Friday, November 11, 2005



Kes skandal PPRT: Terlepaskah Annuar Musa?

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad bersalah terhadap dua pertuduhan menipu dan bersubahat melakukan pecah amanah wang dana projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) berjumlah RM11 juta.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang dikemukakan Abdul Aziz gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah telah menetapkan 16 November ini bagi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Apakah kena-mengena kes ini dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa?

Pertama kes ini berlaku ketika Annuar menyandang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.



Kedua, Dr Abdul Aziz dikatakan melakukan kesalahan di atas bersama-sama seorang jutawan bernama Ooi Kee Siang, yang sehingga ini masih bebas dan gagal diberkas oleh pihak polis (hairan pengganas selicik Dr Azahari akhirnya boleh juga ditumpaskan oleh pihak berkuasa RI, tetapi si Ooi kawan baik Annuar ini susah sungguh PDRM mengesannya!). Ooi ini adalah kenalan intim Annuar, malah salah sebuah kereta milik Annuar Mercedes Benz no plet WCE1 dikhabarkan dibeli dari tangan Ooi.



Berikut adalah petikan ruangan Isu Minggu Ini dalam akhbar UTUSAN yang ditulis oleh Abdullah Ahmad (bekas AP Umno Kok Lanas) ketika kes ini mula-mula meletus dahulu:

Penulis tidak hairan langsung dan tidak terkejut pun apabila membaca laporan muka depan akhbar Star semalam.

Menurut akhbar itu, polis telah menahan seorang pengarah syarikat yang disiasat kerana menyalahgunakan wang projek PPRT sebanyak RM40 juta dalam sebuah syarikat usaha sama antara firma swasta dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tatkala itu menterinya ialah Datuk Annuar Musa. Star telah skop semua akhbar lain, satu kecekapan yang harus diberi tahniah.

Pendedahan akhbar mengenai skandal PPRT yang menjadi rahsia umum di Kelantan terutamanya telah dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar sekarang, Datuk Azmi Khalid pada bulan lepas.

Pengganti Annuar ini adalah seorang yang cekap, berani dan telus. Jarang seorang menteri berani membongkar skandal tetapi penulis diberitahu apabila Azmi selesai membaca laporan siasatan bebas tentang apa yang berlaku kepada projek PPRT, dia menangis kerana jelas baginya ramai orang yang petah berbahasa, berpura-pura nasionalis dan warak tidak segan silu memiskinkan lagi rakyat yang betul-betul papa kedana.

Satu pasukan khas polis dari Bukit Aman telah menangkap pengarah ini di Pulau Pinang semalam. Tindakan itu menunjukkan betapa serius kes ini yang menjadi antara isu terbesar secara sosek mengapa UMNO Kelantan dan terengganu kalah teruk di Kelantan pada pilihan raya umum tahun 1999.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dikatakan telah mengadakan usaha sama pada tahun 1998 dengan seorang peniaga Cina yang merupakan mastermind dan mengikut dakwaan, dia telah menjadikan beberapa orang pegawai dan pemimpin politik menjelma sebagai orang berada.

Mereka ini dijangka ditangkap kerana bersubahat dalam komplot ini. Annuar dan pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, menurut laporan Star, telah ditemui polis. Kenyataan telah diambil daripada mereka.

Barangkali ketika ini Annuar Musa sedang ghairah berkempen di Pengkalan Pasir, Pasir Mas, Kelantan maklumlah Ketua Umno Negeri. Kerajaan PAS Kelantan tak bawa pembangunan, lembap, tak pandai memerintah, retorik agama dan macam-macam lagi, akan bermain dan meniti di bibir Annuar.

Annuar mungkin telah melontar jauh episod ngeri skandal PPRT ini jauh ke lubuk Sungai Kelantan. Persetankan segalanya, bukankah yang bersalah adalah Dr Abdul Aziz?

Memang dalam kes yang dibicarakan Dr Abdul Aziz telah didapati bersalah. Namun penglibatan Annuar tidak boleh dikikis buang begitu sahaja. Bukankah beliau menterinya ketika itu? Siapakah Aziz jika bukan orang bawah dagu Annuar ketika itu!

Dan bagaimana pula hubungan Annuar dengan penjenayah antarabangsa, Ooi Kee Siang, yang masih tidak dapat dikesan itu?

Sesungguhnya Kerajaan Allah terlebih luas dari kerajaan manusia yang daif lagi hina. Kita mungkin boleh terlepas di dunia ini tetapi mahkamah akhirat suka tak suka pasti akan menunggu kita.

Berhati-hatilah saudara-sauadara para pengundi di Pengkalan Pasir sekalian.

No comments: