Monday, January 09, 2006

Masa depan Islam tercabar:
Anggota kabinet bercelaru

Kontroversi Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mahkamah sivil dari menyemak atau menyentuh keputusan mahkamah syariah nampaknya tak kunjung reda ekoran kes Allahyarham Mohamad Abdullah a.k.a Moorthy

Kalau dilihat dari perkembangan semasa kelihatan seolah-olah pihak kerajaan akan condong dan tunduk pada desakan masyarakat bukan Islam yang dipelopori oleh DAP dan NGO-NGO mewakili penganut agama-agama bukan Islam. Ini berikutan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri kabinet dari yang Islam sehinggalah yang bukan Islam termasuklah pemuka-pemuka DAP dan NGO-NGO tadi (yang telah pun menyerahkan memorandum tuntutan kepada pihak kerajaan).

Adalah difahamkan perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu. Ketika itu mesyuarat dipengerusikan oleh TPM Najib Tun Razak kerana PM Dollah Badawi bercuti. Turut bercuti kerana mengerjakan ibadat haji adalah Menteri di JPM (yang bertanggungjawab atas Hal Ehwal Agama) Dr Abdullah Mohd Zain dan beberapa menteri kabinet yang lain.

Isu ini penting dan akan mendatangkan implikasi yang besar kerana melibatkan nasib dan masa depan umat Islam khususnya nasib saudara-saudara baru yang memeluk Islam. Kabinet mesti menerima input dari pelbagai pihak khasnya para ulamak Islam sebelum dengan mudah membuat satu-satu keputusan.

Saya melihat dalam hal ini sesama anggota kabinet yang beragama Islam pun kelihatan bercelaru dan berbeza-beza dalam memberikan pandagan, jika beginilah sikap para pemimpin kita yang ada, gelap dan malaplah masa depan untuk Islam di negara ini nampaknya.

Saya beri contoh:

THE STAR 7 Januari 2006
Reslove issue in civil court

Minister in the PMs Department Nazri Aziz said the matter was discussed AT LENGTH during the Cabinet meeting on Wednesday.
(Menteri di JPM Nazri Azizi menyatakan perkara tersebut telah dibincangkan secara PANJANG LEBAR semasa mesyauart cabinet Rabu lalu)

NST 9 Januari 2006
Radzi amend the law

The matter HAS NOT BEEN discussed at length by Cabinet.
(Kabinet TIDAK membincangkan secara mendalam perkara tersebut)

Mana satu yang betul, menteri yang mana berbohong dan yang mana pula bercakap benar? Para menteri kita dilihat cuba bermain politik dalam isu yang sangat sensitive bagi umat Islam ini. Tak perlulah Nazri atau Radzi atau sesiapa sahaja antara mereka mahu meraih keuntungan politik dari isu yang segmenting ini.

Sehubungan dengan itu sikap Allahyarham yang menyembunyikan keimanannya turut dipertikaikan oleh banyak pihak. Pihak peguam isteri Allahyarham termasuklah pemuka-pemuka DAP dan para NGO bukan Islam menyatakan penyembunyian ini dalam kes Allahyarham sebenarnya bukti menunjukkan Allahyarham itu memang tidak pernah pun menganut Islam (bermakna KAGAT dan JAWI berbohong!)

Insiden ini sehingga turut menjadi bahan tuntutan pemuka-pemuka tadi dengan menyatakan apabila seseorang menukar agama khasnya apabila memeluk Islam, ianya perlu dizahirkan secara terang-terangan. Nada ini disokong oleh Menteri di JPM Dr Maximus Ongkili (seorang Roman Katholik) dalam NST hari ini beliau berkata:

This is what I described as NON TRANSPARENCY OF CONVERSION. And it can cause major hardship to ones own loved ones.
(Inilah yang saya sebut sebagai PERTUKARAN AGAMA YANG TIDAK TELUS. Dan ianya akan mencetuskan masalah besar kepada anggota keluarga)

Dalam hal ini Radzi Sheikh Ahmad Menteri di JPM dalam NST hari ini juga pula menyatakan:

Sometimes they (the converts) dont want their family to be told. We have to respect the wishes of the convert.
(Kadangkala mereka yang menukar agama itu enggan memaklumkan anggota keluarga mereka. Kita perlu menghormati yang demikian itu.

Pada saya anggota-anggota kabinet yang ada (kecuali Nazri barangkali) sebenarnya tertekan antara kepentingan politik (kononnya mahu memelihara hubungan antara kaum dan agama) dan tuntutan agama masing-masing. Sedangkan sesungguhnya perkara ini melibatkan maruah dan kewibawaan Islam yang tidak patut melalui proses tawar-menawar.

Masyarakat bukan Islam yang kononnya diterajui oleh pemuka-pemuka DAP dan NGO-NGO yang terlibat, menuntut keadilan dan kesaksamaan, seolah-olahnya dalam kes Moorthy ini ianya telah dinafikan dari mereka. Kita juga sepatutnya tanpa mengira kepentingan politik Umno, PAS dan para NGO Melayu dan Islam bersatu dalam hal ini dan menuntut agar sensitiviti Islam dan peraturan Islam yang ada perlu dihormati oleh semua pihak.

Perkara 121 (1) (A) yang bermaksud mempertahan dan memelihara kewibawaan Mahkamah Syariah perlulah dikekalkan tanpa pindaan!

Setakat ini kita baru mendengar satu dua NGO Melayu Islam yang bersuara khasnya TERAS, mana pergi yang lain-lain. PAS dan Umno sendiri juga perlu menyatakan pendirian secara jelas dalam hal ini. Ini bukan isu politik akan tetapi isu agama, jangan sampai kita bertolak-ansur dalam perkara yang sebegini penting. Saya bimbang jika Perkara 121 (1) (A) ini dimansuhkan (sebagaimana yang bersarang dalam kepala Nazri) atau dipinda (sebagaimana pandangan Radzi) maka cabar-mencabar dalam hal pengislaman seseorang akan menjadi perkara lumrah dalam mahkamah. Akibatnya kewibawaan mahkamah syariah akan hilang dan gugur begitu sahaja.

Sedarlah kita dalam kes Allahyarham Mohammad ini kita sekadar mendengar affidavit isteri beliau yang pasti telah dikarang oleh para peguam dan penasihatnya dengan begitu teliti dan penuh dengan citarasa kontroversi yang diperlukan semata-mata untuk menimbulkan keraguan. (Dalam affidavit itu disebut antara lain Allahyarham pernah meminum arak, tidak mengamalkan agama Islam, makan daging babi, membawa kavadi semasa Thaipusam dan lain-lain). Adakah affidavit yang tidak pernah dicabar ini mahu kita jadikan hujah untuk merampas kuasa mahkamah syariah?

Dalam BLOG ini pernah saya menerbitkan pengakuan seorang wartawan RTM yang jelas bertentangan sama sekali dengan dakwaan yang terkandung dalam affidavit isterinya. Dan kalau kita ikuti pula laman Malaysiakini yang menyiarkan kenyataan terbaru Pengarah JAWI Che Mat Che Ali, affidavit tersebut semakin lemah dan barangkali tidak betul sama-sekali. Kata Che Mat:

Bagaimanapun, katanya sebaik diberitahu mengenai pengislaman Moorthy, pegawai Jawi melawat allahyarham setiap hari di rumahnya dan ketika dia berada di hospital. Katanya, keluarga Moorthy termasuk isterinya S. Kaliammal memang tahu pegawai Jawi melawat Moorthy di rumahnya di Desa Tun Hussein Onn di ibu negara.

Masyarakat bukan Islam perlu sedar bahawa JAWI adalah sebuah badan kerajaan dan tidak ada sebab mengapa kakitangan JAWI mahu berbohong dalam hal sesulit ini. Apa guna kami masyarakat Islam mahu menuntut mayat seorang yang tidak pernah pun memeluk Islam lalu mahu mendakwanya sebagai Islam?! Segala-galanya dilakukan kerana Allahyarham sebenar dan sesungguhnya seorang Islam dan dibuktikan pula oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Kiranya masyarakat bukan Islam sebagaimana didakwa oleh DAP dan para juak mereka benar-benar mempertikaikan hal ini bermakna merekalah yang sebenarnya tidak menghormati agama dan umat Islam sehingga mahu mencabar amalan dan peraturan agama kami yang sedia ada dan termaktub pula dalam undang-undang negara!

Bersatulah wahai saudara-saudara ku sekalian. Kita bukan mahu bermusuh dengan sahabat-sahabat kita masyarakat bukan Islam, akan tetapi kita sekadar mahu pertahankan hak dan maruah kita sebagai penganut agama rasmi dalam negara ini. Bersuaralah dengan penuh kebenaran dan keyakinan semua parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu Islam. Jika DAP boleh membikin satu memorandum saya yakin dengan perpaduan kita atas nama Islam, memorandum yang lebih besar boleh kita bikin demi mempertahankan masa depan agama dari dicabar atau diperlakukan, insyallah!

No comments: