Friday, June 02, 2006

Tragedi tanah runtuh:
Khir Toyo terus tersepit

Gerakan mencari dua lagi mayat mangsa korban tanah runtuh di Hulu Klang masih diteruskan.

Seluruh negara terpegun bagaimana kejadian seumpama ini boleh dibiarkan berulang setelah berkali-kali berlaku tragedi yang serupa. Semalam di BLOG ini saya telah menulis:

Soalnya mengapa kerajaan negeri sekadar memberikan syor? Jika sudah menjangkakan kejadian buruk akan berlaku sepatutunya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mengarahkan agar dihentikan projek tersebut!



Rupa-rupanya semalam juga di Bukit Mertajam PM Dollah Badawi melahirkan sentimen yang sama.

Kata beliau:

Jangan bagi amaran sahaja, kalau mereka tidak peduli dan telah melakukan kesalahan, kena ambil tindakan.

Kalau tidak ambil tindakan orang tidak akan endah dan dia (pemaju) akan buat sesuka hati. Dia apa peduli, orang (pihak berkuasa) bukan ambil tindakan.

Jelas pernyataan ini Dollah tujukan kepada Khir selaku MB dan Ketua Eksekutif Negeri.

Dan mengambil isyarat dari Dollah UTUSAN hari ini turut menyerang Khir dengan membawa tajuk di muka depannya:

Salah siapa? Pemaju cuai kata MB. Pemilik tanah langgar peraturan kata MPAJ

Menurut laporannya UTUSAN menyebut:

Seperti biasa seolah-olah terlalu sukar untuk mencari siapa yang bersalah sehingga memungkinkan tragedi itu berlaku yang bukan sahaja meranapkan tiga blok rumah panjang tetapi juga meragut nyawa empat penduduk termasuk dua daripadanya kanak-kanak.

Persoalannya, kenapakah tiada tindakan diambil? Kenapa hanya mengakui keingkaran pemaju itu setelah tragedi terjadi? Wajarkah HANYA NASIHAT diberikan kepada mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mengancam nyawa manusia?

Bagi saya begitulah sekiranya kerajaan tidak mengamalkan prinsip ACCOUNTABILITY ataupun pertanggumgjawaban. Kalau di negara-negara dunia pertama pasti Menteri atau Pegawai yang terlibat akan meletakkan jawatannya kerana menerima dan memikul pertanggungjawaban terhadap insiden itu, tetapi di sini MB masih berlakon seolah-olah nak menjejaki pesalah, sedangkan orang semua tahu bahawa CULPRIT yang sebenarnya adalah beliau sendiri.

No comments: