Saturday, June 10, 2006

Muktamar PAS bukan Perhimpunan Agung Umno

Muktamar PAS ke 52 baru sahaja selesai semalam.

Kali ini Muktamar ataupun Perhimpunan Mesyuarat Agung salah sebuah parti yang tertua di Malaysia itu telah diadakan di bangunan baru Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.



Maka bersidanglah parti Islam tunggal di Malaysia ini dengan mendatangkan perwakilan dari seluruh pelusuk negara dari Kelantan sehingga Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Apa yang menarik saya perhatikan dalam muktamar ini adalah keterbukaan yang diberikan oleh parti tersebut kepada para perwakilannya untuk mengemukakan apa sahaja pandangan, cadangan ataupun kritikan sepanjang tempoh perbahasan.

Saya mengatakan ini menarik kerana suasana yang sama tidak terdapat ketika sebuah lagi parti tertua dalam negara iaitu Umno mengadakan Perhimpunan Agungnya.

Bagi Umno Perhimpunan Agungnya lebih merupakan gelanggang untuk memuji dan memuja barisan kepimpinan partinya. Jika pun ada yang terlepas menegur, maka individu tersebut menanggung risiko yang besar. Lihat apa yang telah berlaku kepada bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Zahid Hamidi satu ketika dahulu yang sehingga kini terus mendatangkan kesan ke atas masa depan politiknya.

Bagi Umno mengaib atau memalukan pimpinan tertinggi parti dalam Perhimpunan Agungnya samalah bagai menikam mereka dari belakang (meminjam istilah yang dipopularkan oleh Tun Dr M sejak akhir-akhir ini).

Tetapi berlainan dengan PAS, suasananya lebih terbuka.

Malah bukan dalam muktamar ini sahaja semasa Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor menjadi Presiden pun kita pernah mendengar teguran keras dari para perwakilan. Antara yang sinonim dengan hujah sedemikian adalah Ustaz Suhaimi Ahmad, dari Kedah (yang sekarang menjadi Timbalan Pengerusi Tetap). Saya masih ingat dalam satu muktamar di Taman Melewar sehinggakan Tuan Guru Nik Abd Aziz pun tidak terlepas dari kritikan Ustaz Suhaimi.

Berlainan sama sekali dengan Umno, mungkin kerana Umno tidak bersedia mencuci kain kotornya dikhalayak ramai atau mungkin sebagaimana yang pernah ditulis oleh Tun Daim Zainuddin satu ketika dahulu, budaya bisu telah meresap kuat dalam Umno!

Saya masih teringat cerita Allahyarham Senator Azman Attar (yang saya kenali semasa hayatnya) kepada saya satu ketika dimasa hayatnya. Senator Azman ini adalah salah seorang figure pembahas yang jarang-jarang tidak bercakap dalam Perhimpunan Agung Umno.

Pernah satu ketika ceritanya beliau berhajat menyentuh tentang hubungan akrab Presiden Umno ketika itu dengan personaliti korporat bukan Melayu antaranya Ananda Krishnan dan Vincent Tan yang pada anggapannya melahirkan kembali budaya Kapitan Cina (atau India) iaitu POLITCAL PATRONAGE yang tidak sihat untuk kemajuan bangsa Melayu.

Lalu menurut Allahyarham pada hari dimana beliau sepatutnya berucap, beliau telah dipanggil oleh pimpinan tertentu, diberikan kata dua, akhirnya pendekkan cerita pada hari tersebut pidato Allahyarham berbeza sama-sekali dari yang asalnya.

Dalam muktamar PAS baru-baru ini sebagaimana dilaporkan oleh Harakahdaily, perwakilan beberapa negeri telah mengkritik pedas kalangan pimpinan tertinggi parti semasa sessi perbahasan. Segala kritikan yang dihamburkan samada yang berasas ataupun tidak telah diulas dan dijawab oleh saf kepimpinan PAS semasa sessi penggulungan.

Dipenghujung muktamar ucapan penggulungan dan penangguhan Presiden, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang diakhiri dengan doa memohon perpaduan sesama jemaah di dalam parti dan muktamar telah ditangguhkan dalam suasana aman dan tenteram.

Tak tahulah esok lusa kalau ada pihak yang akan diambil tindakan, tetapi memandang yang bermuktamar itu adalah PAS dan bukannya Umno, rasanya tiada apa yang akan berlaku

No comments: