Wednesday, April 19, 2006

Mufti Perak tolak tafsiran Ka Ting

Rata-rata ramai yang keliru, marah dan tidak dapat menerima tafsiran perlakuan sumbang dan lucah sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Ting baru-baru ini.

Menurut Ong perlakuan tersebut sebenarnya merujuk kepada:

Pasangan yang melakukan aksi melampau seperti berbogel atau melakukan aktiviti seks.

Bermakna hanya apabila pasangan atau sesuatu kumpulan itu berbogel ataupun melakukan aksi seks di khalayak ramai barulah ia dianggap sebagai perlakuan sumbang ataupun lucah. Ketika itu barulah penguatkuasa PBT boleh mengambil tindakan.

Ong mungkin mentafsir perlakuan tersebut menurut kaca mata barat ataupun menurut selera peribadinya ataupun apa sahaja namun ianya nyata dan jelas tersasar dan tergelincir dari landasan Islam dan adat serta budaya Melayu.

Islam dilahirkan untuk membentuk akhlak dan moral umat manusia dan budaya Melayu sendiri sungguh kaya dalam mempertahankan maruah dan harga diri bangsanya.

Bolehkah kita duduk selesa dan tidur nyenyak dengan tafsiran sesat Ka Ting itu?

Kita yang saya maksudkan adalah umat Islam dan orang Melayu. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan masyarakat Cina dan India dalam negara ini pun tidak dapat menerima atau bersetuju dengan tafsiran Ka Ting yang tidak selari dengan mana-mana kepercayaan, adat dan budaya timur itu.



Terubat juga hati hari ini apabila membaca kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria (sila rujuk HARIAN METRO hari ini) yang menyatakan bahawa:

Definisi PBT (pihak berkuasa tempatan) terhadap perlakuan sumbang mestilah tepat, mesti ada takrifannya. Kalau sampai bogel baru hendak tangkap, itu (menampakkan) teruk sangatlah negara ini

Kelakuan tidak sopan tidak semestinya bogel saja, bercium dan sebagainya boleh dianggap tidak sopan juga. Jadi, pengertiannya perlulah tepat

Teras kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu menjadi pegangan setiap individu di negara ini dalam mengawal kelakuan di khalayak ramai.Ia sepatutnya menjadi teras dan takrif bagi semua bangsa tidak mengira Melayu atau Cina. Undang-undang yang digubal juga melaksanakan apa yang terkandung dalam Rukun Negara.Jadi mestilah Rukun Negara dipatuhi semua. Mengikut Kanun Keseksaan tindakan boleh diambil terhadap individu yang didapati melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

Ini isu yang melibatkan maruah dan harga diri bangsa. Selesa dan tergamakkah kita melihat anak-anak bangsa kita diberikan lesen berkelakuan sumbang yang kononnya tidak sumbang menurut takrifan Ka Ting itu?!

Hakikatnya perbuatan berdua-duan, berpeluk-pelukkan dan bercumbu-cumbuan yang haram dan tidak senonoh dari kalangan anak-anak bangsa sudah menjadi suatu yang di luar kawalan, berlaku di depan mata dalam keadaan kita tidak berupaya melakukan sesuatu.

Penguatkuasaan sahaja disaat ini yang mampu mengawal perlakuan sumbang ini, itupun belum pasti dapat dibenteras. Sekurang-kurangnya usaha dan tindakan perlu dijalankan disamping pendidikan di sekolah dan IPTA dan IPTS serta penglibatan ibu-bapa dan penjaga.

Tetapi apabila kita pandai-pandai memberi tafsiran baru sebagaimana yang Ka Ting lahirkan itu maka yang akan punah dan ranap kelak adalah bangsa dan agam kita juga. Sesungguhnya disaat dan ketika ini golongan ulamak dan cerdik-pandai agama perlu bangun dan menyatakan pendirian dalam isu yang sangat serius dan kritikal ini sebagaimana Mufti Perak. Semoga berpadananlah dengan firman Allah swt:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama . Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun

No comments: