Thursday, April 27, 2006

Jangan sampai Islam yang tersepit

Saya dimaklumkan berkenaan kejadian ini semalam oleh seorang rakan ahli Parlimen. Kebetulan RTM pula menyiarkan perbahasan berkenaan dalam rancangan Parlimen Hari Ini nya.

Isunya ahli Parlimen Rantau Panjang telah mengeluarkan satu istilah yang agak kasar untuk menyifatkan golongan ibu tunggal yan berpunca dari kes perceraian. Kenyataan beliau dibuat ketika Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Shahrizat Jalil sedang menggulung perbahasan yang melibatkan kementerian beliau dalam RMK9.



Fatah Harun antara lain mengatakan, yang ibu tunggal kematian suami nampak insaf, tetapi menyifatkan ibu tunggal dari kes perceraian sebagai GATAL.

(Saya akan cuba dapatkan teks sebenar sebaik Hansard nya dikeluarkan , insyallah)

Lalu kenyataan Fatah itu telah dicemuh dan diserang oleh kalangan ahli-ahli Parlimen termasuklah menteri berkenaan dan ahli-ahli parlimen pembangkang dari DAP.

Saya lemas apabila ahli-ahli parlimen dengan mudah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan tidak bersopan serta membuat pertuduhan melulu tanpa memelihara sensitiviti pihak lain tak kiralah dari parti mana sekalipun.

Menangkap borong dan membuat pertuduhan sedemikian rupa sesungguhnya menghina golongan wanita yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana pihak yang cerdik tambahan parti Islam yang diwakili oleh ahli Parlimen berkenaan.

Saya yakin kenyataan itu tidak mewakili pandangan parti mahupun pengundi yang mengundi Fatah melainkan pandangan peribadi beliau semata-mata.

Jangan kita ambil kira satu dua kes lalu kita pukul rata semuanya begitu, itu sifir dan sepak terajang penyamun namanya.

Saya harap ahli parlimen berkenaan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kenyataan sedemikian yang akan hanya akan mecacatkan wajah indah Islam yang dikendong dan dibawa oleh PAS.

Tahniah Dewan Muslimat PAS Pusat kerana segera mengeluarkan kenyataan mengasingkan diri dari kenyataan tersebut. Yang hak adalah hak dan yang batil tetap batil.

Sahabat saya Dr Lolo Dato Ghazali mengirim SMS berkenaan kepada saya:

Dewan Muslimat PAS Pusat meletakkan wanita ditempat yang mulia selaras dengan Islam yang memerdekakan dan memuliakan wanita.

Wanita adalah ibu, isteri, adik-beradik dan anak-anak kita sendiri, jadi tiada sebab wanita perlu diserang dan diperlekeh.

Kes-kes negatif yang berlaku secara terasing berlaku bukan kerana wanita itu berstatus janda (ibu tunggal) atau sebagainya tetapi lebih kerana kelemahan individu berkenaan sebagaimana kelemahan yang turut ada pada kaum lelaki termasuklah ahli-ahli Parlimen tidak kira siapun dia.

Pada masa yang sama DMPP membantah keras kenyataan Shahrizat Jalil yang mengaitkan pimpinan PAS sehingga seolah-olah cuba mahu mengajar Presiden PAS cara-cara bagaimana menghormati wanita yang sememangnya merupakan amalan beliau.

(Terima kasih Dr.)

No comments: