Monday, January 30, 2006

Makan malam bersama Tok Guru MB Kelantan
Satu pengalaman indah lagi bermakna

Semalam saya berkesempatan hadir di Majlis Makan Malam dan Dialog bersama Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat anjuran PAS Kawasan Shah Alam di sebuah hotel di Kelang.

Terubat juga rindu setelah sekian lama tidak bersua dan duduk dalam satu majlis dengan tokoh ulamak besar ini.


(gambar HARAKAHDAILY)


Semasa sessi dialog saya lihat Tok Guru seperti biasa begitu tenang dan bersemangat memberikan penjelasan dan hujah-hujah yang padat lagi berilmu dalam menjawab satu-satu persoalan yang dilimparkan kepada beliau.

Soalan pertama yang dikemukan oleh moderator yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam Ir Hj Khalid Samad (adik kandung Datuk Shahril Samad) adalah berkenaan tema makan malam tersebut iaitu:

Kelantan tercabar?

Tanya Khalid benarkah keputusan Pilihanraya Kecil DUN Pengakalan Pasir baru-baru ini dimana PAS tewas merupakan petanda yang PAS ditolak oleh rakyat Kelantan dan bahawa era pemerintahan PAS sedang berkahir?

Dengan pantas Tok Guru sebagai seorang ulamak dan ahli politik yang diperakui pengalamannya menjawab, tidak! Kata beliau sebenar-benarnya keputusan Pengakalan Pasir itu menunjukkan bahawa bukan PAS yang tercabar dan terguggat di Kelantan tetapi yang sebenarnya dalam kedudukan sedemikian adalah Umno sendiri.

Mengapa kata beliau, sebab semasa kempen pilihanraya kecil tersebut seluruh kekuatan Umno diperingkat nasional termasuk dari rakan-rakannya dalam BN telah dikerahkan ke kawasan DUN yang kecil itu sehingga SENGET Kelantan dibuatnya lantaran ramainya orang-orang Umno dan BN yang turun.

Namun walaupun dengan dengan kekuatan yang sedemikian rupa, Umno sekadar mampu menang dengan majoriti 129 undi. Itu pun kata Tok Guru termasuklah bantuan undi pos, undi hantu dan mereka yang mengundi lebih dari sekali.

Jadi kesimpulannya walaupun pada hakikatnya PAS tewas dalama pilihanraya kecil itu namun yang tercabar adalah Umno kerana Umno kini sedar untuk menang satu kerusi DUN di Kelantan ia terpaksa berbelanja begitu besar, bagaimana semasa pilihanraya umum nanti?

Dan satu lagi soalan menarik pada malam itu adalah berkenaan penyertaan PAS di dalam proses pilihanraya. Ada yang bertanya berdasarkan penipuan yang wujud dalam system tersebut tidakkah PAS sepatutnya memulaukan sahaja pilihanraya?

Lalu Tok Guru telah memberikan respon yang sangat menarik. Sekiranya kita membuat keputusan memulaukan pilihanraya, apakah alternatif yang ada ditangan kita, soal beliay? Silap-silap kita terperangkap dengan perangkap CIA yang memang tidak senang melihat gerakan Islam mengambil bahagian di dalam proses pilihanraya.

Menurut Tok Guru PAS sebenarnya telah jauh ke hadapan berbanding gerakan-gerakan Islam lain dalam menyertai pilihanraya dan proses demokrasi ini. Contohnya disaat Negara-negara Islam lain belum pun menimbangkan darihal penyertaan dalam pilihanraya PAS pada tahun 1959 telah pun bukan sekadar bertanding malah meletakkkan pula calon Muslimat iaitu Allahyarham Khadijah Sidek (yang telah menang dan PAS sendiri menang di dua buah negeri ketika itu iaitu Kelantan dan Terengganu).

Bermakna dalam situasi yang ada pada hari ini kita tidak boleh menolak pilihanraya kecuali menuntut agar sistemnya diperkemas dan diperbetulkan.

Yang penting dalam memperkemas dan memperbetulkan sistem ini adalah mendidik semua pihak yang terlibat (termasuk calon dan para pegundi) agar beriman kepada Allah dan hari akhirat serta gerun kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah swt.

Mereka yang terlibat dengan kerja-kerja dosa semasa pilihanraya contohnya membeli undi dan merasuah para pengundi (termasuklah para pengundi yang rela hati menerimanya) hendaklah insaf dan sedar bahawa kerja-kerja seumpama ini haram hukumnya dan di akhirat kelak mereka akan dibakar dalam api neraka lantaran perbuatan mereka itu.

Walaupun kini hampir mencecah usia 75 tahun, Tok Guru kelihatan masih bertenaga dan sentiasa kehadapan khasnya dalam isu-isu semasa yang melibatkan politik tanahair mahupun diperingkat antarabangsa. Mudah-mudahan Allah swt melahirkan lebih ramai lagi seumpama beliau dalam Negara ini yang dapat mengimbangi antara dunia dan akhirat dan memimpin kita kearah jalan yang direhai Nya, insyallah.

Turut kelihatan malam itu adalah Dato Dr Hassan Ali, Sdr Ezam Md Nor, Ustaz Abd Ghani Samsuddin, Dr Dzulkifli Ahmad, Raja Komando, pimpinan ABIM dan JIM serta pimpinan Parti Keadilan Rakyat Selangor.

Syabas PAS Shah Alam dan Hj Khalid Samad.

No comments: