Sunday, December 11, 2005

Serangan tajam Tun Dr Mahathir terhadap Umno dan kerajaan

Semasa sessi soal jawab setelah membentangkan syarahannya yang bertajuk ISU-ISU POLITIK SEMASA DI MALAYSIA yang berlangsung di galeri lukisan NN Gallery, di Taman Ampang Hilir anjuran Institut Kajian Politik dan Ekonomi (IKAPE) bekas PM Tun Dr Mahathir telah membidas dan mengkritik pelbagai pihak termasuklah Umno, isu AP, Proton, pembinaan tambak baru di Selat Johor, majoriti besar BN di parlimen dan lain-lain.


Katakan SELAMAT TINGGAL BN

Mengenai Umno dan isu AP Tun Dr M berkata:

Beliau sedih kerana Umno tidak menyokongnya selepas beliau mendedahkan penyalahgunaan kuasa mengenai isu permit import (AP). Beliau telah mengkritik anggota Umno yang menurutnya TIDAK BERANI TAMPIL walaupun tahu ada perkara yang tidak betul sedang berlaku.Beliau turut membidas Wanita Umno yang TIDAK BERSUARA WALAU SEPATAH mengenai perkara itu hanya kerana ia berkaitan dengan ketua mereka, Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mengenai majoriti 90 peratus ahli Parlimen BN yang tidak berani menegur:

Beliau juga kesal kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak berani membangkitkan perkara itu walaupun ada memberi penjelasan panjang lebar berhubung penyalahgunaan kuasa itu kepada mereka yang datang menemuinya.

Beliau menganggap TIDAK BERANI nya ahli Parlimen BN ini mungkin kerana kekuatan terlampau anggota BN yang menguasai 90 peratus dari suara di Parlimen.

Kata Tun Dr M beliau percaya yang kerajaan perlu kuat namun kekuatan 90 peratus adalah terlalu kuat, memadailah dengan dua pertiga. Tambah beliau kita perlu kehadiran pembangkang untuk menegur kita apabila kita tersilap. Apabila kita tidak ditegur sedemikian maka kita mungkin menyangkakan yang semua yang kita lakukan itu adalah betul belaka.

Mengenai pembinaan Tambak Baru menghubungi Johor dengan Singapura:

Malaysia sepatutnya teruskan sahaja usaha tersebut tanpa perlu menunggu Singapura. Beliau bagaimanapun tidak yakin yang projek tersebut akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini.

Mengenai kerugian Proton sebanyak RM158 juta:

Kerugian Proton Holdings Berhad sebanyak RM158 juta bagi suku kedua tahun ini sungguh memeranjatkan beliau walaupun beliau adalah Penasihat Proton.

Beliau terkejut bagaimana sebuah syarikat yang kukuh tibva-tiba melaporkan kerugian. Tambah beliau sukar baginya untuk percaya bahawa kerugian itu disebabkan oleh pembelian syarikat pengeluar motosikal, MV Agusta dari Itali. Katanya, jika Augusta mewarisi hutang yang besar sepatutnya harga pembeliannya rendah, tetapi mengapa Proton membelinya dengan harga yang tinggi?

Bagi beliau kerugian ini penuh dengan MISTERI. Kata beliau lagi kemungkinan lebih banyak berita buruk mengenai Proton akan diumumkan selepas ini bagi menunjukkan pengurusan sebelum ini melakukan kesalahan.

Ini bukan kali pertama Tun Dr M bersuara sejak tidak lagi menjadi PM. Ada yang membayangkan kritikan Dr M ini bertujuan untuk menyerang kedudukan Pak Lah dan kaum kerabatnya dalam Umno. Ramai pemerhati politik tahu darihal rapatnya hubungan bekas PM itu dengan Najib dan kumpulannya.

Saya tertarik apabila bekas PM itu berkata (sebagaimana dilaporkan The SUNDAY STAR):

People must STICK THEIR NECKS OUT and speak up if they see something obviously wrong. My fear is that if people fail to think and criticize that which is wrong, then society will rot.

Orang-ramai mesti berani bersuara dengan menyatakan kebenaran apabila mereka menyaksikan sesuatu yang batil. Saya bimbang jika mereka gagal berbuat demikian (mengkritik sesuatu yang batil) maka masyarakat akan punah.

Dalam hal ini saya sungguh bersetuju dengan Tun Dr M.

Umno tidak menyokong beliau dalam isu penyelewengan AP ini kerana yang berkuasa hari ini adalah Pak Lah dan bukan lagi beliau. Mereka berkhidmat kerana Pak Lah dan bukan Tun Dr M walaupun yang didedahkan oleh Tun itu adalah benar belaka.

Dan memang majoriti BN yang terlalu selesa di dalam Parlimen hari ini sebenarnya turut menenggelamkan sebarang suara teguran dan kritikan dari bangku pembangkang. Jadilah kerajaan terlalu berkuasa sehingga tidak perlu lagi mengambil-kira pandangan kedua lantaran keselesaan tadi.

Sayang Tun sudah tidak berkuasa, lalu apa sahaja yang Tun ucapkan hari ini sekadar dianggap leteran orang tua sahaja, samada mahu didengar atau tidak terpulanglah. Saya rasa demikianlah perasaan Almarhum YTM Tunku dahulu ketika bersuara dan menegur di zaman Tun adalah PM.

Malah hari ini Pak Lah pun saling tak tumpah macam Tun juga semasa PM dulu. Apabila Musa, Shahrir dan rakan-rakan sudah berani mahu menegur, lihat apa yang berlaku pada mereka. Apabila Anwar juga berbuat demikian, lihat apa berlaku pada Anwar.

Walaubagaimanapun dalam hal ini saya tetap memuji keberanian Tun. Cuma kalau mahu menjadikannya lebih berkesan dan didengar orang barangkali Tun kena tukar kedudukan. Jadilah sebagaimana YTM Tunku, mengorbankan saat-saat akhir usia beliau menyatakan kebenaran walaupun dibenci oleh kerajaan zaman Tun.

YTM Tunku telah mengkritik dengan begitu berani sekali sehingga bersedia bersama-sama Ku Li dan rakan-rakan ketika Ku Li menubuhkan Semangat 46. Bersedia bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah (gabungan 46, PAS, Hamim dan Berjasa) dan Gagasan Rakyat (gabungan 46, DAP dan IPF) untuk menyatakan kebenaran.

Sejarah telah mencatatkan YTM Tunku pernah berceramah atas pentas PAS dan juga DAP dan akhirnya mangkat tanpa menganggotai Umno Baru yang ditubuhkan oleh PM ketika itu.

Tun kena jadi macam Tunku, betulkan kepincangan masyarakat BEFORE SOCIETY ROTS (sebelum masyarakat punah). Peluang masih ada, saya yakin ramai yang akan menunggu dan meraikan Tun setelah Umno dan BN kini memekakkan telinga.

No comments: