Thursday, February 02, 2006

Disko kebal:
Jangan biarkan polis terus dalam kehairanan

Jarang-jarang pihak polis yang dikenali dengan motonya iaitu mesra, cepat dan betul itu melahirkan kehairanannya secara terbuka. Justeru jika ianya dilahirkan juga pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini dilaporkan betapa pihak polis Subang Jaya HAIRAN (NST dan THE STAR sebut PUZZLED) bagaimana sebuah disko yang beroperasi di Pusat Membeli-belah Summit di USJ Subang Jaya masih beroperasi walaupun telah diserbu lebih 25 kali sebelum ini?!



Menurut Ketua Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Subang Jaya, ASP Mohamed Zainal Zakaria berdasarkan rekod disko berkenaan telah diserbu sebanyak 10 kali oleh polis daerah Subang Jaya dan 15 kali oleh Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan polis Bukit Aman.

Beliau menyatakan demikian setelah mengetuai satu lagi serbuan di premis yang sama pada jam 4.30 pagi semalam dimana ujian air kencing yang dilakukan terhadap 64 pengunjung disko itu mendapati 16 daripada mereka positif kesan dadah. Enam belas yang berkenaan yang berumur antara 18 dan 40 tahun, telah ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

Pihak polis hairan bagaimana disko berkenaan boleh beroperasi dari jam 7 petang ke 7 pagi sedangkan had waktu yang ditetapkan oleh kerajaan BN Selangor untuk operasi premis hiburan adalah sehingga jam 1 pagi sahaja.

Apa sudah jadi?

Pihak polis menurut ASP Zainal telah pernah menghantar laporan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tiada tindakan diambil!

Siapakah yang menganugerahkan kuasa kebal kepada disko ini? Siapakah di MPSJ ataupun kerajaan negeri yang memberikan perlindungan kepada taukeh disko ini sehingga berani beroperasi lebih dari waktu yang dibenarkan? Siapakah ahli politik atau ahli majlis atau yang berkuasa besar di MPSJ itu?

Jelas premis ini menjalankan operasi lebih dari waktu yang ditetapkan dan premis ini telah menjadi sarang dadah dan maksiat terbukti dengan penahanan para pengunjungnya yang didapati positif dadah.

Apa komen MB Khir Toyo, peneraju Selangor Maju dalam hal ini?

Masih terngiang ditelinga saya perutusan beliau yang berbunyi:

Negeri maju yang kerajaan negeri hasratkan ialah negeri maju yang bukan sahaja mencapai negeri industri, tetapi menekankan keseimbangan rohani dan jasmani dalam suasana ekonomi yang mampan berteraskan maklumat dan k ekonomi kea rah pewujudan MASYARAKAT MADANI dan INSAN-INSAN RABBANI.

No comments: