Thursday, February 23, 2006

Kes tangal tudung:
Contoh kebiadapan majikan asing

Buletin Utama TV3 semalam menyiarkan rintihan seorang wanita Melayu yang telah di buang kerja kerana enggan menangalkan pakaian tudungnya diwaktu bekerja.

Puan Habsah Jaafar 46, Pengarah Akaun yang telah bekerja lebih 10 tahun di Hotel Renaissance, Jalan Ampang Kuala Lumpur (sebuah hotel bertaraf 5 bintang) itu telah diarahkan oleh pihak pengurusan hotel tersebut agar membuat pilihan samada mahu terus berkhidmat di hotel berkenaan dengan syarat terpaksa menanggalkan tudungnya ataupun diberhentikan.

Menurut Habsah beliau mula mengenakan tudung ke pejabat sejurus kembali dari mengerjakan Haji di Tanah Suci baru-baru ini.



Habsah terbit di TV3 setelah membuat pengaduan ke Pengerusi Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Subahan Kamal. Subahan dipetik oleh Utusan sebagai berkata:

Pihaknya amat kecewa dengan tindakan segelintir pengurusan hotel terutama bertaraf lima bintang yang melarang pekerja mereka mengenakan tudung ketika bekerja.

Tindakan hotel terutama yang diuruskan oleh rakyat asing, mengeluarkan garis panduan berpakaian sendiri itu seolah-olah memperlekehkan budaya serta amalan agama rakyat negara ini selain menafikan hak wanita Muslim mengamalkan suruhan agama mereka.

Dua perkara yang saya perhatikan di sini, pertama hadirnya segelintir pekerja-pekerja asing berstatus eksekutif ke atas yang buta dan enggan menghormati amalan dan budaya masyarakat setempat. Mereka yang seumpama ini harus samada diberikan kursus khas oleh pihak kerajaan ataupun segera dihantar sahaja pulang ke negara masing-masing kerana tidak sensitif dengan adab di tanah temnpat cari makan mereka.

Keduanya, saya pada awalnya tertanya-tanya juga mengapa Habsah tidak berjumpa sahaja Ketua Wanita Umno, Kak Rafidah atau Ketua Puteri, Noraini atau Menteri Hal Ehwal Wanita, Shahrizat untuk membuat aduan?

Mungkin kerana Rafidah, Noraini dan Shahrizat tidak akan memahami masalah Habsah. Mengapa tidak? Kerana tudung yang Subahan katakan seolah simbol kepatuhan wanita Muslim terhadap suruhan agama mereka itu sebenarnya tidak pernah lekat di kepala Rafidah, Shahrizat dan Noraini! Wanita Melayu sebaaimana kes Habsah ini bersungguh-sungguh mempertahankan hak untuk berpakain mengikut perintah Allah, tetapi Menteri dan pemimpin Melayu?

No comments: