Tuesday, December 27, 2005

Saya dimaklumkan oleh Tuan Hj Mahfuz Omar, Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) bahawa beberapa NGO Islam telah membuat sidang akhbar berhubung kes Allahyarham Kopral Mohammad bin Abdullah aka Moorthy. Berikut adalah kenyataan bersama mereka untuk makluman.

Saya berbangga kerana badan-badan NGO Islam ini sungguh prihatin dan bingkas keluar dengan kenyataan seumpama ini. Ini bukan isu politik, ini bukan isu perkauman, ini isu nasib dan masa depan umat Islam keseluruhannya.

Kenyataan Media26 hb Disember 2005

MENYOKONG KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH KUALA LUMPUR BERHUBUNG HAK JAWI MENGURUSKAN PENGKEBUMIAN MOHAMMAD ABDULLAH (M.MOORTHY)

Kami dari pertubuhan-pertubuhan Islam menyokong penuh keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mengesah dan membenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menguruskan pengkebumian jenazah Mohammad Abdullah (M.Moorthy) di tanah perkuburan Islam.

Bukti bahawa Allahyarham telah memeluk agama Islam dan ternyata ada pendaftaran yang sah serta bukti pengeluaran sijil pengislaman di JAWI tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Kami kesal terhadap keputusan itu dicabar oleh pihak-pihak tertentu walaupun peruntukan undang-undang jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar oleh Mahkamah sivil.

Alasan kami adalah seperti berikut:

1. Penghakiman kes ini yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah adalah sah dan mengikut bidangkuasa mahkamah ini kerana Allahyarham sudah diperakui sebagai seorang Islam dan tidak ada keraguan berkaitannya keislamannya.

2.Dinyatakan dalam Perkara 121A , Perlembagaan Perseketuan bahawa mana-mana Mahkamah tidak boleh campur tangan dalam keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam sesuatu kes,

3.Keputusan Mahkamah Syariah juga tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana Mahkamah lain seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

4.Mempertikaikan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah suatu penglanggaran undang-undang yang boleh membawa kepada kesalahan penghinaaan kepada Mahkamah tersebut (Contempt of Court).

Oleh itu pihak berkuasa yang diberikuasa untuk menguruskan jenazah ini tidak perlu mengambilkira sebarang keputusan lain kerana ia sudah dinyatakan dengan jelas oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa JAWI berhak menguruskan pengkebumian jenazah tersebut mengikut pengkembumian Islam.

Akibat dari keputusan itu dicabar melalui afidavit yang dihantar oleh pihak keluarga allahyarham ke Mahkamah Tinggi , pengkebumian itu terpaksa ditangguh sudah melebihi seminggu dan ini adalah suatu yang sangat tidak wajar dan melanggari tuntutan syara bahawa jenazah seseorang Islam sangat perlu di kebumikan sesegera mungkin.

Tindakan mencabar keputusan itu sangat tidak wajar dan kami mempersoalkan bagaimana ini boleh berlaku sedangkan peruntukan secara undang-undang tidak membolehkan kes-kes yang berkait dengan undang-undang syariah dibatalkan oleh undang-undang sivil.

Oleh kerana secara prinsipnya telahpun dapat dibuktikan bahawa Allahyarham tidak pada mana-mana waktu yang tercatat di JAWI mengistiharkan keluar dari Islam , maka seharusnya proses menyerahkan jenazah itu kepada JAWI untuk segera dikebumikan sepatutnya tidak diganggu.

Kami berpendirian adalah sangat merbahaya jika hal ini terus berlarutan kerana ia akan menyentuh soal agama yang sangat sensitif kepada masyarakat di negara ini.Bila pihak-pihak yang berkaitan menunjukkan penentangan secara beramai untuk menggangu penyerahan jenazah dari Hospital Kuala Lumpur kepada pihak JAWI ia akan mudah membakar api kemarahan kepada masyarakat antara agama.

Kami yang mewakili suara masyarakat Islam ingin menggesa agar semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk menegangkan suasana yang jika berlarutan akan boleh mengujudkan konflik dalam masyarakat .

Kami dengan ini menggesa perkara berikut diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkaitan:

1.Pihak berkuasa segera melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah supaya jenazah Allahyarham dikebumikan mengikut pengkebumian Islam.

2.Keputusan Mahkamah Syariah dalam kes ini yang jelas tidak harus di cabar oleh mahkamah sivil hendaklah benar-benar dikuatkuasakan supaya tidak timbul percanggahan dalam peruntukan undang-undang yang sedia ada.

3.Pihak-pihak yang cuba menggangu JAWI dalam urusan pengambilan jenazah Allahyarham dan mengkebumikannya tidak meneruskan tindakan menentang keputusan itu yang jelas berada dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

4.Jenazah allahyarham perlu segera diuruskan pengkebumiannya tanpa berlengah-lengah lagi kerana ini jelas bertentangan dengan tuntutan syariah yang memerlukan pengkebumian disegerakan.

Datuk Syeikh Azmi Hj.Ahmad Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia (ISRA)

Syeikh Abu Bakar bin Awang Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah

Haji Abdul Ghani bin Samsudin Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)

Hj.Mahfuz bin Omar Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

Hj.Mohd Azmi bin Abdul Hamid Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

Ahmad Tarmizib bin Sulaiman Pengerusi Ikatan Siswazah Syariah Malaysia

Hj.Ismail bin Wan Teh Pengerusi Kumpulan Prihatin Masyarakat Negeri Kedah

Masadah bin Sajadi Pengerusi Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia

No comments: