Monday, May 08, 2006

Umno lahirkan budaya si bisu

Datuk Shahrir bertindak menyokong usul Ketua Pembangkang kerana menyangkakan ianya satu usul yang bakal mempertahankan integriti dan kewibawaan dewan. Kini beliau menjadi mangsa.

Bekas PM Tun Dr Mahathir mengeluarkan surat terbuka dan membuat teguran terhadap beberapa isu yang melibatkan negara. Lalu beliau disuruh duduk diam-diam dan tak perlu bersuara.

Dalam kes Datuk Shahrir menurut Presiden Umno yang juga PM:

Saya tidak akan menghalang sekiranya Datuk Shahrir ingin membawanya lagi pun perkara ini berkaitan dengan Parlimen. Tapi oleh sebab ada hubung kait dengan prinsip kita tak sokong usul pembangkang, mungkin dia nak bawa, terserah kepada dia (Shahrir).

Bermakna Datuk Shahrir berdosa kerana bersuara melalui saluran pembangkang. Walaupun yang disuarakan itu perkara hak dan benar namun kerana ianya melalui saluran pembangkang maka yang hak pun akan dilihat bathil.

Begitulah juga dalam kes Tun Dr M, selaku bekas PM dan atas rasa bertanggungjawab kepada rakyat maka beliau terus menyuarakan pandangannya dalam isu-isu tertentu, terakhir berkenaan jambatan menggantikan Tambak Johor. Tiba-tiba usahanya itu dilihat sebagai suatu ancaman.

Menteri di JPM Nazri Aziz telah menyerang Tun di Parlimen atas kenyataan beliau itu baru-baru ini.

Menurut Nazri Tun sepatutnya menepati janjinya untuk tidak campurtangan dalam pentadbiran kerajaan setelah bersara. Bermakna walaupun ada perkara-perkara yang benar dan melibatkan kepentingan rakyat tetapi memandangkan Tun telah bersara, tak perlulah beliau campurtangan.

Apakah jenis budaya yang mahu dilahirkan oleh Umno melalui perkembangan ini?

Saya kira budaya songsang dan tidak sihat ini bertentangan sama-sekali dengan demokrasi dan hak bersuara yang sepatutnya dirai dan dijuarai oleh Umno. Apakah akan jadi kepada masyarakat kiranya trend ini dikekalkan?

Seorang sahabat memaklumkan kepada saya semasa hadir dalam satu majlis forum anjuran sebuah bahagian Umno di Johor baru-baru ini, Tan Sri Sanusi Junid ada berkata antara lain:

Kalau bodoh boleh diajar tetapi kalau dah penakut, memang payah dan tak boleh lagi dibentuk.

No comments: