Monday, November 28, 2005

PERUBAHAN BESAR: Sesal dahulu pendapatan

Semalam telah sempurnalah sudah proses penamaan calon bagi PR Kecil DUN Pengkalan Pasir. Sebagimana yang kita telah ketahui, pilihnaraya kecil itu nanti akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon-calon PAS, BN dan Bebas.

Maka bermulalah tempoh berkempen bagi semua calon dan wakil masing-masing sehinggalah tengah malam tanggal 5 Disember nanti.

Berhimpunlah para pimpinan BN dan PAS (dan BA) di Pasir Mas semalam semasa proses penamaan calon yang dimaskdukan. Masing-masing yakin memiliki peluang untuk menang. Yang menarik adalah kenyataan Timbalan Presiden Umno yang menghiasi dada-dada akhbar saluran perdana hari ini.


NAJIB : Jom buat PERUBAHAN BESAR!!!

BERITA HARIAN melaporkan di bawah tajuk MULAKAN DETIK PERUBAHAN:

Terserah kepada pengundi di sini, kalau pengundi Pengkalan Pasir nak mulakan detik PERUBAHAN BESAR di Kelantan, inilah masa dan ketika untuk mereka berbuat demikian dengan memilih calon BN, katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, semalam

Apakah PERUBAHAN BESAR yang dimasudkan oleh Najib itu? Rakyat di Pengkalan Pasir perlu merenung dan memikirkannya semasak-masak mungkin, jangan nanti kemarukkan nasi sedangkan nasi dah berubah menjadi bubur.

PERTAMA sudah pastilah perubahan yang terbesar adalah menjatuhkan kerajaan PAS serta menjatuhkan sekali Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bermakna memilih calon BN samalah dengan menjatuhkan kerajaan negeri dengan dasar Membangun Bersama Islam dan menggulingkan bersekali seorang ulamak yang diiktiraf dan dihormati di rantau sebelah sini.

KEDUA dengan tiada lagi dasar Membangun Bersama Islam, ekoran PERUBAHAN BESAR tadi, maka Kelantan akan membuka negerinya kepada apa sahaja limpahan budaya dan cara hidup yang diamalkan oleh negeri-negeri lain yang di bawah kuasa Umno dan BN kini.

Bersedialah untuk menerima kembali premis judi, kelab-kelab malam, rumah-rumah urut dan berbaai bentuk maksiat berlesen lain. Pasti akan menjalarlah ke Kelantan konsert-konsert rock, hiburan yang melalaikan yang di negeri-negeri lain telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan moral yang serius khususnya dikalangan anak-anak muda di sana.

KETIGA institusi agama yang makmur pesat dan kaya di Kelantan sudah pasti akan dikenakan kawalan dan perubahan menurut selera BN. Di negeri-negeri BN institusi masjid umpamanya dikawal terus oleh jabatan-jabatan agama, tiada lagi hak diberikan kepada anak-anak kariah untuk menetap dan menentukan hal-hal pembangunan serta program masjid.

Sekolah-sekolah Agama di negeri-negeri BN menerima layanan yang buruk malah kalau mahu dibandingkan dengan SJK Cina dan Tamil ketara sekolah-sekolah ini lebih menerima perhatian dan jauh lebih maju dan terbela.

KEEMPAT PERUBAHAN BESAR ini sudah pasti akan menaik dan menobatkan kembali pemimpin-pemimpin yang satu ketika dahulu pernah ditolak oleh rakyat Kelantan atas pelbagai sebab yang rakyat Kelantan sendiri tahu. Tiadalah lagi pemimpin-pemimpin yang mementingkan moral, adab dan akhlak sebagaiamana yang ada pada hari ini. Sebaliknya akan kembalilah bertapak para pemimpin yang korap, yang menjaga kepentingan para kroni, yang meletakkan kepentingan peribadi dan periuk nasi masing-masing sentiasa sebagai agenda utama mereka.

Pasti tiadalah lagi solat-solat hajat berjemaah di Stadium Sultan Muhammad yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin negeri yang selama ini dikagumi dan dihormati oleh rakyat luar Kelantan. Tiadalah lagi solat tarawikh secara terbuka, tiadalah lagi Kuliah di Dataran Ilmu secara terbuka yang dipimpin oleh pemimpin negeri, tiadalah lagi bulan solat, Hari Hudud dan lain-lain.

KELIMA akan terkikis dan terhakislah jolokkan SERAMBI MEKAH yang keramat itu ekoran PERUBAHAN BESAR ini kerana melaluinya sudah dinyahkan para pemimpin yang menghargai dan bekerja untuk menjunjung jolokkan ini. Siapa lagi yang akan menjuarai jolokkan ini kalau tiada lagi Tok-tok Guru, para ulamak dan mereka yang ikhlas berjuang dikalangan pemimpin kerajaan negeri!

Demikianlah sekadar lima PERUBAHAN BESAR yang mampu saya congak-congak pasti akan berlaku di Kelantan jika benarlah Umno memiliki kuasa untuk merebahkan kerajaan PAS Kelantan ini.

Memang implikasinya menakutkan, membimbangkan malah satu pengalaman ngeri, mana tidaknya kita akan menyumbang saham kearah menggulingkan satu-satunya kepimpinan Islam dalam dunia yang naik melalui proses demokrasi. Berat rasanya tindakan dan implikasinya.

Lantaran itu fikir-fikirlah rakan-rakan di Pengkalan Pasir sekalian, berselera dan tergamakkah tuan-tuan untuk menikmati dan menundang PERUBAHAN BESAR Umno ini jika ianya bermakna mengkuburkan sesuatu yang sangat kita sanjungi dan hargai dalam hidup kita ini.

No comments: