Wednesday, December 28, 2005

Allahyarham L/Kpl Mohammad bin Abdullah selamat dikebumikan

Pagi tadi jam 8.00 saya telah berada di perkarangan Mahkamah Rayuan Sivil, KL. Kira-kira jam 9.00 pagi kamar mahkamah telah hampir penuh sungguhpun mahkamah dijangka bersidang hanya pada jam 10.

Kira-kira jam 10.15 pagi barulah Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan Khas Dato Raus Shariff masuk dan memulakan persidangan

Mahkamah sunyi sepi apabila Dato Raus merumuskan hujah-hujah kedua-dua belah pihak dan akhirnya membuat keputusan beliau.

Keputusannya hanya satu dari permohonan pihak plaintif yang dibenarkan iaitu bahawa plaintiff S. Kaliammal, iaitu isteri Allahyarham yang masih beragama Hindu itu adalah isteri Allahyarham yang sah. Manakala permohonan-permohonan lain termasuklah mengisytiharkan Allahyarham sebagai seorang Hindu dan bukannya Muslim telah ditolak.


YB dan Mahfuz di luar mahkamah

Menurut Dato Raus yang pentingnya adalah bahawa Mahkamah (Sivil) tidak mempunyai bidangkuasa menyemak atau membatalkan mana-mana keputusan Mahkamah Syariah. Ini menurut beliau adalah selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 (a) yang menggariskan bidangkuasa mahkamah-mahkamah persekutuan yang padanya tidak termasuk mahkamah syariah.

Oleh itu berdasarkan keputusan Hakim Raus ini bermakna mahkamah rayuan tidak memiliki bidangkuasa menyemak atau membatalkan keputusan mahkamah syariah dan dengan itu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah KL tempoh hari yang telah berpuas hati bahawa Allahyarham Mohammad adalah seorang Muslim dan perlu dikebumikan secara Islam perlu dipatuhi.

Sejurus keputusan disampaikan oleh Hakim Raus, peguam plaintiff M. Manoharran telah memaklumkan bahawa beliau telah dinasihatkan oleh anak guamnya untuk memohon rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Dalam waktu yang sama Manoharran turut memohon agar mahkamah menolak ketepi buat sementara waktu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Hakim telah membenarkan permohonan untuk rayuan namun menolak perintah tahanan kerana menurut beliau, beliau tidak memiliki kuasa untuk menolak memandangkan telah pun diputuskan bahawa mahkamah ini tidak langsung memiliki kuasa menyemak apa lagi membatalkan keputusan mahkamah tersebut.

Lalu pihak JAWI melalui peguam mereka memaklumkan bahawa JAWI akan segera melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Syariah itu dan mengucapkan terima kasih di atas keputusan Hakim Raus itu.

Maka berakhirlah penantian umat Islam terhadap tanggungjawab menyempurnakan jenazah Allahyarham itu. Syabas diucapkan kepada para peguam Muslim yang telah berhujah bagi pihak kepentingan umat Islam khasnya Tuan Hj Muhammad bin Burok yang mewakili Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Turut berada di mahkamah bagi mengikuti keputusan itu adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat Tuan Hj Mahfuz Omar dan Ustaz Idris Ahmad.

Dan dengan keputusan itu juga pihak-pihak terbabit telah segera bergegas ke Jabatan Forensik HKL untuk menyaksikan pula tuntutan mayat Allahyarham.

Di perkarangan HKL orang-ramai termasuklah kakitangan HKL telah mula mengerumuni kawasan tersebut. Pihak polis kelihatan mengawal keadaan dan lalulintas dengan penuh cekap dan terpuji. Rata-rata suasana di luar kelihatan tenang dan ramai yang berpuas hati dengan keputusan mahkamah sebentar tadi yang dimaklumkan secara bisik-bisik dari seorang ke seorang.

YB Sallahuddin dan Tuan Hj Mahfuz kelihatan masuk perkarangan Jabatan Forensik dan mengambil peluang berbincang dengan pihak berkuasa dan kaum keluarga Allahyarham yang berada di dalam termasuklah pihak wartawan dan pemberita yang telah berkumpul bagi membuat liputan.

Kira-kira jam 2.30 petang van jenazah JAWI membawa keluar jenazah Allahyarham yang telah selamat dimandi, dikafan dan disembahyang di bilik mayat itu juga.Van jenazah diiringi oleh pihak polis trafik dan para pegawai polis serta kaum keluarga dan umat Islam yang prihatin telah bergerak pantas menuju ke tapak pengkebumian di Danau Kota, Setapak.


Van jenazah JAWI menuju ke Setapak

Setiba disana pasukan komando ATM telah pun menyediakan liang untuk persemadian Allahyarham. Pihak tentera dan orang-ramai telah membanjiri tapak pengkebumian untuk menyaksikan majlis yang telah sekian lama tertangguh itu. YB Salahuddin dan Hj Mahfuz juga berada di tanah perkuburan sehingga selesai majlis.

Dengan itu berkahirlah satu episod yang sungguh tegang dan mencabar. Kiranya Mahkamah Tinggi Rayuan meluluskan kesemua permohonan pemohon maka sudah pastilah walaupun telah memeluk Islam diwaktu hidupnya, jasad Allahyarham akan diperlakukan menurut adat istiadat agama Hindu. Dan sudah pastilah ketika itu akan wujud keadaan tegang lantaran tercabarnya kewibawaan mahkamah syariah dan tercalarnya maruah umat Islam keseluruhannya.

Alhamdulillah semuanya telah berakhir walaupun menurut seorang peguam lewat petang tadi pihak plaintif telah berjaya mendaftarkan rayuan mereka di mahkamah yang lebih tinggi di Putrajaya.

Kebetulan di tanah perkuburan tadi. Abang kandung Allahyarham, seorang Muslim sejak tahun 1981, Mohd Hussin bin Abdullah telah merayu ketika bercakap kepada pemberita agar kaum keluarga Allahyarham khasnya di pihak isteri tidak lagi meneruskan proses rayuan tersebut.


Hussin duduk paling kiri sekali

Let matters rest, katanya. Yang sudah itu sudahlah, biarlah Allayarham tenang berhadap dengan Tuhannya tanpa lagi apa-apa gangguan.

Mudah-mudahan demikianlah doa kita semua. Cuma saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan bangganya diri saya melihat YB Salahuddin dan Hj Mahfuz, dua orang pemimpin gerakan Islam yang sejak dari awal pagi lagi, malah sejak semalam, mengikuti kes ini dengan penuh prihatin dan berusaha setakat mana mampu menenangkan suasana dan mendorong pihak-pihak tertentu agar menjalankan tugas sebagaimana yang dituntut oleh agama.

YB dan Mahfuz juga kelihatan bermesra dan bersalaman serta menenangkan pihak kaum keluarga isteri Allahyarham bagi mencerminkan imej Islam yang aman dan toleran. Yang penting di sini adalah perjuangan kita agar keputusan mahkamah syariah itu dihormati oleh semua pihak, dan Alhamdulillah kita telah berjaya.

Allahu Akbar!

No comments: