Friday, December 16, 2005

Siapa yang beri pengiktirafan pada Israel?

Saya mendapat maklumat bahawa bendera rejim ISRAEL yang dikibarkan di Ibupejabat Umno itu adalah bersempena PERDANA GLOBAL PEACE FORUM 2005 anjuran YAYASAN KEPIMPINAN PERDANA, sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2003 bagi tujuan mengekal, membangun dan memupuk bahan-bahan dan idea bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia.

Forum ini yang ucap utamanya disampaikan oleh bekas PM Tun Dr Mahathir turut membariskan penyertaan bekas-bekas pemimpin dunia dan ahli-ahli fikir termasuklah PM Zimbabwe Robert Mugabe yang terkenal dengan regim yang tidak menghormati hak asasi manusia itu.




Salah seorang peserta forum yang turut dijangka akan berucap adalah Dr. BEN MOLLOV, seorang warga Israel, pensyarah fakulti sains sosial Universiti Bar Illan, Israel.
Adakah kerana kehadiran DR MOLLOV ini maka menjadi WAJIB bendera ISRAEL, simbol keganasan regim Zionis, itu dikibarkan.

Mengapa tidak hanya dikibarkan logo forum ini atau logo penganjur bersama bendera Malaysia sahaja?

Mengapa hilang langsung sensitiviti penganjur, Umno dan kerajaan Malaysia dalam hal ini?

Apa ada pada bendera?

Bagi mereka yang buta mata hati, mungkin menganggap mengibarkan bendera negara haram ini tidak membawa apa-apa makna. Perkara kecil. Saya tidak bersetuju dan tidak boleh terima sama-sekali.

Bendera adalah simbol kemegahan dan kebangaan satu-satu negara ataupun badan. Mengibarkannya bermakna mengiktiraf dan memberi hormat kepada kewujudan negara ataupun badan tersebut.

Satu ketika dahulu semasa Parti Kominis Malaya (PKM) masih beroperasi, pihak polis akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mempamirkan ataupun mengibarkan lambang, logo atau bendera PKM ini kerana ia musuh negara, badan haram, pengganas.
Begitulah juga dalam hal ini bendera ISRAEL.

Mengizinkannya dikibarkan di negara kita bermakna kita beri hormat kepada regim yang dimusuhi umat Islam seluruh dunia. Regim Sharon di Tel Aviv boleh pada bila-bila masa sahaja mengarahkan helikopter tempurnya melepaskan peluru berpandu ke sasaran umat Islam Palestin tanpa ambil peduli samada sasarannya benar-benar terkena sarang penganas atau membunuh dan mencederakan mereka yang tidak berdosa termasuklah anak-anak kecil.

Kejadian seperti ini sudah menjadi lumrah dan sesuatu yang biasa ditonton umat Islam di Malaysia samada dibaca di akhbar-akhbar ataupun ditonton dalam siaran berita dan rencana. Kalau darah dan airmata sesama umat tidak kita ambil pusing, tidak menjadikan sayu dan pilu hati kita, maka ketika itulah kita tidak kisah kalau bendera regim zionis ini berkibar megah di tanah air kita. Ketika itulah kita pandang kecil perkara ini.

Bagi saya: pihak yang berkenaan samada Umno ataupun kerajaan Malaysia atupun pihak penganjur perlu SEGERA turunkan bendera puaka itu, kerana umat Islam Malaysia tidak pernah sekali-kali memberi restu dan pengiktirafan kepada regim toghut itu!

No comments: