Thursday, December 29, 2005

Menyingkap pegangan Islam Allahyarham Mohammad bin Abdullah

Semasa Mahkamah mendengar permohonan isteri Allahyarham Mohammad bin Abdullah atau Moorthy tempoh hari berbagai affidavit telah dikemukakan oleh peguam Kaliammal Sinnasamy untuk memenangkan permohonan beliau itu.

Dan sepanjang berada di Mahkmah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) selama dua hari saya berkesempatan mendengar pelbagai hujah yang dikemukakan oleh peguam Kaliammal dan peguam-peguam yang mewakili Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia, NGO Hakam dan Majlis Peguam Malaysia berdasarkan affidavit yang dikemukakan itu.

Satu demi satu hujah yang merisau dan megguriskan hati telah dikemukakan. Antaranya bahawa Allahyarham kononnya setakat mana yang diketahui oleh isterinya adalah seorang Hindu dan tidak pernah mengamalkan Islam. Dikatakan Allahyarham antaranya telah merai dan mengambil bahagian dalam perarakkan Thaipusam, meraikan Deepavali, memakan daging khinzir serta meminum arak dan tidak pernah berkhatan.


Abang Allahyarham Mohd Hussin dikerumuni wartawan di tanah perkuburan
(Gambar PERAKAN)

Manakala peguam-peguam lain pula berhujah mempertikaikan ke Islaman Allahyarham sebagaimana di dakwa pihak JAWI dan bahawa JAWI tidak berhak melaksanakan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah kerana ianya tidak mengikat isteri Allahyarham dan malah Allahyarham sendiri.

Mungkin ada yang bertanya bukankah kes ini telah selesai dan jenazah Allahyarham pun telah selamat dikebumikan?

Benar jenazahnya telah selamat dikebumikan, namun kes ini belum selesai kerana pihak penuntut telah pun mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Dan jika pun proses rayuan telah selesai nanti, hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh peguam-peguam pemohon dan komen-komen yang dikeluarkan oleh kaum keluarga dan para penyokongnya yang terbit khasnya dalam laman-laman web tempatan akan terus terpahat sebagai luka yang sukar diubati.

Soalnya benarkah dakwaan terhadap Allahyarham itu, kerana kesahihannya tidak disentuh langsung oleh hakim lantaran keputusannya bahawa mahkamah sivil tidak memiliki bidangkuasa menyemak atau mengubah keputusan mahkamah syariah.

Benarkah kandungan affidavit tersebut?

Sekadar kajian sila kita teliti tarikh-tarikh berikut:

1988
Moorthy menyertai Angkatan tentera Malaysia

23 Mei 1997:
Moorthy terlibat dengan pasukan pendaki Everest

14 Ogos 1998:
Moorthy lumpuh setelah jatuh ketika latihan somersault di Kem Sg Udang, Melaka

11 Oktober 2004:
Moorthy peluk Islam menurut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa

25 Januari 2005:
Cuti Thaipusam (Moorthy didakwa kononnya menyertai perarakan kavadi)

1 November 2005:
Cuti Deepavali (Moorthy didakwa kononnya meraikan perayaan Hindu ini dan memakan daging khinzir)

3 November 2005:
Hari Raya Eidul Fitri

11 November 2005:
Moorthy dimasukkan ke HKL dan JAWI mendakwa memaklumkan Kaliammal berkenaan ke Islaman Moorthy dan jika meninggal maka mayatnya akan dituntut mereka kerana ia mati dalam keadaan Islam

22 Disember 2005:
Moorthy meninggal dunia setelah koma selama lebih sebulan akibat jatuh dari kerusi rodanya


28 Disember 2005:
Moorthy selamat dikebumikan menurut peraturan Islam

Dan bagi sesiapa yang berkesempatan sila baca akhbar HARIAN METRO hari ini mukasurat 6 di bawah tajuk:

Solat sambil baring

Menurut laporan akhbar tersebut wartawan RTM Wan Anitabanun Salleh, 33 mengaku mengenali Allahyarham semasa hayatnya.

Yang pentingnya menurut Wan, beliau telah mengenali Allahyarham dalam satu sessi temubual pada tahun 2003. Semasa Hari Raya Haji tahun 2004 penderitaan hidup Allahyarham atas usaha Wan telah mendapat liputan dalam siaran khas Aidil Adha Korban Kasih.

Perhatikan menurut Wan semasa bulan Ramadhan lalu (iaitu sekitar 3 Oktober ke 2 November 2005) beliau bertemu Allahyarham di desa Hussien Onn, Setiawangsa dan telah menyerahkan buku-buku agama kepada Allahyarham sebagaimana yang dipesannya.

Menurut Wan lagi Allahyarham memiliki pengetahuan yang baik tentang Islam, beliau hafal beberapa ayat Quran dan Hadis serta mahir tentang sejarah hidup Rasulullah saw. Kata Wan lagi, Allahyarham tahu cara mendirikan solat dan malah biasa bersolat secara berbaring!

Dan yang paling menarik sekali, Wan berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Allahyarham adalah melalui kiriman kad Hari Raya. Wan mengatakan beliau menerima kad dari Allahyarham dengan lambing Gerak Khas dan Allahyarham mencatatkan namanya sebagai Mohammad Abdullah.

Saya tidak bermaksud mahu mengeruhkan suasana tapi isu ini melibatkan maruah dan nama baik Allahyarham sendiri yang kini tidak ada sesiapa yang boleh membelanya. Kalau berdasarkan kenyataan Wan Anitabanun ini maka tidakkah affidavit pemohon itu dikira aneh dan ganjil? Atau barangkali sengaja direka-reka semata-mata untuk memburuk-burukkan ke Islaman Allahyarham?

Allahyarham dikatakan tidak mengamalkan Islam, tetapi kenyataan Wan membuktikan sebaliknya.

Kita sukar untuk mengetahui kerana isu ini berkemungkinan tidak akan dibongkarkan. Semasa di mahkamah saya berkesempatan menemui pegawai JAWI yang terlibat dalam merekodkan pengislaman Allahyarham. Dia mengakui Allahyarham menerima Islam dengan kerelaan hatinya. Dia mengaku berpuas hati dengan sikap dan pendrian Allahyarham khasnya berhubung dengan penerimaan Islam beliau.

Dan saya juga mendengar cerita dari seorang sahabat di mahkamah bahawa pernah seorang anak saudaranya melihat dan mendengar Allahyarham berzikir dengan memegang tasbih ditangan semasa hayatnya.

Sudah pasti dengan kenyataan Wan Anitabanun ini berbagai tanda tanya dan persoalan akan timbul terhadap kesahihan affidavit Kaliammal itu? Siapakah yang telah berbohong? Siapakah yang memiliki niat jahat dalam hal ini?

Kalau demikianlah rupanya affidavit tersebut sepatutnya digugurkan sahaja, dan kes ini dibiarkan selesai. Elok sangatlah kita akur pada pesanan abang Allahyarham iaitu Mohd Hussin bin Abdullah yang telah Islam sejak 25 yahun lalu:

Saya bersyukur kerana akhirnya jenazah adik dapat disemadikan dan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan baramal soleh. Cukuplah segala kekusutan yang berlaku sebelum ini, apa yang penting jenazahnya telah selamat dikebumikan.

Al Fatihah.

No comments: