Saturday, December 31, 2005

Selamat Tahun Baru 2006

Tanggal 12 malam sebentar nanti maka masuklah kita ke tahun baru 2006. Begitu cepat masa berlalu, pejam kelip pejam kelip, maka bertambah setahun lagi usia kita. Entah sampai bila ianya dapat bertahan, mungkin 10 tahun lagi, mungkin 5 atau mungkin tahun 2006 ini juga Allah swt akan merentap nyawa kita lalu meindahkan kita ke alam baru. Untuk itu kita sekadar mampu menunggu, dan terus menunggu.



Yang pastinya pada tengah malam ini KL sebagaimana ibukota dunia yang lain akan meriah menyambut kemunculan tahun baru ini, dengan nyanyian, tarian, hiburan dan bungapi serta lampu-lanmpu bergermerlapan. Maka berpeluk-pelukkan dan bercumbu-cumbuanlah anak-anak muda kita pada malam ini sehingga ke awal subuh.

Suka tak suka kita akan bersama melangkah ke tahun yang baru, samada ianya akan menjanjikan sesuautu yang baik ataupun sebaliknya untuk kita, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Namun bersyukurlah kerana dilanjutkannya usia kita dan bekerjalah kita sekuat mungkin bagi memastikan hasilnya kelak dapat menafaatkan ummah dan bangsa.

Mukadepan akhbar NST hari ini menyatakan betapa rakyat Malaysia terjejas teruk hidupnya lantaran kenaikan harga minyak (sebanyak dua kali dalam 2005) yang telah memberikan kesan terus terhadap kenaikkan harga-harga barangan utama.

Menurut NST lagi melalui kajiannya sebanyak 60 peratus rakyat yang berpendapatan kurang dari RM1,5000 sebulan menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan kenaikkan harga ini. Dan bagi mereka yang berpendapatan anatar RM1,500 ke RM3,000 cuma 48 peratus sahaja yang menyatakan mereka boleh menyesuaikan diri menghadapi kenaikkan mendadak ini.

Bayangkan ibu-bapa yang terpaksa membuat persediaan apabila sessi persekolahan bermula hari Selasa ini. Kasut sekolah, baju sekolah, beg sekolah, peralatan menulis, buku teks dan buku tulis, tambang bas, yuran sekolah, yuran tuisyen dan lain-lain bukan lagi murah sebagaimana 10 atau 20 tahun lalu.

Demikianlah realiti bebanan yang terpaksa kita pikul.

Sementara itu menyingkap kembali prestasi tahun 2005, kita lihat syarikat perjudian semakin mewah dan mencatatkan untung besar (2006 mungkin menyaksikan idea pembinaan kasino baru pula di Pulau Jerjak), syarikat arak dan kilang-kilangnya mengumumkan keputusan kewangan yang semakin hebat. Pusat-pusat hiburan muncul bagai cendawan pagi, bekembang biak mengalahkan arnab.

Industri maksiat makin kaya, lubang-lubang maksiat makin terbuka dan terdedah. Isu AP, rasuah politik , rasuah perdagangan dan segala macam rasuah dan penyelewengan kuasa termasuklah kes mengubah suai pejabat Pengerusi MAS dan pembelian lukisan yang mencecah jutaan ringgit masih belum berjawab.

Apa pun kita seharusnya jangan lupa menoleh ke belakang di samping melangkah ke hadapan dengan penuh taat dan tekun tanpa sedikit pun terluang masa sehingga lupa untuk mengingati dan mengasihi Allah swt dalam setiap aktiviti dan gerak kerja kehidupan kita,

Bagi tahun 2006 ini saya mahu melihat Malaysia maju, umat Islam semakin bersatu-hati dan kembali berpegang teguh kepada agama. Kecintaan kita kepada Islam mudah-mudahan semakin melimpah-ruah, pegangan kita semkain kukuh dan teguh.

Terima kasih 2005 walaupun kau tinggalkan kepada kami berbagai luka dan parut. Selamat datang 2006, mudah-mudahan Allah swt menganugerahkan kami kekuatan untuk menghadapi dan mengharungi arus mu dengan penuh taat dan taqwa.

Selamat Tahun Baru 2006.

No comments: