Saturday, December 17, 2005

Kita perlu prihatin akan nasib Melayu Selatan Thai : Ku Li

Sebagaimana yang kita tahu Persidangan ASEAN ke 11 di Kuala Lumpur ataupun 11th ASEAN Summit Kuala Lumpur, yang berakhir baru-baru ini langsung tidak menyentuh atau memperdulikan nasib masyarakat Islam Selatan Thai yang kini berada dalam keadaan sangat tertekan dan terabai hidup mereka ekorang penindasan kerajaan Thai di sana.

Kita yang menjadi tuan rumah Persidangan itu lebih ghairah mengemukakan pandangan terhadap isu Myanmar sedangkan konflik Selatan Thai terus bergelora. Isu agar Myanmar kembali ke jalan demokrasi, menjadi agenda kita lantaran tekanan kuasa-kuasa Barat terhadap ASEAN. Jika benar ASEAN prihatin terhadap hak asasi dan demokrasi, mengapa konflik Selatan Thai disepikan?


Gambar AGENDADAILY

Mengapa insiden hitam di Tak Bai, yang jelas membuktikan pencabulan hak asasi dan insiden ganas yang ditaja oleh sebuah kerajaan, tidak dibincangkan dan dicer jalan penyelesaiannya?


Pencabulan hak asasi di Tak Bai

Alhamdulillah, masih ada individu dan kumpulan di Malaysia rupa-rupanya yang masih berani bangun menyuarakan masalah yang meruncing ini walaupun tidak dapat dipastikan sejauh manakah keberkesanannya.

Ahli parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno telah menyentuh isu ini dalam ucaputamanya semasa merasmikan Kongres Kepentingan Bangsa yang berlangsung selama dua hari di Dewan Besar UTM, Jalan Semarak, KL.

Kata Ku Li:

Kita semakin lemah kerana tiada upaya menahan percaturan kuasa besar dalam menentukan nasib mereka yang seagama dengan kita. Hari ini kita melihat bagaimana mereka di permainkan kerana cita-cita kuasa besar untuk menguasai sumber minyak di negara Islam yang kaya itu. Kita juga ada minyak dan bumi kita juga kaya raya. Kalau kita lemah kita mungkin menjadi sasaran yang seterusnya.

Sebagai orang Melayu kita turut perihatin terhadap nasib orang Melayu di Selatan Thailand. Walaupun kita menerima aturan tiada campurtangan terhadap urusan negara lain, kita tidak patut berdiam diri apabila mendengar nasib mereka yang sedarah sedaging dengan kita sedang menderita kesakitan. Kita lantang dalam isu Myanmar, kita lantang dalam isu Bosnia, kita lantang dalam pelbagai isu negara-negara lain, maka sudah tentu orang Melayu mengharapkan kita juga proaktif dalam isu yang sangat hampir dengan negara kita ini. Melayu yang baik ialah Melayu yang turut merasa perit atas keperitan saudaranya yang lain.

Kita tidak seharusnya membisu dalam isu ini dan menganggapnya soal rumah tangga Thai semata-mata. Tawarkanlah diri kepada kerajaan Thai untuk turut menyumbang ke arah menyelesaikan konflik ini contohnya. Saya teringat seorang calon parti Thaksin (yang juga bapa mertua kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan) semasa berkempen dalam pilihanraya Thai yang lalu berjanji jika menang akan melibatkan Tok Guru MB Kelantan yang katanya berpengaruh dalam meredakan ketegangan itu dan mencari jalan penyelesaian, sayangnya calon itu kalah.

Mudah-mudahan melalui semangat kongres ini, Ku Li dapat memain peranan tanpa mengira parti dan kumpulan untuk menghulurkan tangan bagi menyumbang ke arah menyelamatkan saudara sedarah sedaging dan seaqidah dengan kita itu dari terus dimamah oleh konflik dan keganasan.

No comments: