hujan semasa hari mengundi nanti pada 6 Disember, kemungkinan besar PAS akan menang. Saya tanya, kenapa?

Kata beliau kerana jentera PAS bertugas ikhlas, mereka terlatih dan diikat dengan disiplin agama, jangankan hujan air, hujan batu pun mereka pasti akan meredahnya tanpa banyak soal bicara. Manakala jentera Umno, kata sahabat tadi, samada yang tua, puteri, pemuda, putera ataupun wanita, turun sahaja hujan, soalan pertama yang akan dimuntahkan dari mulut masing-masing adalah: Berapa upah untuk meredah hujan ini?

Oleh itu pesanan kepada jentera Umno, eloklah sediakan tanda harga untuk bertugas dalam hujan, kerana ramalan keadaan cuaca menjangkakan 6 Disember kawasan Pasir Mas akan hujan lebat.

No comments: