Monday, December 26, 2005

Apakah iktibar yang kita perolehi dari Tsunami 2004?

Tepat 1 tahun telah berlalu. Hampir suku juta penduduk dunia khasnya yang melibatkan 12 negara di sekitar Lautan Hindi dan yang hampir dengannya termasuklah Indonesia, Thailand dan Malaysia terkorban dalam satu bencana alam yang terburuk dalam sejarah manusia..

Di Malaysia sahaja khasnya di Pulau Pinang dan Kedah seramai 68 orang telah terkorban dalam sekelip mata.



Demikianlah besarnya kuasa Allah swt. Bumi yang kecil yang pada pandangan Nya itu, boleh sahaja diperlakukan sekehandak mahu Nya. Sebagai iktibar dan pengajaran kepada hamba manusia ciptaannya, yang insaf dan mahu mengerti serta mengambil pengajaran.

Di kebanyakkan negara yang terlibat khasnya di Acheh, Indonesia di Phuket, Thailand dan di Sri Lanka majlis memperingati bencana tsunami itu telah diadakan siang tadi.

Di Bandar Acheh (dimana lebih 200 ribu nyawa terkorban) tepat jam 8.10 pagi tadi bunyi siren telah berkumandang menandakan detik yang sama tahun lalu bilamana ombak ganas tsunami dengan kuasa Allah swt telah menyerang dan melanda ketenangan bumi Acheh dan persekitarannya.



Dalam majlis tersebut Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhiyono bersama kebanyakan perwakilan asing dan penduduk tempatan yang hadir telah menitiskan airmata, pilu mengenangkan peristiwa dahsyat yang telah memusnahkan alam, binaan dan meragut nyawa manusia dengan begitu bengis sekali. Majlis memperingati bencana tersebut telah diisi dengan persembahan anak-anak yatim Acheh dan sebelum itu majlis-majlis tahlil telah diadakan di masjid-masjid sekitar Acheh, termasuk bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh para hufaz dari bumi Acheh. sendiri

Presiden Indonesia yang jelas kelihatan sugul sepanjang majlis itu telah mengajak rakyatnya bersabar dan mengambil iktibar dari ujian Allah swt tersebut dengan menyakinkan rakyatnya:

Habis gelap terbitlah terang.

Demikian juga di Phuket, Sri Lanka dan lain-lain negara, upacara menurut kepercayaan dan agama masing-masing telah diadakan penuh dengan sedih dan pilu.

Allah swt berfirman dalam Surah al Ankabut ayat 40:

Maka masing-masing Kami siksa dengan sebab dosanya, maka diantara mereka ada yang Kami hujani dengan batu, dan diantara mereka ada yang Kami binasakan dengan suara yang keras, ada diantara mereka yang Kami benamkan ke bumi, dan ada diantara mereka yang Kami tenggelamkan. Dan Allah tidak menzalimi mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Teringat saya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam satu majlis solat hajat di JKR10, Kota Bharu, berikutan bencana tersebut tahun lalu telah menjelaskan bahwa adalah tidak benar sekiranya kita menisbahkan bala itu dengan kesusahan semata-mata. Sesungguhnya bala itu adalah ujian ataupun cubaan yang Allah swt timpakan ke atas manusia.

Bermakna bukan tsunami ataupun bencana besar sahaja wajar dikaitkan dengan bala, hidup manusia itu sendiri adalah bala iaitu satu ujian. Bukan kesusuahan sahaja merupakan satu bala malah kekayaan dan kesenangan juga satu bala yang jika disalah gunakan akan menjadi laknat ke atas manusia.

Menurut Tok Guru dunia ini ibarat satu bilik darjah dimana manusia umpama para pelajarnya yang sejak dari akil baligh hinggalah mati akan melalui pelbagai ujian. Sesiapa yang lulus akan berjaya dan sesiapa yang gagal akan keciwa.Menurut Tok Guru lagi bencana tsunami ini memang merupakan satu bala sebagaimana kemewahan dan kekayaan itu juga bala namun Allah mahu menguji bagaimana manusia menghadapinya, bagaimana reaksi manusia, adakah akan insaf, tekun dan bersabar ataupun kufur dan terus ingkar.

Di Malaysia, kita mendengar para nelayan di Kuala Muda, Kedah umpamanya, walaupun telah hampir setahun menderita akibat persitiwa ini, rupanya masih ramai yang belum menerima bantuan setimpal sebagaimana yang dijanjikan. Mangsa masih menderita rupa-rupanya walaupun setahun telah berlalu, walaupun rakyat jelata telah ramai menghulurkan bantuan!

Ada nelayan yang masih belum dapat ke laut, ada nelayan yang menumpang bot rakan ringkasnya agihan bantuan jelas tidak rata diterima oleh semua yang terbabit.

Dan sementara itu diketika negara-negara yang menjadi mangsa samada yang beragama Islam ataupun tidak sibuk memperingati peristiwa perit ini, di Malaysia pemimpin negara berhibur dan menyanyi di majlis rumah terbuka sempena Krismas di Stadium Negara.

Semoga berolehlah iktibar bagi mereka yang insaf, tekun dan bersabar.

No comments: