Monday, June 19, 2006

Penjelasan Mufti Perak yang tidak mendapat tempat

Setelah serangan demi serangan ditujukan terhadap Mufti Perak ekoran kenyataannya agar pihak kerajaan MENYEMAK SEMULA perayaan KONGSIRAYA yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, tiada ruangan diberikaN kepada beliau untuk menjelaskan kenyataannya ataupun menangkis serangan.


YB Salahuddin bersama Dato Mufti Perak
gambar Harakahdaily

Semalam akhbar MINGGUAN MALAYSIA memberikan suatu ruangan kecil di mukasurat 12 atas tajuk:

TIDAK BERNIAT BURUKKAN KEPERCAYAAN AGAMA LAIN

bagi menyiarkan penjelasan Mufti tersebut.

Dato Harussani Zakaria dipetik sebagai berkata:

Keputusan Jawatankuasa itu (Jawatankuasa Muzakarah Ulamak 2006) mengenai isu kongsi raya tidak berniat memburukkan kepercayaan agama lain di negara ini. Sebaliknya ia merupakan perkara fikah bagi mempertahankan aqidah umat Islam.

Aqidah boleh terpesong apabila kita meredai dan turut sama dalam perbuatan yang boleh menjerumus kepada perkara syirik. Aqidah boleh terpesong melalui niat, perbuatan mahu pun percakapan.

Hairan kenapa penjelasan Dato Mufti ini tidak mendapat tempat di muka hadapan akhbar berkenaan.

Apa pun saya kira Mufti Perak itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berani dan benar. Soal samada ianya popular atau direstui oleh pihak kerajaan ataupun golongan politik tidak berbangkit kerana sebagaimana beliau tegaskan ini isu aqidah yang sudah pasti tidak boleh ditolak ansur dengan kemahuan dan kehendak manusia.

Malah tidakkah prinsip pertama Islam Hadhari ciptaan Dollah Badawi itu berbunyi: Keimanan dan Ketaqwaan kepada Illahi.

Bagaimana mungkin ini dapat dicapai kiranya perkara-perkara berkenaan aqidah yang merupakan tunjang keimanan yang melahirkan ketaqwaan, ditentang dan ditolak oleh kalangan pimpinan negara termasuklah para menteri dan PM sendiri?

Barangkali benarlah kenyataan ahli parlimen BN-MCA dari Kota Melaka, Wong Nai Chee semalam semasa rancangan Debat Perdana di RTM bahawa Malaysia ini sesungguhnya adalah merupakan sebuah negara sekular walaupun Islam adalah agama rasminya!

Iaitu sebuah negara keduniaan ataupun material yang mengenepikan kepentingan spiritual ataupun keagamaan dalam pentadbiran dan pembangunannya.

No comments: