Saturday, November 26, 2005

Hanifa lawan Hanafi jangan lupa Ibrahim Ali

Kesemua parti dan calon-calon yang berhasrat untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Pengakalan Pasir yang dijadualkan pada hari Selasa 6 Disember nanti telah pun mengisytiharkan diri masing-masing.

Cuma secara rasminya mereka yang layak bertanding akan hanya diisytiharkan oleh pihak SPR selepas tamat tempoh bantahan pada hari penamaan calon tengahari esok.


gambar HARAKAHDAILY

Umno BN telah mengisytiharkan calonnya pada hari Khamis lalu, iaitu Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Hanafi Mamat.

Semalam PAS telah mengisytiharkan calonnya iaitu Hanifa Ahmad, bekas CEO PKINK, AJK PAS Kawasan Pasir Mas. Semalam juga di Kampung Dangar bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas yang dipecat, Ibrahim Ali telah mengisytiharkan dirinya untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Bermakna perlawanan tiga penjuru antara PAS, Umno dan Ibrahim Ali sudah hamper pasti akan berlaku di Pengkalan Pasir.

Semalam di BLOG ini saya telah memungut laporan akhbar berkenaan majlis pengisytiharan calon Umno yang diadakan di salah Sekolah Menengah Perempuan di Pasir Mas. Highlight tulisan saya itu adalah berkenaan angka kehadiran yang dimain-mainkan oleh pihak media untuk mensensasikan kehebatan jentera Umno.

Angka kehadiran yang dicatatkan oleh pihak media adalah antara 500 ke 5,000 orang, perbezaan yang besar antara satu akhbar dengan satu yang lain.

Hari ini saya cuba memungut pula angka mereka yang hadir dalam majlis pengisytiharan calon PAS di Stadium Mini Pasir Mas semalam.

Kenapa? Sekadar nak membuktikan betapa beretika dan bermoral atau lebih tepat lagi adil dan seimbangnya laporan media perdana terhadap proses demokrasi dalam negara kita yang mewah dan maju ini.

The STAR yang melaporkan cuma 500 hadir di majlis pengisytiharan calon Umno sebelum ini, telah melaporkan seramai 2,000 hadir di majlis PAS. Manakala Utusan, Berita Harian dan NST tidak meletakkan angka langsung.

Cuma menurut laporan kawan-kawan, yang berada di Pasir Mas semalam, Stadium Tertutup itu (padang di Stadium Mini tidak dapat digunakan kerana becak) penuh sesak dan ramai yang berkerumun di luar bangunan, tidak termasuk mereka yang tidak dapat menghadiri perkarangan stadium kerana kesesakan lalu-lintas.

Berdasarkan laporan mereka yang hadir kalau 2,000 kata The STAR tak mengapalah, tetapi yang pasti ianya lebih dari 5,000 yang kononnya hadir di majlis Umno sebagaimana dilaporkan Berita Harian semalam.

Mudah-mudahan jumlah yang besar ini adalah petanda yang positif bagi PAS dan boleh diterjemahkan kepada undi pada 6 Disember nanti.

Sementara itu menurut The STAR juga sekitar 100 orang hadir di majlis Ibrahim Ali semalam.

Sekadar renungan, Tengku Razaleigh Hmazah, Ketua Umno Gua Musang, dilaporkan oleh salah sebuah laman web telah menasihatkan jentera Umno agar tidak memandang kecil sokongan terhadap Ibrahim. Beliau dilaporkan berkata bahawa Umno sekarang memikul padah akibat tindakan mereka memecat Ibrahim dahulu. Kata beliau semasa Mesyuarat MT Umno ketika itu beliau telah pun menyatakan bantahan beliau namun MT tetap mengambil keputusan memecat Ibrahim juga.

Ramai penganalisa yang menjangkakan Ibrahim sudah pasti akan memperolehi undi dari penyokong dan ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan apa juga isu termasuklah yang bersimpati dengannya. Ibrahim dijangka tidak mampu menarik undi dari penyokong dan ahli PAS.

Mungkinkah antara yang tidak berpuas hati itu adalah Naib Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pah serta para penyokongnya? Che Johan walaupun disenarai pendek namun akhirnya tidak terpilih sebagai calon Umno. Saya mengatakan demikian kerana JOCELINE TAN dalam ruangannya di akhbar The STAR hari ini menulis:



When Annuar announced Hanafis candidature, Che Johan was also asked to go on stage to hold the candidates hand high in the air. Che Johan obliged but looked rather glum.

Apabila Annuar mengumumkan pencalonan Hanafi, Che Johan diminta agar turut berada di atas pentas dan mengangkat tangan calon berkenaan. Che Johan melakukannya namun dengan wajah yang murung.

Kepada semua jentera yang terlibat, selamat menjalankan tugas!

No comments: