Friday, November 11, 2005

TPM tapi tak faham semangat Persekutuan

Pas boleh kata kemajuan mereka yang buat tetapi siapa yang lulus peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan termasuklah projek bekalan air, siapa yang curah wang dengan memberi pinjaman RM600 juta kepada kerajaan Kelantan, sudah tentulah Kerajaan Pusat. Semua ini Kerajaan Pusat lakukan kerana tidak rela melihat rakyat Kelantan berada dalam kesusahan, kita bantu supaya ada pembangunan.

Demikianlah petikan ucapan Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak yang juga TPM semalam ketika berada di Pasir Mas, Kelantan sebagaimana yang disiarkan oleh UTUSAN hari ini.



Kenyataan Najib itu seolah-olah membayangkan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri asing, negeri dhaif dan terbiar yang hanya boleh hidup dan bergerak apabila ada ikhsan dari kerajaan Persekutuan yang kebetulan dikuasai oleh Umno/BN.

Betapa hina dan bangsat sekali rupanya rakyat Kelantan sebagaimana yang mahu digambarkan oleh Najib itu!

Tetapi tidakkah Kelantan sebagaimana 12 buah negeri lain dari Perlis sehinggalah ke Sabah dan Sarawak bersama-sama bernaung dan membentuk Persekutuan Malaysia? Persekutuan Malaysia itu sendiri merupakan ikatan perkongsian dengan syarat dan tanggungjawab yang dipegang bersama oleh semua negeri-negeri sejak dari Merdeka lagi.

Najib barangkali terlupa atau tidak tahu atau perlu diberitahu tentang semangat Persekutuan Malaysia agar beliau tidak terus membohongi dan memperdayakan rakyat khususnya dalam Pilihanraya Kecil DUN Pengakalan Pasir ini.

Allahyarham Tun Mohamaed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara di dalam bukunya An Introduction to the Constitution of Malaysia (1976) menulis:

In a federation states are necessary parties. Needless to say, a federation is like a partnership, and like all other partnerships, its success and smooth working depend on goodwill on the part of all its partners and a willingness to make it work.

Di dalam persekutuan semua negeri-negeri adalah ahli yang wajib. Tidak perlu dinyatakan bahawa sesungguhnya sebuah persekutuan itu sebenarnya adalah laksana sebuah perkongsian, kejayaan dan kelancarannya tertakluk kepada budibicara semua pihak yang membentuk perkongsian tadi yang masing-masing berusaha menjayakannya.

Menurut Tun Suffian lagi oleh kerana bukan semua hasil mahsul dari percukaian yang dipungut dalam negeri diperolehi oleh negeri, contohnya cukai pendapatan, cukai ke atas petrol dan lain-lain. Cukai-cukai ini kebanyakkannya pergi terus ke kerajaan Persekutuan. Oleh itu padanlah maka kerajaan Persekutuan terpaksa memikul sebahagian besar perbelanjaan yang melibatkan semua negeri-negeri termasuklah umpamanya perbelanjaan untuk pertahanan, keselamatan dalam negeri, pendidikan, hospital dan lain-lain.

Dalam hal ini Najib perlu sedar oleh kerana Kelantan berada dalam Persekutuan Malaysia, walaupun parti yang memerintah diperingkat Persektuan dan negeri berbeza, namun tanggungjawab pihak berkuasa Persekutuan dan negeri iaitu untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat adalah sedia maklum.

Ini bermakna wang RM600 juta yang Najib ungkit itu kalau mahu dihalusi sebenarnya bukanlah milik Umno ataupun BN tetapi wang perolehan Kerajaan Persekutuan yang dipungut hasilnya dari negeri-negeri termasuklah Kelantan.

Oleh itu janganlah menghina dan merendah-rendahkan rakyat Kelantan sedangkan mereka juga masing-masing sebagaimana rakyat di negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia adalah penyumbang kepada hasil kerajaan Persekutuan yang kebetulan Najib merupakan orang nombor duanya.

Hairan kerajaan dunia lain yang mengamalkan sistem persekutuan ini tidak pula sebongkak TPM kita apabila membicarakan hubungan antara persekutuan dan negeri. Nigeria, India dan Pakistan juga mengamalkan sistem sebagaimana kita, namun segalanya berjalan lancar dan sempurna.

Di pentas dunia kita berkokok menuntut keadilan untuk dunia ketiga tetapi di dalam negara kita sendiri, kita mengamalkan apartheid, menganak-tirikan sesama ahli dalam persekutuan semata-mata kerana berlainan parti (walaupun sesama bangsa dan agama).

Beginikah TPM negara dunia pertama?

No comments: