Wednesday, December 14, 2005

Najib perlu belajar dari Tok Guru

Saya kira sudah hampir satu negara bercerita dan membualkan darihal pengumuman TPM Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memperuntukkan RM5 juta untuk membangunkan DUN Pengkalan Pasir ekoran kemenangan tipis Umno di sana.

Tujuh Menteri pusat turun bersama Najib semasa membuat pengumuman itu di Pasir Mas semalam menunjukkan betapa hebatnya asakkan Najib terhadap Kelantan setelah berjaya menang dalam pilihanraya kecil yang penuh kontroversi itu.

Kata Najib dari RM 5 juta itu, RM 3 juta adalah untuk memperbaiki atap-atap rumah yang telah usang di sana (kata kawan saya rakyat di luar Pengakalan Pasir termasuk di Pekan, Pahang kalau ada atap yang usang segera panggil Najib, memandangkan dah lama pun pangkah BN). RM 1 juta untuk menambak pasir dan memasang blok konkrit di kawasan-kawasan tertentu bagi mengelakkan hakisan. Manakala RM230 ribu untuk memperbaiki masjid daerah di Pasir Mas.

Bakinya kata Najib iaitu sekitar RM770 ribu akan dibelanjakan untuk memasang lampu-lampu jalan di kawasan luar Bandar disamping menaik taraf jalan-jalan yang sedia ada.

Cuma dalam hal ini kita tertanya-tanya juga darihal peruntukkan sebelum ini sebanyak RM1.5 yang telah diisytiharkan oleh Annuar Musa yang katanya akan datang dari JPM.
Adakah RM1.5 juta ini termasuk dalam RM 5 juta yang Najib umumkan atau berlainan atau bagaimana?

Yang menarik adalah kenyataan Tok Guru MB Kelantan, ekoran perkembangan mencurah-curahnya peruntukkan pusat ke Pengkalan Pasir ini (UTUSAN):

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi kerjasama dan perhatian untuk membangunkan Pasir Mas khususnya Pengkalan Pasir.

Saya setuju benar, kalau kerajaan Pusat hendak majukan bandar Pasir Mas kerana dengan itu peruntukan kerajaan negeri untuk bangunkan bandar Pasir Mas boleh dipindah ke tempat lain.

UTUSAN menambah:

Nik Abdul Aziz berkata, masalah menang atau tewas dalam pilihan raya merupakan perkara biasa dan Pas pernah tewas dalam tahun 70-an dengan hanya tinggal dua kerusi sahaja di Kelantan.

Kerajaan Pas Kelantan akan terus menjalin hubungan dan kerjasama erat dengan kerajaan Pusat agar usaha membangun dan membela nasib rakyat dapat diberi tumpuan.

Inilah baru kenyataan seorang STATESMAN, pilihanraya kecil dah pun berlalu. Umno pun kata ia tidak akan membeli ADUN-ADUN PAS (setelah tiada yang sanggup memperdagangkan maruahnya), jadi tumpukanlah pada membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

Memang kemenangan di Pengkalan Pasir telah membikin Najib dan rakan-rakan begitu ghairah untuk menawan kembali Kelantan. Tetapi sehingga dewan negeri tamat tempohnya sekitar 2008, Najib perlulah mengiktiraf dan menghormati institusi kerajaan negeri yang dipimpin Tuan Guru Nik Abd Aziz. Kerajaan negeri masih ada dan kekal berkuasa, janganlah pulak mewujudkan kerajaan dalam kerajaan yang akhirnya hanya merugikan umat Islam Melayu yang majoriti di sana.

No comments: